Saturday, April 11, 2009

Motivasi Iman 8 - Sepuluh Sebab Hati Tidak Tenang (Siri 1)

Pada kesempatan kali ini kita akan membincangkan mengenai 10 sebab kenapa hati tidak tenang. Ini kerana, sedar atau tidak sebenarnya, ramai orang yang hilang ketenangan hatinya sekalipun duduk di rumah yang besar, berpangkat besar, kereta besar dan mempunyai isteri atau suami yang besar.

Saya banyak bertemu dengan berbagai golongan, dari yang kaya hingga yang biasa. Perkara yang sering ditanyakan ialah:-

"Ustaz, hati saya rungsinglah, tak tahu sebab apa"

Kadang-kala mereka meluahkan,

"saya ni semua ada, tapi tak tahu lah kenapa hati saya tak tenang, Ustaz ada nasihat tak?"

Ini ayat-ayat yang sering saya jumpa. InsyaAllah, kita akan membahaskan kenapa hati tidak tenang. Semoga Allah memberikan saya dan pembaca sekelian ketenangan hati, satu perkara yang tidak dapat dibeli dari kedai sekalipun kita mempunyai jutaan wang.

Ada 10 sebab kenapa hati tidak tenang.

Sebab Pertama

Hati tidak tenang kerana seseorang itu merasa rendah diri pada unsur keduniaan terhadap manusia lain.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Perkara ini boleh berlaku apabila seseorang suka membesarkan keaiban dirinya kemudian membandingkan kebahagiannya dengan orang lain.

Hari ini, Allah telah berikan berbagai nikmat padanya. Tetapi dia merungsingkan jerawat yang timbul di mukanya. Dia malu pada jerawat dimukanya. Sedangkan jika dia mengeluh ia tidak merubah apa-apa. Dia malu seolah-olah jerawat itu menghilangkan hidungnya, matanya., dagunya. Dia besarkan keaiban yang ada pada dirinya. Akhirnya hilang ketenangan pada diri. Kemudian dia bandingkan pula dengan muka-muka artis yang ada pada majalah. Ah.. tertekan dengan jerawat.

Hari ini, seseorang malu dengan umurnya telah lanjut, mukanya yang telah berkedut, rambutnya yang telah beruban, kakinya tak cantik, kukunya pecah. Untuk apa kita malu dan besarkan perkara itu. Kita usaha perbaiki tapi jangan rungsing dengan perkara itu. Ia hanya akan membuatkan kita hilang ketenangan.

Hari ini dia kena berhenti kerja, dia malu jika orang lain tahu. Sebab apa? Sebab sebelum ini agak sombong dengan kedudukan yang ada. Untuk apa malu, terima sahaja hakikat dan usaha semaksima mungkin. Berhenti kerja tidak menyebabkan kita mati. Masih banyak lagi usaha yang boleh dibuat.

Hari ini kereta kena tarik, rumah nak kena lelong. Kenapa malu? Itukan harta kita. Kita nak beli atau kita dah tak mampu nak bayar itukan hal kita. Jangan rasa rendah diri. Allah beri kita rumah itu awal untuk rasa selesa sekejap. Hari ini dia tarik untuk kita lebih hargai nikmat itu. Nanti kalau beri lagi Alhamdulillah, kita akan lebih bersyukur. Jangan sebab rumah nak kena lelong hilang ketenangan diri.

Hari ini kita mungkin berpisah dengan isteri, dengan suami, untuk apa malu? Itukan telah berlalu. Bina semula dan jangan rasa rendah diri terhadapa apa yang berlaku.

Kenapa kita selalu rasa rendah diri pada unsur keduniaan terhadap manusia? Kerana kita membandingkan kebahagiaan kita dengan orang lain.

Jangan sekali-kali kita bandingkan kebahagiaan kita dengan orang lain. Orang lain ada rumah besar, kita bandingkan rumah kita yang kecil. Walaupun dia ada rumah yang besar, dia juga ada masalahnya sendiri. Mungkin rumah sahaja besar, tetapi isterinya sering merungsingkannya, mungkin anaknya yang selalu tak balik, mungkin masalah kesihatannya yang teruk.

Semua orang ada masalah, kesamaannya ialah masalah itu menghimpit hati, bezanya ialah bentuknya. Jadi jangan kita rasa rendah diri pada keduniaan terhadap orang lain. Orang lain juga punyai masalahnya sendiri yang kita tidak tahu.

Satu ketika, seorang sahabat telah dileteri oleh isterinya. Dia sangat sedih dan ingin mengadukan perkara ini kepada Saidina Umar r.a. Dia rasakan Umar selaku pemimpin negara sudah tentu dapat menyelesaikan masaalahnya.

Kenapa sahabat ini sedih, kerana dia cuba membayangkan dan membandingkan keadaannya dengan Saidina Umar.

Ketika sampai di rumah Saidina Umar, dia mendengar dari luar rumah, Saidina Umar sedang dileteri oleh isterinya.

