Sunday, April 5, 2009

Motivasi Iman 7 - Pahit Itu Manis

Setelah berberapa hari saya di sini, ada ketika-ketika saya terkenang pengalaman di Moscow.

Dari pada mula, sebelum menemui pelajar Malaysia, asyik makan roti, menumpuh jalan dengan Metro berseorangan. Kehilangan duit dan sebagainya.

Tetapi semua pengalaman itu menjadi manis setelah melaluinya. Ia menjadi kenangan yang berguna dan ada iktibarnya.

Yang lebih berharga ialah ia meluaskan pengalaman dan ilmu di dalam menempuh kehidupan akan datang.

Terkenang saya perjalanan hidup ini. Ia penuh dengan sulaman suka dan duka. Ada orang yang pernah susah dipermulaan hidupnya kemudian Allah kurniakan kesenangan di kemudian hari. Dia akan lebih menghargai kesenangannya ketika dia terkenang kesusahan.

Ada orang yang diuji dengan ujian rumah tangganya. Walau apa pun yang berlaku, ketika telah kembali, ada kematangan yang Allah telah kurniakan.

Ada orang yang belajar dengan penuh kesusahan. Dikekang dengan ketidak mampuan, tetapi ketika telah berjaya penuh dengan kemanisan.

Begitulah kehidupan. Allah sendiri mengingatkan kepada kita bahawa :-

5. Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan 6: (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan (Surah al-Insyirah 5-6).

Cuba kita bayangkan, itu kemanisan di dunia. Bayangkan kemanisan di akhirat. Ketika seeorang itu sabar di dalam sakitnya. Dengan kesabaran itu, berat timbangan amalannya.

Ketika seseorang itu tabah dengan ujiannya, ketika meniti titian sirat, pahala ketabahannya itu menyebabkan dia melintasinya seperti kilat yang menyambar.

Ketika seseorang itu redha dengan kesempitannya, ketika orang lain susah di hisab, dia dihisab dengan hisab yang ringan.

Ketika orang lain mudah mendapatkan sesuatu, dia adalah orang yang sering gagal dan dengan kesabarannya selamat dia menuju syurga.

Hidup kita memang akan disulami dengan senang dan susah. Tidak kira siapa kita. Orang yang beriman, hatinya akan sentiasa bergantung dengan Allah dan dia tidak akan rasa terhimpit dengan ujian ini. Allah berfirman :-

maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara. (Surah Toha ayat 123).

Oleh itu, lalui kehidupan dengan redha dan tabah walau apa keadaan kita. Redha bukan pasrah. Pasrah akan menghampiri putus asa. Redha ialah kematangan cara kita berfikir bahawa sesuatu itu ada hikmah yang baik untuk kita.

Jika kita faham perkara ini, maka pasti, setiap yang pahit itu akan menjadi manis.
"Motivasi Iman, Ubat Hati Penawar Jiwa"
al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad Abdullah
Putra Heights
6 April 09 Jam 11.00 malam

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...