Wednesday, April 29, 2009

Diari 55 - Galilee

28 April 09, Kami bermalam di Hotel Golden Crown di Nazreth. Nazareth terbahagi pada bandar lama dan bandar baru. Bandar lama majoritinya orang Islam. Bandar baru tempat penempatan Yahudi. Perjalanan kami hari ini ialah ke daerah Tiberias. Di dalamnya terdapat tempat bernama Buhairah al-Jalil (Sea of Galilee) iaitu perkampngan Nabi Isa a.s.

Coster kami bergerak meninggalkan hotel pada jam 9.15 pagi. Kami mula melalui jalan yang berliku untuk turun dari Nazareth. Di kanan kiri, penuh dengan apartment berwarna putih. Poko-pokok bunga menghiasi jalan. Kami melalui bandar Ka naa, sebuah bandar yang menjadi kepercayaan orang kristian bahawa Nabi Isa menunjukkan mukjizatnya iaitu menukarkan 6 jug air putih menjadi arak di waktu hari perkahwinan ibunya Maryam.

Bagi orang Kristian Protesten, mereka tidak menerima bahawa Isa a.s menukarkan air itu menjadi arak. Ini kerana arak merupakan minuman terlarang. Tetapi, baginda menukarkan menjadi jus anggur. Bagi kita orang Islam, mustahil para Nabi melakukan perkara terlarang dengan mukjizatnya.

Kami meninggalakan bandar Ka naa melalui kawasan pertanian yang subur. Di kanan kiri kami terdapat ladang-ladang pokok zaitun. Terdapat juga ladang gandum. Perjalanan dari Nazareth ke Galilee ialah 35 km.

Gailee sebuah tempat kawasan majoriti Yahudi. Terdapat juga Muslim, Kristian, Bahai dan Durzen. Dalam perjalanan ke Galilee ini, kami melihat bendera Israel dinaikkan separuh tiang. Saya bertanya pemandu kami, Nasir mengenainya.

Beliau menjawab, 29 April adalah hari Merdeka Israel. Jadi pada 27 dan 28 April mereka akan menaikkan bendera separuh tiang untuk mengingati tentera mereka yang terkorban di dalam pembinaan negara mereka.

Saya terlihat sebuah papan tanda di jalan yang menyatakan “Sea Leval”. Saya bertanya Nasir, pemandu kami mengenainya. Dia menyatakan bahawa Sea of Galilee 220 meter di bawah paras laut, separuh dari kedalaman laut mati iaitu 441 meter. Orang Israel sebutnya sebagai Kinnereth. Ia memberi maksud “Kinar Dawwod” iaitu “harp of David,” Ini kerana, Sea of Galilee jika dipandang dari udara seperti sebuah alat muzik.

Kami sampai di Sea of Galilee. Di sini tempat Nabi Isa a.s berdakwah, mengajak orang ke arah tauhid. Kami menaiki kapal merentasi Sea Of Galilee.Di sebalik tasik besar ini ialah bukit Golan, iaitu satu pergunungan yang diambil oleh Israel dari Syria pada peperangan 6 hari 1967.

Apa yang menarik pada Bukit Golan ini ialah kisah bagaimana Israel menyerapkan pengintipnya ke dalam negara Syria. Pengintip itu bernama Amin Thabit atau Elly Kohen. Selama 20 tahun Elly bersama tentera Syria hingga menjadi orang kepercayaan di dalamnya.Dia mencadangkan agar penempatan tentera Syria di Bukit Golan ditanam dengan pokok bernama Yukeliftes. Peranan Elly akhirnya dijejaki oleh perisik dari Mesir. Akhirnya dia dihukum gantung di Syria. Pada ketika Israel menjalankan operasi menawan Bukit Golan, mereka mudah menjejaki kawasan ketenteraan Syria kerana terdapatnya pokok Yukeliftes yang di tanam di setiap kawasan ketenteraan. Hanya 6 hari sahaja, seluruh Bukit Golan dapat ditawannya. Israel cuba untuk mendapatkan badan Elly kembali dari Syria.

