Sunday, April 19, 2009

Diari 45 – Mencintai Nabi

18 April 09, jam 8.00 pagi, walaupun hari ini sudah 22 Rabiul Akhir 1430, tetapi majlis sambutan kelahiran Nabi masih disambut.

Sambutan ini diadakan di Asrama Perindu Panasonic Communications (M) Sdn Bhd. Ia dianjurkan oleh Badan Kebajikan Islam PCM (BAKIP).

Saya sampai ke Johor pada 2.00 pagi 18 April ini. Saya bertamu di rumah pengurusi BAKIP, En Ali Ismail.

Majlis bermula pada jam 9.00 pagi. Ia dimulakan dengan majlis baacaan berzanji dan bacaan al-Quran. Saya diminta menyampaikan ceramah mengenai Nabi saw.

Sewaktu saya sampai di tempat majlis, saya dipersilakan rehat di surau. Ada beberapa orang yang sedang tidur sementara menuggu majlis bermula.

Melihat saya masuk, mereka bangun.

"Maaf ustaz, rehat sekejap. Malam tadi kerja sampai pagi. Balik sekejap terus datang balik. Rugi pulak kalau tak datang pagi ni", salah seorang dari mereka memulakan perbualan.

Saya terharu. Begitu bersungguh mereka untuk menyempurnakan majlis ingatan pada Nabi ini.

Saya teringat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari

"Datang seorang Arab kampong kepada Nabi saw, dia bertanya, bilakah hari kiamat, Rasullullah bersabda, apakah yang kamu sediakan untuk hari kiamat itu. Dia menyatakan, aku tidak mempunyai persediaan apa-apa melainkan aku mencintai Allah dan Rasul. Rasullullah menjawab, kamu akan bersama siapa yang kamu cintai."

Tidak kira siapa kita, orang kaya atau miskin, pandai atau bodoh, cantik atau tidak, jika cuba mencintai Allah dan Rasul, maka kita akan bersama Allah dan Rasul.

Amat malang orang yang merasa dirinya hebat di dunia tetapi tidak terselit cinta Allah dan Rasul di dalam hatinya.

Semoga Allah merezekikan kita mencintai Allah dan Rasul. Dengannya, kita cuba taat apa yang diperintahkan. Di hujung ketaatan inilah, kita akan dinilai untuk kehidupan seterusnya.

"Diari, Merakam Sejarah, Mencatat Kenangan"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights 19 April jam 8.45 malam.
Mereka membawa anak-anak kecil ke majlis.
Sedari kecil anak-anak ini sudah dibiasakan dengan majlis yang baik. Semoga anak ini terus dipelihara Allah


Bersama dengan ahli jawatan kuasa Majlis Maulidurasul Panasonic Communications Johor Bharu

No comments: