Monday, April 27, 2009

Diari 52 - Inilah Perjalanan Kami (3)

23 April 09, kami bertolak dari Amman ke sempadan Jordan-Israel di King Hussain Bridge. Semasa berbaris untuk pemeriksaan dokumen, saya dan Helmee telah ditahan.

Saya memerhati sekeliling. Rupanya bukan saya seorang yang kena. Ramai lagi yang kena.
Melihat mereka, saya nampak satu kesamaan. Mereka yang ditahan semua orang-orang muda. Pihak Israel akan memeriksa dengan teliti setiap orang muda yang ingin masuk ke Israel.

Pegawai Imigresen yang menyuruh kami duduk di belakang meninggalkan kaunter. Agak lama kaunter no empat itu kosang. Entah apa yang dibuatnya pada passport, kami pun tak tahu.

Pukul 12.05, saya melihat pegawai tadi masuk balik ke kaunternya. Hati saya lega.

“Haa, dah nak siap ni”

Saya menanti, tak juga dipanggil. Kami dibiarkan begitu sahaja. Pukul 12.30, saya melihat orang di sebelah saya minum.

“Oii, sedapnya kalau ada air.”

Saya melemparkan senyuman kepadanya, rasa kat hati macam nak mintak sikit aje. Kemudian saya teringat.

“Kalau ada minuman, tentulah ada kedai, takkan lah dia bawak dari rumah kot”

Saya bangun dari tempat duduk dan pergi ke arah pintu mula-mula kami masuk. Tepat tekaan saya. Ada sebuah kedai runcit kecil di situ. Saya menghampiri kedai tersebut. Kecil tapi semua ada. Siap ada tong gas dan kuali sekali. Rupanya, kedai yang menjual air ini juga menjual roti berisi telur.

Saya memintanya dua roti dan jus mangga botol. Dia mengambil roti, dipotongnya. Kemudian dia mencincang tomato dan mengambil telur. Telur itu dibasuhnya dulu. Memang di dalam Islam kita kena basuh dulu telur sebab jika tak basuh, takut najis dari dubur ayam itu akan terlarut sekali ketika kita memecahkan telur.

Wiring dalam kedai itu agak uzur. Kadang-kala lampunya padam. Tuan kedai yang sedang menggoreng telur berhenti sekejap dan memasang kembali suis besar lampu. Beginilah kedai orang Arab. Selagi tak terbakar semua selagi tulah dia akan biarkan. Saya bayar. Semua 4 USD, dua roti dan dua air jus mangga. Saya dan Helmi makan roti ini dengan selera sekali.

Jam menunjukkan pukul 12.50, masih tidak ada berita lagi mengenai keadaan kami. Saya melihat semakin ramai yang ditahan. Saya dan Helmee duduk dilantai, memberi laluan seorang ibu yang membawa dua anaknya. Seorang berumur sekitar dua tahun dan seorang lagi enam tahun. Anak yang berumur dua tahun itu tidur keletihan di dalam pelukan ibunya.

Anaknya yang berumur enam tahun seakan merengek pada sang ibu. Dia memegang duit syiling di tangannya. Helmee mencuit saya,

“Ustaz, anak dia tu nak air agaknya”

Saya terus bertanya pada si ibu,

“Law ayish maa, roh ma ie.. mafi musykilah (kalau nak air, jom dengan saya, tak ada masalah)”

Ibu ini terus berkata dengan si anak,

“roh ma’a ammu, roh.. (pergi sama pakcik, pergi..)

Anaknya terus bangun dan datang dekat saya, Helmee berbisik pada saya:-

“Ustaz, kalau dia janda, rela anak kahwin dengan dia ustaz, anak dia baik betul”

Saya pun memimpin anak ini dan bawakannya ke kedai tadi. Saya faham perasaannya. Saya pun memang haus menunggu sejak dari tadi.

Pukul 1.05 tegah hari, masih tiada jawapan lagi. Di kanan kiri saya orang semakin sesak. Ada yang mula marah-marah. Anak-anak kecil menangis. Semua orang keletihan menuggu. Tiba-tiba keluar seorang pegawai perempuan memegang sebemban passport. Kami melihat passport merah, dia melintas di hadapan kami.

“Memang sah passport kita, ok, dah nak panggil ni” saya berkata dekat Helmee.

“Relex lah ustaz, baru tiga jam, ana dulu lima jam,” kata Helmee bergurau

“Ustaz Wan Alias dulu (TV9) sampai hotel terus tidur, memang lepak ustaz, ini pun tak kena torture. Ustaz Wan dulu, macam-macam dia tanya” Helmee menambah.

Pukul 1.14, keluar seorang pegawai perempuan Yahudi. Agak gelap orangnya. Agaknya yahudi Africa. Dia menghampiri kami dan bertanya.

“Siapa ketua perjalanan ?”

Helmee mengangkat tangan.

“Group kamu semua lapan orang kan?”, dia bertanya dengan muka seolah-olah hendak menguji.

“Taklah, kami bertujuh.”, jelas Helmee.

“Ok, tunggu kejap,” dia berkata.

“Aik, tanya tu aje,” kata saya pada Helmee.

Orang semakin ramai. Jam menunjukkan pukul 1.35, seorang tua dari Jerman meminta saya mendudukkannya. Dia sudah tidak larat lagi.

