Friday, March 26, 2010

Universiti Kehidupan 146 – “Universiti Babus Salam, Pelajaran 5 Hadis”

Kesempatan kali ini, saya ingin berkongsi perjalanan di dalam masjid Nabi, dari Babus Salam ke Babul Baqi’.

DSCN3038

Perjalanan dari Babus Salam ke Babul Baqi’, kita seolah-olah masuk ke dalam sebuah tempat pengajian. Terdapat hadis dan ayat al-Quran di sekeliling perjalanan ini yang dipilih sebagai tarbiah bagi diri kita.

Babus Salam beerti, pintu selamat, ia adalah pintu ke masjid Nabi pada ketika itu, melangkah ke masjid bererti kita sedang melangkah ke arah keselamatan, keselamatan yang lebih besar apabila kita selamat di akhirat.

Ada lima hadis yang kita ingin pelajari dari Babus Salam ke Babul Baqi’ ini. Ketika melangkah masuk sahaja, cuba palingkan pandangan kita ke arah kiri. Kita akan bertemu hadis yang pertama:-

“Sembahyang di masjid ini lebih baik dari seribu solat di tempat lain selain masjid al-Haram”

Hadis ini mengingatkan kita untuk bersolat di masjid ini, lebih-lebih lagi bersolat berjemaah bersama imam.

Tuan-tuan guru kita terdahulu selalu berpesan, kalau dapat, bersolatlah sebanyak 40 kali secara berjemaah di sini. Ia sebagai membiasakan diri kita untuk solat berjemaah.

Ada juga yang menganjurkan agar, selain dari solat berjemaah dan solat sunat, maka berusahalah untuk menunaikan solat qada’ bagi solat kita yang tertinggal.

Kalau dapat dibuat qada’ itu dari subuh hingga ke Isya’ lagi baik. Walaupun solat qada’ itu sendiri terdapat khilaf, tetapi bagi saya, ia baik dibuat untuk menunaikan yang telah luput terdahulu.

(gambar bulat kecil di atas sepanjang Babus Salam ke Babul Baqi’, adalah nama-nama Nabi kita saw, lebih dari seratus nama seperti Nabi yang pemberi syafaat, Nabi yang paling mulia akhlaknya dan sebagainya. Memerhatikannya dan memahaminya menjadikan kita semakin merindui dan menyayangi Nabi kita)

Hadis kedua yang kita jumpa adalah:-

“Sesungguhnya, syafaatku akan aku berikan kepada orang yang berbuat dosa besar dari umatku”

Hadis ini memberi maksud, Nabi akan berusaha menolong kita untuk selamat di akhirat asalkan sahaja di hati kita ini ada cita-cita ingin menjadi orang yang baik.

Laluan di sini memang selalu di penuhi orang yang ingin menziarahi makam Nabi saw.

Hadis ketiga berbunyi :-

“Syafaatku pada hari kiamat benar-benar ada, sesiapa yang tidak beriman dengannya (mencarinya) tidak akan mendapatkannya”

Ia menekankan agar kita berusaha untuk mencari syafaat Nabi. Untuk melayakkan kita mendapat syafaat, ada tiga syaratnya:-

1. Perlu mencintai Nabi

2. Perlu banyak berselawat pada Nabi

3. Berusaha mengamalkan sunnah-sunnah Nabi.

Hadis ke empat :-

“Sesungguhnya iman itu, akan pulang ke Madinah seperti pulangnya ular ke lubangnya”

Banyak tafsiran mengenai hadis ini, yang paling ringkas ialah, orang yang ingin merasakan kekuatan iman kembali, hendaklah mengunjungi Madinah.

Tempat imam

Hadis ke lima:-

“Di antara rumahku dan mimbarku ialah taman-taman di antara taman syurga”

Tempat inilah yang disebut sebagai Raudhah, di hiasi dengan carpet berwarna hijau

Menghampiri makam junjungan Nabi  saw. Selawat dan Salam untukmu wahai kekasih Allah…

Gerbang kedua barulah makam Nabi

Dari kiri, Makam junjungan tercinta Nabi saw, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.

Babul Baqi’, tamatlah kursus ringkas mengenai iman dan mengenali junjungan Nabi saw tercinta.

Melintasi di hadapan masjid, kita akan nampak sebuah pintu yang memang dibuat di laluan orang ramai.

Pintu ini tempat meletakkan jenazah, agar kita terlihat dan terserempak.

Hari ini, kita memerhatikan orang dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan diusung untuk ke kubur.

Satu hari nanti pasti, kita juga akan dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan diusung untuk ke kubur.

Bukan kematian itu yang kita risaukan, tetapi bekalan amalan kita untuk ke sana.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Hotel Wasil Arim, Madinah Munawwarah.

10 Rabiul Akhir 1431/ 26 Mac 2010 jam7.15 pagi

1 comment:

Anonymous said...

Syukran ustaz atas pengalaman yg d coret kn..moga ustaz dpt coret kn perjalanan ustaz bersama2 anak2 al ijabah pada kali ini utk tatapan brsama..

-AIMI-

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...