Sea Of Galilee sebuah tasik besar yang mengalirkan airnya ke sungai Jordan. Airnya bersih dan menajdi sumber minuman di sini. Terdapat 27 jenis ikan di sini dan yang paling popular ialah ikan Talapia. Orang di sini pernah menemukan sebuah kapal yang berumur 2000 tahun di sungai ini. Ia kekal kerana disaluti oleh lumpur. Kapal ini ada dipamerkan di sini.

Sungai Jordan pula ialah tempat suci bagi orang Kristian. Airnya ibarat air zam-zam bagi mereka. Aliran air sungai Jordan ini akan berakhir di laut mati. Di kiri sungai Jordan ialah Tebing Timur iaitu wilayah di dalam negara Jordan. Sebelah kanannya pula Tebing Barat iaitu di kawasan jajahan Israel. Sea of Galilee dipagari dengan bukit bukau. Antara yang paling dekat ialah Gunung Arabil. Pada waktu tengah hari, kami bersembahyang di masjid Wadi Hammam, iaitu satu lembah di celah Gunung Ardabil yang banyak burung merpati. Terdapat kubur-kubur lama di bukit sekitar Wadi Hammam ini.

Waktu turun, kami melalui kampung Majdal, iaitu tempat lahir kawan Nabi Isa a.s Maryam Majdalina atau Merry Magdaline. Ada golongan kristian yang mulai menyatakan bahawa Isa hanya Nabi dengan keyakinan bahawa Maryam Magdalina adalah isternya. Kita boleh lihat golongan ini seperti di dalam cerita “Da Vinci Code”. Perkahwinan Isa hanyalah perkhabaran ahli Kitab. Di dalam Islam tidak dinyatakan kisah ini. Yang ada adalah Isa nanti akan diturunkan kembali ke dunia. Kemudian selepas itu baru baginda akan berkahwin.

Dalam perjalanan pulang ke Nazareth, kami melalui pegunungan Hittin iaitu tempat berlakunya peperangan besar antara Salahuddin al-Ayubi dengan tentera Salib pada 4 Julai 1187.

Tentera salib mula datang ke Jerusalem pada tahun 1099 dengan mengalahkan Kerajaan Fatimiyyah yang mengusai Palestin ini. Selepas itu, terdapat peperangan kecil hinggalah 4 Julai 1189 Salahuddin mengalahkan mereka dan semua tentera lari di kawasan laut seperti Akko, Askalan, Jaffa dan Atlit. Selepas mengalahkan mereka, barulah Salahuddin beralih ke Jerusalem dan menawan kota itu. Salahuddin menghadapi seorang pemimpin bernama Balian anak Godfrey keturunan raja yang menjadi petani dari Eblin. Peperangan di Jeruselam selepas kalahnya tentera salib di Hittin difilemkan melalui “Kingdom Of Hevan”. Tentera Salib yang berundur ke tepi pantai cuba beberapa kali menawan kembali Jerusalem tetapi tidak berjaya. Pada tahun 1299, Kerajaan Mamaluk mengundurkan mereka semua balik ke Eropah dan tidak lagi kembali ke sini.

InsyaAllah kita akan berkongsi lagi kisah di sini.

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Goleden Crown Nazareth
29 April 09, jam 8.30 pagi.

1 comment:

Shahril Redza said...

Salam ustaz & para pembaca sekalian,

Dalam catatan ustaz kali ini, perenggan ke-6, ustaz menyatakan:

"Perkahwinan Isa hanyalah perkhabaran ahli Kitab. Di dalam Islam tidak dinyatakan kisah ini. Yang ada adalah Isa nanti akan diturunkan kembali ke dunia. Kemudian selepas itu baru baginda akan berkahwin."

Saya rasa kita memang dah dibiasakan dengan kisah turunnya Nabi Isa akhir zaman nanti. Cuma yang saya kurang arif berkenaan baginda akan berkahwin pula. Boleh ustaz atau para pembaca berikan sebarang rujukan untuk saya baca sendiri tentang perkahwinan Nabi Isa A.S. setelah turun kembali dari langit?

Sekian, terima kasih.

-Hamba yang daif-