Pada malam 29 Mac 2010 lepas, saya telah mengajak anak-anak yatim al-Ijabah menziarahi dan dan menghadiri majlis ilmu oleh Habib Umar bin Hamid al-Jailani di Suuq Hijaz Makkah Mukarramah.
Setelah Allahyarham, Syeikh Alwi Maliki kembali kerahmatullah, beliau antara yang menjadi rujukan bagi Ahli Sunnah di bumi Mekah ini. Beliau pernah ke Malaysia ketika majlis Maulid Nabi beberapa tahun lepas.
Ketika ingin pulang, beliau berpesan kepada saya,
“Malam esok, kamu datang di Syari’ Mansur pula ye, kamu jadi tetamu saya” pesan Habib Umar al-Jailani kepada saya.
“InsyaAllah Syeikh” jawab saya penuh takzim.
“Tapi macam mana nak pergi?” bisik hati saya.
Tiba-tiba, Habib Umar memandang saya.
“Nanti saya akan hantar orang untuk menjemput kamu semua”
“InsyaAllah-InsyaAllah” jawab saya kembali tanpa apa-apa lagi komen sekalipun di dalam hati….
30 Mac 2010, saya dan anak-anak Yatim al-Ijabah telah bersiap. Pulang dari Masjidil Haram selepas Maghrib, pembantu Habib Umar , Abdul Hamid menghubungi saya:-
“Kamu semua tunggu saya di hadapan hotel Darul Tauhid ye, dalam 10 minit lagi saya sampai”.
Seperti yang dijanjikan, Abdul Hamid datang dengan sebuah kereta dan sebuah van. Kami semua dibawa ke sebuah rumah di Syari’ Mansur.
Kami dialu-alukan dengan minuman teh Arab bersama dengan kurma. Anak-anak al-Ijabah masing-masing berkerut ketika cuba menghabiskan teh Arab ini. Maklumlah, rasanya agak lain dari di Malaysia.
Kami kemudian masuk dan bersalaman dengan tetamu yang ada. Tidak lama selepas itu, Habib Umar keluar dan semua orang bersalaman dengan beliau.
Setelah azan dikumandangkan, semua jemaah yang hadir menunaikan solat Isyak berjemaah.
Selepas solat, kami semua duduk untuk memulakan majlis. Pengajian malam ini ialah kitab Bulughul Maram, oleh Ibnu Hajar, kitab hadis hukum bagi rujukan mazhab Syafie.
Budaya ilmu di sini, jika ada mana-mana majlis ilmu, ia bukan sahaja di hadiri oleh para penuntut, para tuan-tuan guru dari tempat-tempat lain juga akan duduk bersama untuk mendapatkan fadhilat majlis ilmu.
Subhanallah, kagum saya dengan budaya ilmu seperti ini.
Kita kalau di Malaysia, jarang sangat seorang ustaz duduk di majlis ilmu ustaz lain. Malahan, ramai antara ustaz akan cuba mencari pengaruh dengan merendahkan ustaz-ustaz lain.
Saya berkenalan lagi dengan ramai tuan-tuan guru di Mekah ini. Dan yang paling saya syukurkan ialah, anak-anak yatim al-Ijabah ini, dapat di dedahkan dengan program talaqqi seperti ini, agar satu hari nanti, mereka boleh membiasakan untuk menziarahi orang-orang alim dan orang soleh.
Ketika majlis ingin dimulakan, tiba-tiba Habib Umar meminta saya duduk di hadapan bersama para tuan-tuan guru lain.
Berderau darah saya, agak pucat juga. Tetapi, setelah dua tiga orang di situ meminta juga saya ke hadapan, dengan langkah yang berat saya melangkah ke hadapan.
Majlis di mulakan dengan doa dan zikir.
Setiap seorang dari tetamu membawa kitab. Yang tidak membawa kitab, akan ada seorang yang berkhidmat memberikan kitab yang disediakan. Setiap orang memegang kitab.
Berbeza dengan budaya di Malaysia, dalam pengajian di masjid atau surau, ustaz sahaja yang pengang kitab, para pendengar duduk sambil menyandar di tiang sambil berbisik
“ Apalah yang ustaz nak membebel malam ni….”
Kadang-kala tersengguk-senguk kerana ustaz tak kelakar. Kalau ustaz kelakar baru best dengar.
Rupanya majlis ilmu bukan majlis ilmu, tetapi majlis halwa telinga kerana nak dengar cerita kelakar.
Di sini, majlis ilmu adalah majlis ilmu dan memang penuh dengan butiran hikmah dan tarbiah.
Beberapa orang akan membacakan kitab dan ia kemudian disyarahkan oleh Habib Umar.
Di hujung-hujung majlis, pembesar suara diberikan pada saya.