Cepat-cepat dia berpaling dan meninggalkan rumah Saidina Umar. Ketika itu Saidina Umar nampak dan menegurnya dan Umar menasihatinya mengenai rumah tangga.

Cuba lihat, ketika kita membanding kebahagaian kita dengan orang lain, maka kita akan membesarkan keaiban diri kita, kita akan menjadi malu, kita akan tertekan, kita rasakan orang lain cukup bahagia.

Sedangkan orang lain juga punyai masalahnya sendiri yang mungkin lebih menekan hidupnya. Kalau bukan sama seperti kita, pasti dalam ruangan yang lain.

Oleh itu, hati tidak tenang apabila kita membesarkan aib diri kita dan bandingkan dengan orang lain.

Kita perlu perbaiki keadaan diri kita tetapi jangan sampai ia membuatkan hati kita hilang tenang.

Ketenangan inilah kebahagiaan. Saya, anda dan semua orang mahukan ketenangan ini, tetapi tidak semua orang berjaya mendapatkannya.

Kerana apa? Kerana sebab yang pertama, selalu mengukur kebahagiaan diri dengan orang lain.

Jadi, terimalah hakikat diri kita sebaiknya, baiki keadaan, terima kekurangan diri, jangan berpura-pura pada orang lain, jangan bandingkan kebahagaian dengan orang lain dan nanti anda akan keluar dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan.

Tarik nafas panjang-panjang hari ini, doa agar Allah beri kita kekuatan untuk menerima hakikat diri dan beri jalan keluar pada permasalaan kita. Mudah-mudahan Allah yang empunya ketenangan, akan menitiskan ketenangan ke dalam hati-hati kita.

InsyaAllah, kita akan sambung seterusnya nanti.

"Motivasi Iman, Ubat Hati Penawar Jiwa"

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Height 11 April 09 jam 815 pagi

22 comments:

ibnu_maulub said...

ok.... ;p

Anonymous said...

dan saya juga fikir utk ketenangan hati manusia sentiasa harus bersyukur dlm apa jua keadaan dan serah sepenuh jiwa raganya kepada Allah sebaik2 pentadbir

Shahabudeen Jalil said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

askm, saya nak tanye pendapat usatz ttg masalah saye ni, boleh dikatakn setiap hari saya rase sedih dan x tenang hati bile memikirkan dosa2 saye yg lalu. dosa dari kecik smapai la dh nk 20 an ni. rase rendah diri bila dibandingkan dgn org yang baik2.

Anonymous said...

Assalammualaikummm.ustaz..
sy berasa sungguh tenang membc motivasi dlm blog ni..ustaz..blhkah ustaz membantu sy?? sy bnar2 plukan bantuan dr ustaz... tlglah ustaz... kalo ustaz x keberatn tlg hubungi sy cendarawasih83@yahoo.com
tlg lah ustaz,demi anak-anak sy....

Anonymous said...

ketenangan ini kebahagiaan saya tertarik dengan ayat itu..selangkah je kt ofis saya hilang ketenangan diri. tengok bos yang selalu perkecilkan saya, namun saya harus berjuang untuk mama dan adik-adik saya..by da way thanks coz beri saya sedikit kekuatan dalam dugaan ini.

Anonymous said...

Assalamualaikum ustaz...
Saya telah melalui pelbagai ujian dan dugaan...sehingga kini pun selalu saya berhadapan dengan pelbagai dugaan yang melibatkan keluarga dan rumahtangga. Kalau dulu saya selalu cuba meleraikan kekusutan dalam hati dengan menyuarakan kepada mereka. Tetapi apa yang saya dapat seolah-olah hati saya ini tidak penting untuk dihargai. Berlanjutan hingga kini saya sudah letih. Walaupun sayalah orang yang sentiasa melepaskan masalah mereka...tetapi mereka tidak pernah menghargai saya. Keletihan ini menjadikan saya pasrah.Biarlah mereka tidak menghargai namun Allah tahu semuanya...apa yang saya inginkan ialah jadi seperti patung yang hanya boleh tersenyum...walau hati
amat pedih.

Anonymous said...

hari ini berjanji untuk berubah demi mendapatkan ketenangan hati, selepas beberapa hari, balik kepada sikap asal,bila hati dah resah, kembali mendekatkan diri pada Allah.. selang beberapa hari, perkara yang sama berlaku... adakah memang ini takdir, sesetengah orang lahir dalam keadaan yang lebih bertuah, dengan mudah dekat pada Allah, muka yang sejuk mata memandang, sikap yang ikhlas dari hati dan tidak hipokrit. Tapi diri ini terasa seperti melakonkan berbagai watak, kejap baik, kejap jahat, susah untuk istiqamah. Kadang2 nampak mcm benar2 nekad, tapi akhirnya kembali pada perwatakan asal, keliru dengan kehendak dunia dan akhirat.Bila di fikir akhirat lebih penting tiba-tiba dunia nampak lebih penting, bila difikir dunia lebih penting, tiba-tiba akhirat nampak lebih penting, campur tolak campur tolak akhirnya kosong, di takuk lama.Pi mai Pi Mai tang tu.

pali7x said...

sangat bermanfaat dan mudah difahami penyampaian ustaz :) terima kasih, saya follow blog ustaz.