1.40, seorang lelaki Jerman mengetuk pintu pegawai yang tertutup, keluar seorang lelaki. Dia marah-marah sebab lambat. Pegawai itu dengan selambanya mengarahkan dia duduk ditempatnya.

145, saya melihat, orang-orang Palestin yang tidak lepas untuk masuk. Mereka marah-marah. Sekalipun mereka ada di antara mereka yang memegang passport Israel.

1.50, keluar seorang pegawai awal 40an. Dia pegawai besar di kawasan ini. Askar yang menjaga sepadan semuanya muda-muda. Jika 40an itu memang dah tua dan pegawai besar dah tu.

2.05, keluar seorang pegawai perempuan memakai baju biru. Dia mengajukan beberapa soalan. Setelah berpuas hati, dia membawa kami ke kaunter imigresen. Saya dilepaskan, Helmee disuruh mengisi satu borang lagi.

Selepas selesai dari imigresen, kami melalu satu lagi pemeriksaan. Kali ini semua polis berpakaian t-shirt putih berkolar dengan seluar berwarna hitam.

Rupanya, ini yang menjaga bahagian beg. Saya melihat banyak beg-beg yang ditahan. Dia melihat tag bagasi saya. Dia membawa saya ke satu tempat dan bertanya:-

“Ada tak antara beg ini kamu punya?” Saya melihat puluhan beg yang ditahan.

“Tak ada, kata saya ringkas.” Saya dah tak larat dah. Hampir lima jam menunggu.

Selepas itu, saya di suruh duduk di satu tempat yang berasingan. Ramai juga orang yang kena duduk seperti saya. Tidak lama selepas itu, dia memanggil saya dan disuruh beratur di satu barisan lagi.

“Beratur lagi, bila nak keluar ni” bisik hati saya.

Setelah pemeriksaan ketiga pada passport, saya dah Helmee dibenarkan keluar. Saya megambil beg yang berada ditempat letak beg. Kami akan melalui satu lagi pemeriksaan.

Saya menolak troli beg di hadapan pegawai pemeriksa. Tidak disuruh untuk berhenti, saya terus berjalan. Sampai di luar, rombongan yang telah keluar semua sedang menunggu. Ibarat menunggu orang yang baru sampai dari kejauhan pula. Kami bersalaman dan berpelukan. Gembira sebab semuanya selamat.

“Oklah tu, empat jam lebih. Tak pecah rekod TV9 yang kena lima jam” kata Helmee

“Tak pelah, tak pecah rekod pun tak apa,” kata saya keletihan

Kami semua menuju ke coster yang sedang menunggu. Nasir, seorang warga Palestin akan menjadi juru pandu kami di sini.

“Assalamuaaikum, ok, hanya tujuh orang sahaja, tak susah nak kira,” Nasir bergurau.

Kami semua tersenyum . Syukur kerana semuanya selamat. Sedikit ujian itu biasalah, sebagai rencam kehidupan yang Allah sediakan. Semoga, perjalanan ini dibantu Allah. Tujuannya adalah untuk membuat dokumentasi filem dan tulisan mengenai Palestin. Sebelum ini ramai orang Malaysia kita yang datang dengan TV3, TV1 dan TV9. Masing-masing mengulas sejarah tempat ini. InsyaAllah, kita akan mengupas dari sudut yang lain. Dan kita akan berkongsi juga di dalam bentuk terbitan yang boleh dibaca. Semoga ia menjadi perkara yang bermanfaat untuk semua. Amin..

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Bethleham
26 April 09, jam 11.20 malam
Rombongan bergambar di Kubah Syakhra' atau Doom Of The Rock
Kesempatan ke sini, Dato' Yahya mewakafkan 60 biji al-Quran untuk al-Aqsa dan masjid sekitarnya. Yang menarik ialah quran yang diwaqafkan adalah cetakan Malaysia dari Yayasan Restu. Bezanya ialah zukhrufnya (bunga) sekitar Quran ini adalah zukhruf tempatan.
Dalam Masjid al-Aqsa
Berkarpet merah berdinding putih dihiasi dengan al-Quran. Ada 12 nama sahabat menghiasi dindingnya. Dua lagi nama cucuanda Rasullullah saw iaitu Hassan dan Hussin.
Di hadapan mihrab al-Aqsa
al-Aqsa adala satu kawasan taman seluas 15 hektar. Selain dari masjid, kita boleh sembahyang di sekitarnya.

Di kanan ialah al-Aqsa dan di kiri ialah kubah al-Sakhra', di tengah-tengah ialah wailing wall bagi orang Yahudi. Di bawahnya adalah lubang yang digali atas nama kajian. Mungkinkah sedang menuju ke al-Aqsa?
Masjid al-Aqsa. Masih ramai yang tidak mengenalinya. Ramai yang beranggapan bahawa Kubah as-Sakhra' itulah masjid al-Aqsa.

1 comment:

Hani & McKay said...

[Sampai di luar, rombongan yang telah keluar semua sedang menunggu. Ibarat menunggu orang yang baru sampai dari kejauhan pula. Kami bersalaman dan berpelukan. Gembira sebab semuanya selamat]

Assalammualaikum. Syukur alhamdulillah, semua selamat dan kuat fizikal, mental & spiritual. Sebak sungguh saya baca catatan spt diatas. Continue blogging, supaya kami disini dpt mengikuti 'pengembaraan' kalian. Sampaikan salam saya kepada semua