Friday, April 3, 2009

Sekilas 17 - Kita Yang Datang Dan Yang Pergi

Sejarah Malaysia akan mencatatkan satu peralihan kepimpinan negara. Datuk Seri Najib Tun Razak memikul satu tanggung jawab yang besar sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

Ketika Saidina Abu Bakar dibai’ah menjadi Khalifah umat Islam, di Thaqifah Bani Saidah, beliau memberikan ucapan:-

“wahai Manusia, sesungguhnya aku telah dilantik (menjadi pemimpin) sedangkan aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku membuat kebaikan maka bantulah aku dan jika aku ingkar maka sanggahlah aku”

Di akhir khutbah itu beliau menegaskan:-

“taatilah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasulnya, dan apabila aku ingkar pada Allah dan Rasulnya maka janganlah kamu taat pada aku” (rujuk as-Sirah an-Nabawiyyah Li Ibni Hisyam (1998), Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi, Beirut, jilid 4 hal.318)

Alangkah indahnya jika seorang pemimpin itu mengaitkan dirinya dengan Allah. Ini kerana, dia telah naik dengan izin Allah yang Maha Berkuasa. Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa :-

Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.( Ali Imran ayat 26)

Jadi, tidak semua yang naik itu mulia dan tidak semua orang yang jatuh itu hina, begitulah sebaliknya.

Ramai orang yang masih kurang yakin bahawa mulia itu milik Allah. Dia rasa dengan dunianya dia mulia, dengan pangkatnya dia mulia, dengan kekayaannya dia mulia. Sedangkan Allah berfirman:-

Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuli- aan itu semuanya. (al-Fatir ayat 10)

Mulia atau tidak seseorang itu ialah apabila dia dapat mencetuskan amal soleh dengan dunianya. Jika dia berpangkat, lahir amal soleh, jika dia berharta, lahir amal soleh, jika dia ada kelebihan, lahir amal soleh.

Jika Abu Bakar menjadi mentor pemimpin yang ada sekarang, sudah tentu dia juga akan mengingatkan mengenai kuasa Allah yang menaikkan seseorang. Oleh itu, sebelum jatuh, buatlah semaksima kebaikan. Tetapi jika mentornya adalah nafsu, maka dia akan berbuat mengikut hatinya hinggalah seperti firman Allah:-

1. Bermegah-megahan telah melalaikan kamu 2. sehingga tiba-tiba kamu diheret masuk ke dalam kubur. (at-Takhathur 1 dan 2)

Sesungguhnya, pemimpin datang dan pergi, Islam tetap menjadi jatidiri, pemimpin perlu dibantu jika dia baik, perlu ditegur jika dia silap dan perlu disanggah jika dia zalim.

Jika ini yang kita lakukan, maka setiap perkataan dan usaha ke arah itu dikira jihad dijalan Allah.

Semoga Allah memberi kita semua kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sesungguhnya, seseorang itu akan terikut-ikut agama pemimpinnya (maksud hadith). Apa pun, kita mengharapkan yang terbaik untuk agama, bangsa dan Negara.
al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
3 April 3.00 pagi

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...