Tuesday, March 30, 2010

Diari 189 – Majlis Ilmu Bersama Habib Umar bin Hamid al-Jailani

“Assalamualaikum Syeikh, saya Muhamad dari Malaysia, ingin menziarahi Syeikh” kata saya pada Habib Umar bin Hamid al-Jailani.

“Selamat datang- selamat datang semua, malam nanti selepas Isyak kamu ambil kereta sewa ke Suuq Hijaz. Nanti dari sana telefon saya” katanya pada saya.

“InsyaAllah, insyaAllah, jumpa malam nanti ye” saya memberikan respons.

Malam ini, 29 Mac 2010, selepas Isyak, jam 9.00 malam, semua anak-anak yatim dan tahfiz al-Ijabah telah bersiap. Saya memang ingin membawa sekali anak-anak Ijabah ini untuk membiasakan mereka menziarahi orang-orang alim.

Saya mengajak semua yang ada ke syari’ Misfalah, menahan sebuah van dan menuju ke Suuq Hijaz. Dalam perjalanan, wakil Syeikh, Ustaz Ahmad menghubungi saya:-

“Sudah sampai di mana?, tolong berikan telefon pada driver, nanti saya nak cakap di mana tempat yang ingin dituju”

Saya memberikan telefon ini kepada driver berketurunan Saudi ini. Tidak tahu apa yang diperbualkan, hanya yang keluar dari mulutnya :-

“Aiwah… Aiwah…. Aiwah….”

Kami tidak berhenti di Suuq Hijaz, kami berhenti di satu tempat dan di sana terdapat sebuah kereta telah menunggu kami. Kami mengekori kereta ini, menaiki kawasan berbukit hinggalah sampai ke sebuah banglow besar di atas puncak bukit ini. Kelihatan, inilah banglow tunggal yang tersergam di puncak tertinggi bukit ini.

Kami dialu-alukan masuk. Ibu dan adik perempuan saya serta anak-anak Ijabah perempuan dipersilakan ke tingkat atas.

Dari jauh kami telah mendengar selawat di alunkan.

Di kawasan rumah ini terdapat lebih kurang hampir 500 tetamu. Masing-masing membawa kitab Sahih al-Bukhari.

Rupanya, malam ini, Habib Umar bin Hamid al-Jailani mengadakan pengajian hadis bersanad kitab Sahih al-Bukhari. Pengajian ini merupakan pengajian mingguan di tempat ini.

Saya dan anak-anak Ijabah dipersilakan duduk. Kami semua duduk mendengar pengajarannya. Saya begitu khusyuk dan teruja mendengar patah-patah ilmu yang keluar dari mulut beliau, anak-anak ijabah pula kebanyakkannya khusyuk tersengguk-sengguk, terlelap kerana setakat ini belum memahami lagi.

Sejam kemudian, pengajian di akhiri dengan dua jenis doa, pertama, doa beramai-ramai dan yang kedua, Habib Umar sendiri membacakan dan yang lain mengaminkan.

Selepas semua selesai, majlis ditutup dengan alunan selawat kepada junjugan besar Nabi saw.

Semua yang hadir bersalaman. Selepas majlis malam ini rupanya, terdapat jamuan Nasi Mandy Kambing.

Setelah tetamu agak reda, barulah Habib Umar bin Hamid al-Jailani menghampiri kami, berbual dengan kami.

Dia begitu senang dengan kehadiran kami dan anak-anak Ijabah.

“Esok kita ada satu majlis lagi, kamu semua datang ye, nanti saya akan aturkan kenderaan mengambil kami” kata Habib Umar bin Hamid.

“Terima kasih” kata saya pada Habib Umar. Beliau terus memanggil pembantunya, Abdul Hamid untuk menguruskan perjalanan pulang kami.

Anak-anak Ijabah begitu gembira. Saya juga turut gembira melihat mereka. Semoga dengan pendedahan begini akan dapat membiasakan mereka menziarahi orang alim dan soleh satu hari nanti.

Berdamping dengan orang soleh akan menyebabkan kita sentiasa diingatkan dengan kebenaran dan kesabaran.

Ia diibaratkan kita mendampingi penjual minyak wangi, jika kita tidak diberikan sebotol minyak wangi sekalipun, paling kurang duduk di kawasan mereka, bau wangi itu akan melekat di baju kita.

Berkawan dengan orang jahat ibarat berdamping dengan tukang besi. Kalau tidak percikian api itu melobangi baju kita, paling kurang, bau asap itu akan melekat di baju kita.

Dan percayalah satu perkara, kita akan bertemu dengan orang macam kita walau di mana kita berada…

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Baity Bakkah Hotel, Makkatul Mukarramah

14 Rabiul Akhir 1431/30 Mac 2010 jam 7.45 pagi

IMG_4705

Kami mengambil sebuah van untuk ke tempat pengajian ini

IMG_4744

Habib Umar bin Hamid al-Jailani

IMG_4745

Khusyuk….

IMG_4748

Selepas pengajian, masing-masing berpusu-pusu bersalaman dengan Habib

IMG_4760

Berbual dengan orang-orang soleh di sini

IMG_4767

Malam ini, kami dihidangkan  dengan Nasi Mandy kambing

IMG_4784

Pembantu Habib, Abdul Hamid

IMG_4788

warga Ijabah, bergambar kenangan dengan Habib Umar bin Hamid al-Jailani

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...