Sunday, April 19, 2009

Universiti Kehidupan 58 - Percayalah, ia tidak semudah menyebutnya

18 April selepas subuh saya bertolak ke Penang bersama dua orang anak didik saya yang merupakan anak yatim yang saya jaga. Tujuannya ialah untuk mendaftarkan mereka di Kolej Ihsaniah Penang. Mereka akan mengambil bidang Syariah.

Baru sejam perjalanan telifon saya berbunyi, saya mengangkat. Ustaz Syafie, warden asrama pelajar yatim dan tahfiz menengah memberitahu saya:-

"Ustaz, malam tadi dekat asrama ada orang curi kasut sekolah kita. Yang letak dekat luar semua hilang ustaz, Laptop Ustaz Ibrahim pun hilang juga. Macam mana ye?

"Aduh.." bisik hati saya.

"Nantilah, tunggu saya balik petang ni" kata saya.

Sesampai di Penang, saya bertemu dengan Ustaz Jamal, Pengetua Kolej Ihsaniah. Saya berbincang mengenai perjalanan pembelajaran anak ini. Setelah menguruskan semua, ustaz Jamal mula mendaftarkan anak ini.

"Minggu depan ni boleh datang, nanti ana uruskan asrama dia" kata ustaz Jamal.

Hati saya puas. Memang dari awal lagi, saya berniat akan menjaga pembelajaran anak-anak ini. Saya bercita-cita agar mereka berjaya seperti mana orang yang ada ayah. Dia anak bangsa saya, dia anak saudara seIslam saya yang ayahnya telah dahulu mendahului saya.

Setelah agak lama berbual dari hal pembelajaran hingga hal yang ringan-ringan, saya meminta izin untuk pulang. Kami bersalaman. insyaAllah ustaz jumpa lagi.

Saya pun memandu pulang. Petang ini di Utara hujan renyai-renyai. Baru sampai Tapah, telifon saya berbunyi.

Kali ini berita dari asrama anak-anak, sekolah rendah pula. Mereka bergurau-gurau, bermain baling pasir, tidak perasan dalam pasir ada batu, kena cermin kereta orang dan pecah.

"Aduh.." sekali lagi hati saya berkata.

"Okeylah, tunggu, nanti saya sampai saya terus ke sana. " kata saya.

Sesampai di asrama mereka. Saya memanggil semua. Apa yang boleh dibuat, semua telah berlalu. Sementara itu, tuan punya kereta mencadangkan.
"Tak apalah, saya betulkan, nanti bil saya bagi. Budak tu tak sengaja. "

"Aik, baiklah pulak", bisik hati saya.

"Tak apalah, mereka tadi dah jumpa saya, mereka dah minta maaf."

Sejuk hati saya dengar. Buat salah dan pandai minta maaf.

"Okeylah, taka pa, nanti saya gantikan ye.." janji saya.

Beginilah cabaran menjaga anak-anak yang ramai. Ramai orang yang membaca hadith:-

"Aku dan penjaga anak yatim seperti ini di syurga, Rasullullah menunjukkan kedua-dua jari tengah dan telunjuknya.

HR al-Bukhari.

Apabila berbicara mengenai syurga, percayalah, ia bukan mudah sebenarnya. Ia susah jika tidak dipermudahkan Allah.

Saya melihat setiap wajah mereka. Wajah anak saudara saya yang telah mendahlui saya. Tak apalah. Semoga satu hari nanti menjadi orang hebat untuk agama, bangsa dan negara. Saya mengumpulkan mereka semua. Sama-sama kami membuat bulatan membaca tahlil dan nazam-nazam selawat dari kitab Maulid ad-Dibaie. Semoga berkat selawat ini Allah melembutkan hati-hati mereka. Di hujung, kami semua berdoa. Berdoa agar Allah senitasa membantu diri yang lemah ini dan juga anak-anak ini. Semoga berjaya di dunia dan di akhirat.

"Universiti Kehidupan Universiti Sepanjang Hayat"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights 19 April 09 jam 10 malam



Semoga semua berjaya seperti mana orang yang ada ayah di dunia dan di akhirat, amin...

2 comments:

Abdullah said...

semoga Allah membalas segala kebaikan yang ustaz buat pada anak2 yatim itu dan semoga ustaz tetap sabar dan tabah dalam melayan mereka.

Anonymous said...

Syukur kerana anak-anak Yatim tersebut ada yang memberi perhatian dan kasih sayang seperti ustaz dan keluarga. Sangat berbahagia anak-anak tersebut. Terkenang sy apa yang saya lalui. Sy tidak beribu sejak usia bertatih, saya punya ayah ttp kehidupan seperti tidak berayah.Hanya menumpang kasih org. Saat dewasa begini, hidup seperti sebatang kara.Susah senang hanya Allah tmpt mengadu dan merintih.Sekarang ini, kawan-kawan dan segelintir dari sahabat sudah menjauh pergi....Ustaz doakanlah kebaikan untuk saya dunia dan akhirat selamat, di rahmati dan berjaya. Moga Allah merahmati ustaz dan keluarga juga. Amin.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...