Anonymous said...

Rumah tempat tinggal ibubapa & 4 adikberadik saya akan dilelong dalam masa 1 minggu lagi. Kami lagi 3 adik beradik yang sedang bekerja cuba mendapatkan rumah itu semula demi ibubapa & satu2 satunya tempat tinggal yg ada & mampu dibeli. Kami rehda dgn musibah yang menimpa & diharapkan ada sinar yang terang disebalik dugaan ini.

marsitahsulaiman said...

Salam ustaz..sy mtk izin utk share entry ustaz ye...

Anonymous said...

assalamualaikum ustaz,
mcm mana nak pujuk hati supaya xmenjadi seperti yang atas...kerana kini ia hampir sudah memusnahkan kehidupan seseorang individu itu...

Anonymous said...

kadang-kadang bila kita rasa diri kita byk kekurangan kita hilang rasa keyakinan diri...apa pun bila memikirkan nasib org laen lbh teruk dari kita..saya bersyukur sgt2 dgn ape yg ada...kerana..ALLAH tetap ada di sisi kita.....bsama2 dlm kesedihan mahupun kgembiraan kita sume...jgn bersedih...

nur said...

Assalamualaikum wbt. terima kasih atas info yang bermanfaat ini ustaz. ia seakan memberi nafas baru untuk terus bermotivasikan diri.yang penting jangan bandingkan diri sendiri dengan orang lain, untuk mengelakkan rasa rendah diri yang keterlaluan.

Hafiza Omar said...

ustaz mohon share entry ini ye di blog sy..syukran..

Anonymous said...

Aslmkm ustaz,ustaz saye rase tak tenang ustaz.sy tak dpt nak khusyuk waktu berdoa.sy tak mampu nak berasa sedih.Dulu saya selalu menipu tapi saya tak nak melakukan perbuatan ini lagi .tapi kenapa sekarang, kadang2 saya rasa doa saya tak dikabulkan sebelum ini tidak pula..apkah sbb terjadinya sebegini ustaz dan ape yg sy harus lakukan?

Anonymous said...

assalamua'laikum ustaz...ada seorang kawan menyatakan kepada saya bahawa kedudukan isteri dalam islam jauh lebih rendah daripada kedudukan suami..isteri tiada hak utk bertanya apa yg suami buat dan ke mana suami pergi atau apa sahaja yg berkaitan dgn suami..malah suami juga berhak menipu isteri sebab itu adalah hak suami..saya keliru dlm hal ini kerana setahu saya benar isteri perlu mentaati dan menghormati suami lebih daripada ibu bapa sendiri tp tidaklah sampai ke tahap isteri langsung tiada hak ke atas suami..minta penjelasan ustaz dalam hal ini...

Anonymous said...

Assalamualaikum ustaz. saya ada mslh sikit ni. Harap ustaz dpt tlg saya. Kenapa hati saya selalu x tenang? Terutamanya sekali ketika saya sdg solat. Bila saya solat, mcm2 yg terfikir dlm kepala sy terutama sekali psl Dajjal. Sy rs keliru adakah solat saya ini kerana Allah atau selain drpd Allah? Setiap pergerakan solat, mesti saya membandingkan antara Allah dgn Dajjal. Saya tkut saya telah mmbuat dosa syirik,murtad, mahupun kafir. Gangguan trsebut mnyebabkan solat sy tidak khusyuk lgsung. Lps sy beri salam, sy rasa x bersemangat utk berdoa sbb sy malu sy ada buat apa2 dosa dkt Allah. Setiap masa sy ade mslh mcm ni. Sy hrp ustaz dpt tolong sy cri jln pnyelesaian. Syukran.

fadhzly said...

Alhmdlh saya berasa tenang dpt brkongsi

Anonymous said...

Assalammualaikum ustaz
Terima kasih diatas perkongsian ini.hati saya semakin lega, saya menerima ujian yang sangat berat bagi saya. Tetapi bila saya fikir2 balik, saya rasa org lain pun mungkin mengalami masalah yang sama tak pun lagi berat dari saya. Betul kata ustaz, tak perlu membanding2kan kebahagiaan kita dengan orang lain. Masalah kita semua berbeza.
Saya akan mengambil ini untuk memotivasikan diri supaya berfikir positif.

Anonymous said...

Assalamualaikum ustaz..
saya juga sering rasa tidak tenang terutama bila memikirkan soal kewangan. Bila melihat org lain yg hidup senang lenang..tertanya tanya kenapa saya diuji begini..

faizul badri said...

Untuk menenangkan hati, boleh cuba kasturi syifa sebagai ikhtiar : )
http://muslimchoices.com/?p=kasturi_syifa_assyafi