Thursday, April 23, 2009

Diari 48 - Amman Jordan

22 April 09, Kami bertolak meninggalkan Doha International Airport pada pukul 1 tengah hari. Di dalam kapal terbang ada berbagai bangsa. Selain orang Arab, ada orang Indonesia. Mereka bekerja di Jordan sebagai pembantu. Ada orang Filipina. Ada orang Israel dan ada orang Nepal. Orang Nepal ini bekerja di Israel sebagai pembantu.


Pada pukul 3.45, kapal terbang menyentuh bumi Raja Abdullah ini. Kami sampai di Queen Alia International Airport. Jika di India ada Taj Mahal, satu istana yang dibuat oleh sang raja untuk isterinya, di sini ada Queen Alia Airport, lapangan terbang yang dibina oleh King Hussain untuk isterinya yang terkorban di dalam nahas kapal terbang di tapak lapangan terbang ini pada tahun 1976.


Kami dan rombongan mulai keluar dari lapangan terbang. Kami ditunggu oleh Ahmad, wakil agensi pelancongan yang menguruskan urusan di sini. Kami dibawa dengan sebuah coster ke Amman. Dari lapangan terbang ke Amman lebih kurang setengah jam perjalanan.


Di kanan kiri kanan jalan terdapat banyak bangunan-bangunan baru. Kali terakhir saya sampai di sini ialah setahun lepas, bersama dengan rombongan al-Hidayah TV3.


“Kali terakhir saya sampai sini tahun 1978” kata abang Aziz, juru gambar perjalanan kami.


“Hah, waktu tu mak dan ayah saya pun tak rancang nak dapat saya lagi,” Helmi mencelah. Kami semua tergelak.


Sedang kami duduk memerhatikan kanan dan kiri, tiba-tiba Ahmad menunjukkan,


“cuba lihat kiri, ini taman King Abdullah. Ada kereta Kabel. Kalau hari minggu, ramai orang datang sini dengan keluarga”.


Kemudian Ahmad berkata lagi dengan bangga :-


“Hah.. yang itu pula bangunan tertinggi di Jordan. Ia lebih kurang 48 tingkat”,


Kami semua melihat.


Kemudian Ahmad berkata lagi:-


“Tapi di Malaysia lagi tinggi, di sini, ini sahaja yang ada”.


Kami sampai di Kempinski Hotel di Jalan Abdul Hamid Shouman, Shmeisani Ammn. Bilik kami telah disediakan. Setelah berbincang beberapa perkara, kami pun naik ke bilik masing-masing.


Sejam kemudian, kami semua turun. Jam menunjukkan pukul 6.30 petang. Kami semua ke restoren di hotel ini. Kami menjamu selera, cara masak orang Arab. Sambil makan, berbagai topik yang dibincangkan. Mata masing-masing mulai kuyu. Walaupun di sini baru pukul 8.30 malam, tapi di Malaysia sudah pukul 1.30 pagi. Beza jam di sini dengan Malaysia ialah 5 jam. Mata yang belum diselaraskan dengan waktu tempatan menyebabkan terlalu berat nak diangkat.


“Marilah, kita jalan-jalan sekitar sini” kata Dato’ Yahya Jalil.


“Jom, kita ambil teksi kita jalan”, saya mengajak.


“Mmm, mana nak pergi ni,” saya berfikir.


“Ok, jom kita pergi kedai-kedai dia”, Helmi mencadangkan.


“Roh Balad (ke pusat bandar), Jabal Hussain,” kata saya kepada pemandu teksi.


“Dinareen (dua dinar),ok?” jawabnya.


Saya bersetuju, kami mengambil dua teksi ke sana.


Tidak ada apa yang menarik di sana hanyalah kedai-kedai yang berbagai. Lebih kurang jam 10.30, kami kembali ke hotel.


“Ok, jumpa esok semua,” kami masuk ke dalam bilik masing-masing.


Hari pertama di Amman, lebih kepada saling taaruf di antara ahli rombongan. Jika kita hendak mengenali seseorang, maka ajaklah bermusafir. Di sana nanti akan nampak betul-betul sikap dan perangai seseorang.


Ini kerana, seseorang itu belum dikatakan baik hinggalah kita lihat cara dia menghadapi suasana. Tidak di katakan seorang itu penyabar hinggalah kita lihat di waktu suasana membuatkan dia marah.


Tidak dikatakan seorang itu pemurah hinggalah kita lihat dia di waktu sama-sama kesempitan.


Tidak dikatakan seorang itu ramah hinggalah kita melihat ketika dia berhadapan dengan orang yang tidak disukainya.


Cara terbaik, lihatlah ketika musafir. Di dalam musafir, kita akan berhadapan dengan keadaan yang tidak dijangka. Semakin banyak bermusafir, semakin banyak kita belajar mengenai diri kita dan mengenai orang lain. Semakin kita faham diri dan orang lain, semakin kita menghormati diri kita dan orang lain.


“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”


Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Kempinski Amman Jordan

23 April 09 jam 7.45 pagi

Anak dan bapak, Raja Hussain (kiri) dan Raja Abdullah (kanan)
Jordan negara yang pro US dan mempunyai hubungan dengan Israel
Pembangunan baru
Amman, penuh dengan bangunan-bangunan
Bangunan tertinggi di Jordan
di hadapan hotel Kempinski
Hidangan kopi cara tradisional
Malam di Jaba Hussain
Antara kedai di Jabal Hussain
Lori dan pekerjanya
majalah di Jordan, ia akan melambangkan kebanyakkan minat orang di sini
Kesesakan di Amman Jordan
Jalam masuk ke Kempinski Hotel
Taman Raja Abdullah
Taman Raja Abdullah

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...