Monday, April 27, 2009

Diari 53 - Coretan Gerbang al-Aqsa

Saya selalu tertanya-tanya bagaimana agaknya rupa Masjid al-Aqsa yang dilihat dengan mata kepala sendiri. Soalan ini juga yang saya yakin berlegar di minda ahli rombongan.

Al-Aqsa terletak di dalam kota Jurusalem. Kota ini mempunyai lapan pintu gerbang. Pada zaman dahulu, apabila disebut sebagai kota Jerusalem, ia memberi maksud kota yang berada di dalam tembok besarnya sahaja. Di luar tembok tidak ada rumah yang dibina.

Jumaat 24 April 09, Kami menghampiri gerbang Bab al-Asbat (Lion Gate) di sebut sebagai Lion Gate kerana terdapat ukiran singa di gerbang ini.

Lion Gate adalah satu pintu yang paling hampir dengan al-Aqsa. Ia berada di jalan Salahuddin al-Ayubi yang merupakan penempatan orang Islam. Di sebelah kiri gerbang ini terdapat satu kawasan perkuburan. Di sini, dimakamkan dua orang sahabat Nabi iaitu Saidina Ubadah bin Somit wafat (34 hijrah) dan Saidina Shaddad bin Aus (wafat 58 hijrah). Kami menziarahi kedua-dua sahabat besar Nabi ini yang sama berjuang membuka al-Aqsa.

Kami mula memasuki Lion Gate. Masuk sahaja, kami terus belok ke kiri. Dalam 100 meter terdapat 6 orang askar Israel yang menjaga pintu masuk al-Aqsa. Mereka akan memeriksa setiap orang yang ingin masuk ke al-Aqsa. Ramai juga orang yang tidak dibenarkan masuk terutamanya anak-anak muda. Jika mereka tidak dibenarkan masuk, mereka akan cuba masuk ke al-Aqsa melalui pintu lain.

Saya menjeling jam di tangan. Sekarang pukul 11.15. Sejam 45 minit lagi akan masuk waktu Jumaat. Kami pun menghampiri tentera pengawal yang siap dengan senjata. Dia bertanyakan sesuatu di dalam bahasa Arab kepada pemandu kami. Dia bertanyakan mengenai kami. Saya yang memahami perbualan mereka hanya diam buat-buat tak faham. Kemudian, dia berkata pada pemandu kami,

“hari ini aku nak susahkan mereka ini”.

Dengan muka yang serius dia menghampiri kami. Dia meminta kami menunjukkan pengenalan diri. Kemudian dia meminta senarai nama kami.

Nasir, pemandu kami berkata:-

“ada dalam bas dan bas kami telah pergi”.

Dengan tegas dia berkata, “semua tunggu di tepi dan kamu ambil senarai nama mereka”.

Kami semua terpaksa berundur dan duduk di tepi. Nasir bergegas menghubungi bas untuk datang balik.

Al-Aqsa telah dilaungkan dengan bacaan al-Quran. 10 minit kemudian, mula kedengaran imam memberikan bayan (syarahan) sebelum Jumaat. Dari muqaddimah lagi, imam ini telah menghentam yahudi. Suaranya serak basah dan lantang. Askar yang menjaga dipintu buat tak tahu aje. Agaknya dah biasa dengan kutukan.

Senarai nama telah ada. Kami sekali lagi menghampiri pintu al-Aqsa. Kali ini, tentera ini melarang kami membawa kamera. Hanya yang kecil sahaja yang dibenarkan.

“habis tu, mana nak letak kamera ni? Boleh tumpang di sini?” Saya bertanya pada Nasir dalam bahasa Arab.

Tentera tadi dengan tegas mengatakan, “letak balik dalam bas kamu.”

“His.. macam mana, kan bas tu dah patah balik” kata saya pada Nasir

Sedang kami berbincang, lalu seorang Palestin yang mempunyai kedai berhampiran dengan pintu al-Aqsa. Dia menghampiri kami dan memberi salam.

