Sunday, March 28, 2010

Diari 187 – Ziarah Sekitar Madinah

“Assalamualaikum Ustaz, kita buat ziarah Madinah pukul 7.00 pagi ye” bahagian muassasah yang menguruskan bas mencadangkan.

“Saya rasa  kita buat lepas solat Jumaat lagi bagus, takut terlewat balik nanti, terkejar-kejar nak solat Jumaat” cadangan saya pula.

“Baiklah, kalau macam tu, kita buat pukul 3 ye” dia bersetuju.

Hari ini, Jumaat 26 Mac 2010, saya dan anak-anak yatim al-Ijabah akan menziarahi sekitar kota Madinah.

Kebetulan hari ini, badan saya agak panas, demam, mungkin perubahan cuaca yang sejuk di Madinah, atau perubahan untuk peningkatan diri di atas kesalahan yang disedari ataupun tidak.

Saya menggagahkan diri, dengan kain ihram yang dijadikan selimut, menelan dua biji panadol, berkumpul dengan anak-anak ini di lobi hotel.

Sejak kecil, saya memang jenis yang tak suka makan ubat. Kali ini pun sama, kalau tidak ibu saya yang menunggu agar ubat itu benar-benar telah dimakan, pasti saya letakkan di tepi dulang atau saya masukkan sahaja dalam poket jubah.

Perjalanan kami dimulakan dengan membaca doa dan selawat beramai-ramai. Tempat pertama yang dituju ialah masjid Quba’, masjid yang mempunyai pahala satu umrah bagi sesiapa yang mendirikan solat sunat di dalamnya.

Pemurahnya Allah dengan pahala kepada umat Muhamad saw, sebab itulah umat Muhamad ini paling mudah untuk selamat di akhirat.

Terima kasih wahai Rasullullah di atas segala doamu hingga banyak gandaan pahala diberikan kepada kami.

Tidak lama di masjid Quba, kami terus ke ladang kurma untuk membeli kurma dan buah tangan dari bumi Tayyibah ini.

Selepas itu, kami ke medan pertempuran Uhud.

Bukan main semangat lagi, anak-anak yatim al-Ijabah memanjat Jabal Rummat (bukit pemanah) kawasan pertempuran peperangan Uhud.

Di atas bukit ini, saya menceritakan kembali kisah-kisah perjuangan Nabi dan para sahabat kepada anak-anak al-Ijabah, biar mereka merasakan, betapa bersyukurnya kita hari ini, memegang Islam dengan mudah, hasil pengorbanan Nabi dan para sahabat tercinta.

Kala ini, angin sejuk begitu kencang di atas bukit ini.

Di akhir lawatan ke Uhud ini, kami sama-sama berdoa agar Allah berikan kami sebuah kehidupan yang berpegang kepada agama, seperti mana yang telah diberikan kepada seluruh para sahabat.

Sesungguhnya, di akhir zaman ini, tanpa bantuan dari Allah, amat sulit untuk kita memperbaiki diri kita. Tetapi, sedikit cita-cita untuk menjadi hambaNya yang baik, semoga terus dipimpin oleh Allah.

Sesungguhnya, niat yang baik, pasti akan diperbaiki oleh Allah.

Lawatan kami diteruskan ke masjid Qiblatain dan masjid tujuh (tapak peperangan Ahzab).

Kami sampai semula ke hotel, betul-betul masuk waktu Maghrib. Alhamdulillah, anak-anak Ijabah hari ini memasuki kursus ringkas mengenai sejarah Islam.

Semoga dengan mengetahui sejarah membuatkan mereka tahu bagaimana ingin membinanya kembali ditangan mereka.

“Biasanya, yang tahu sejarah, yang dapat membina sejarah”

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Baity Bakkah Hotel

12 Rabiul Akhir 1431/28 Mac 2010

IMG_4126

Berkumpul di hadapan hotel

IMG_4143

Penjual buah di Quba’

IMG_4207

Kenangan di ladang kurma

IMG_4208

Perjalanan disulami dengan selawat pada Nabi saw.

IMG_4222

Di kaki bukit pemanah (jabal rummat)

IMG_4227

Di atas Jabal Rummat, mereka belajar sejarah Islam di sini

IMG_4230

Di akhiri dengan doa memohon agar Allah terus membantu memperbaiki diri ini, sesungguhnya, sedikti cita-cita untuk memperbaiki diri, mudahan terus diperbaiki Allah, amin…

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...