“Alamak, apahal pula ni…” bisik hati saya sambil memaparkan senyuman pucat di hadapat ratusan hadirin termasuk para tuan-tuan guru yang hadir.
“Bacakan untuk kami”, kata Habib Taha Hassan Fada’ak, seorang Alim dari Rusaifah Mekah yang mempunyai pengajiannya sendiri pada saya.
Saya memerhatikan sekeliling, semua pendengar memegang kitab masing-masing bersedia menyemak, yang mempunyai pen telah bersedia untuk mencatatkan sesuatu. Tuan-tuan guru yang ada di sekeliling saya memerhatikan.
Saya melemparkan senyuman pucat pada mereka.
Dengan lafaz bismillah, saya mula membacakannya. Sesekali saya mengangkat mata, menjeling, semua khusyuk memandang kitab yang dibacakan. Beza sungguh budaya ilmu di sini, subhanallah….
Kemudian, Habib Umar mensyarahkan isi yang telah dibacakan.
Walapun kitab ini memang biasa saya baca, tapi membacanya di hadapan tuan-tuan guru, satu pengalaman yang cukup mendebarkan. Tapi saya bersyukur, kerana Allah memberikan peluang untuk saya duduk di majlis ilmu di Mekah al-Mukarramah ini.
Pengajian tamat jam 10.30 malam. Ia diakhiri dengan doa dan zikir.
Malam ini, kami dijamu dengan nasi mandy ayam. Bukan main selera lagi anak-anak Ijabah sambil berbual dengan orang-orang arab yang makan bersama mereka. Entah apa yang dibualkan, saya pun tidak tahu.
Semua tetamu telah mula beransur, Habib Umar juga telah beransur. Anak-anak yatim al-Ijabah belum lagi pulang, mereka menjadi tetamu khas tuan rumah ini.
Kami di perdengarkan dengan qasidah-qasidah selawat dan munajat yang disampaikan oleh keluarga tuan rumah.
Tamat bacaan qasidah dari tuan rumah, anak-anak yatim al-Ijabah pula di minta untuk membacakan selawat. Kami berselawat bersama-sama.
Habis selawat terus saya meminta diri. Malam ini, ada satu lagi program, saya mahu membawa anak-anak Ijabah mendaki gua Hira’.
Kami dihantar pulang ke hotel. InsyaAllah, panjang umur, murah rezki, kita jumpa lagi.
Salam perpisahan diakhiri dengan pelukan ukhwah dari mereka.
Inilah persaudaraan Islam, ke mana kita pergi, kita adalah bersaudara.
Anak-anak Ijabah menghampri saya:-
“Ustaz, esok ada lagi tak pengajian macam ni?”
“Alhamdulillah, Allah telah kurniakan rasa seronok ke majlis ilmu pada mereka” bisik hati saya…..
“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
Al-faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Baity Bakkah Hotel, Makkatul Mukarramah
15 Rabiul Akhir 1431/31 Mac 2010 jam 10.00 pagi
Mengambil wuduk di Syari’ Mansur
Kami dihidangkan dengan teh Arab dan kurma
berkerut anak Ijabah menghabiskan teh Arab ini
Para tetamu dan tuan-tuan guru yang hadir
Habib Umar bin Hamid menyampaikan kuliahnya
Saya dipersilakan untuk duduk bersama tuan-tuan guru di sini.
Yang lebih mendebarkan apabila diminta untuk membacakan kitab pada semua.
Syukran Ya Syeikh. Kesempatan yang ada saya minta didoakan agar pembinaan kompleks Yayasan al-Ijabah dibantu Allah.
Alhamdulillah, Pemulaan pembelian tanah di doakan oleh Ulama dari Maghribi, pembinaan pembangunannya di doakan oleh Ulama dari Mekkah.
Antara anak Ijabah yang bersalaman dengan Syeikh Habib
Malam ini, kami dihidangkan dengan nasi Mandy ayam
anak-anak Ijabah dengan orang Arab, entah apa yang dibualkan saya pun tak tahu….
Selera menjamu nasi Mandy
Samsul bersama salah seorang tuan guru di sini
Kenangan bersama tetamu lain yang hadir
Di sebelah kanan gambar, Habib Taha Hassan Fada’ak, seorang Alim dari Rusaifah Mekah
Ole-ole istimewa untuk anak Ijabah. Replika cincin Nabi saw
Setiap seorang dihadiahkan dengan kitab Bulughul Maram
Qasidah dari tuan rumah
Anak-anak Ijabah pula membacakan selawat
Salam perpisahan, panjang umur jumpa lagi…
2 comments:
alhamdulillah..ustaz dan anak2 ijabah dipilih oleh allah s.w.t..doakan saya ustaz..
mabruk alaikum........ umrah mabrurah inshallah.....
Post a Comment