Dia yang mendengar perbualan kami menawarkan agar kami meletakkan barang-barang kami dikedainya. Setelah berbincang sedikit, kami semua setuju. Melihat kami kelam kabut, pihak tentera membenarkan kami membawa satu kamera sahaja ke dalam.


“Sekarang , boleh masuk?” Tanya saya.

Kali ini, kami disuruh pula membaca fatihah.

“Untuk apa?” Tanya saya.

“Untuk pastikan kamu semua Islam. Kalau tak Islam tak boleh masuk.” Tegasnya.

Kami semua membaca surah al-Fatihah. Kalau sebelum ini di Malaysia, orang yang menyemak bacaan Quran kita adalah guru Quran yang beragama Islam. Ketika ini, kami memperdengarkan fatihah kami pada orang yang bukan Islam dan dia memeriksanya adakah betul bacaan kami.

Alhamdulillah, akhirnya, kami dibenarkan masuk. Kami mula memasuki pintu al-Aqsa pada jam 11.45. Hampir setengah jam tertahan di pintu. Kalau datang lambat, maka sembahyang jumaat kat luarlah gayanya.

Kami berjalan di kawasan al-Aqsa sekarang. Masjid ini mempunyai taman yang luas. Ia seluas 15 hektar dan boleh memuatkan jemaah hingga 350 ribu orang dalam satu masa.

Taman al-Aqsa dipenuhi dengan pokok Zaitun. Bangunan pertama yang kami lalui ialah Kubah as-Sakhra atau Doom of the Rock. Masjid tempat Nabi bermikraj bertemu Allah.

Pada hari jumaat seperti hari ini, ia akan menjadi tempat solat bagi para muslimah. Kami menaiki tangga al-Sakhra. Di hadapan al-Sakhra kami melihat al-Aqsa. Saya menjadi sebak melihat kedua-dua masjid ini. Hari ini, Allah izinkan saya menatap dengan mata kepala saya sendiri kedua masjid ini. Kemudian, kami menuju ke al-Aqsa. Jarak as-Sakhra dan al-Aqsa lebih kurang 300 meter. Kami singgah bilik air. Ia berada di tepi as-Sakhra.

Pukul 12.25, kami melangkah masuk ke masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam ini. Saya dan yang lain mengagihkan al-Quran yang dibawa dari Malaysia. Ia diwaqafkan oleh Dato’ Yahya. Semua Arab itu membelek-belek al-Quran yang kami bawa. Mereka tertarik dengan zukhruf (bunga) yang ada padanya.

Pada pukul 12.39, Azan mula dilaungkan. Kalimah Tauhid ini bergema di dalam dan di luar masjid. Oleh kerana al-Aqsa terletak di antara kawasan tertinggi di Juruselam, maka kumandangnya menerobos ke seluruh Juruselam. Semua orang mendengar laungan ini, semua orang faham maksud laungan ini. Semoga semua orang akan mula berusaha memenuhi kehendak laungan ini.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Bethleham
27 April 09, jam 1.45 pagi

Kawasan perkuburan yang terdapat dua makam sahabat di pintu masuk ke al-Aqsa
Pintu al-Asbat atau Lion Gate. Terdapat ukiran singa dipintu ini
Pintu masuk dan keluar ke al-Aqsa. Di kawal oleh askar Yahudi
Pokok yang terdapat dikawasan al-Aqsa
Santai jemaah

anak-anak bermain bola di dalam kawasan al-Aqsa

Solat di kawasan al-Aqsa

Masjid al-Aqsa

Di hadapan pintu al-Aqsa
Gelagat jemaah

Jemaah membelek al-Quran yang diwakafkan

Kubah al-Aqsa
Di kawsasan al-Aqsa, di mana-mana pun boleh beribadah

Bahagian bawah al-Aqsa
Di bahagian bawah as-Sakhra.

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...