Friday, April 10, 2009

Sekilas 20 - Sifir Kehidupan

Apa yang menarik di dalam sifir kehidupan ini? Pada saya ialah roda pusingan kehidupan.

Hari ini jika seorang itu dibawah, tidak selamanya dia di bawah dan hari ini jika seorang itu di atas, tidak selamanya dia di atas.

Untuk mendapatkan sesuatu itu susah, lagi susah ialah untuk mengekalkan sesuatu.

Di dalam isu penyusunan semula Kabinet yang diisytiharkan, saya hanya ingin mengulas mengenai pengamanahan tanggung jawab bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom menjadi Menteri di JPM yang bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Saya tetap yakin dengan firman Allah:-

Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.( Ali Imran ayat 26)


Allah memberikan pangkat pada seseorang dan satu hari nanti pasti dia yang akan menarik balik pangkat ini. Tidak kira, sama ada dia buat tugasnya atau tidak, sama ada dia hebat atau tidak, sama ada dia mengampu atau tidak, sama ada dia berani atau tidak. Sama sahaja. Ini kerana, Allah yang memberi kuasa itu.

Nilai seseorang itu bukannya pada pangkat, nilainya ialah apabila dengan pangkat melahirkan amalan. Ini kerana, tidak semua pangkat melahirkan amalan.

Malahan, ramai yang berpura-pura melakukan amalan di atas pangkatnya itu. Sebab itu, dia akan mempertahankan pangkatnya. Ini kerana, jika pangkatnya tercabut, maka akan terbukalah bahawa sebenarnya dia tidak berbuat apa-apa. Dia lupa, yang memberi dan mencabut itu adalah Allah. Sementara ada pangkat, buatlah amalan dengan sebaik-baiknya.

Terdahulu, berapa ramai agamawan telah berada bersama Kabinet, tetapi tidak banyak manfaat pada agama yang telah diusahakan.

Berapa ramai orang semakin baik dengan bertukarnya agamawan yang berpangkat? Berapa ramai anak muda yang semakin menutup aurat dengan bertukarnya agamawan yang berpangkat? Adakah statistik rasuah semakin menurun dengan bertukarnya agamawan yang berpangkat? Adakah program TV semakin banyak yang baik dengan bertukarnya agamawan yang berpangkat?

Mereka buat kerja untuk agama atau tidak, akhirnya turun juga, akhirnya jatuh juga, akhirnya tersisih juga.

Alangkah baiknya jika mereka diturunkan, turun dengan sejarah cuba memperbaiki sekeliling. Alangkah baiknya jika tersisih, tersisih dengan sejarah cuba membawa agama ke tingkat yang lebih tinggi. Alangkah baiknya jika mereka jatuh, jatuh dengan sejarah cuba membimbing ke arah penghayatan agama yang lebih baik.


Sebelum ini telah datang dan pergi ahli agamawan di dalam kerajaan. Jika setiap kementerian mempunyai wawasan dan targetnya, kita juga mahu melihat wawasan dan target Islam di Malaysia tercinta ini.

Tahniah dan takziah saya ucapkan kepada Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Tahniah kerana kenaikan pangkat dan kedudukan menjadi menteri, takziah kerana mendapat amanah yang tidak ringan di hadapan manusia dan di hadapan Allah.

Semoga satu hari nanti, anda turun dengan sejarah mempertingkatkan keduduakan Islam di negara ini. Bukan dikenali dengan sejarah semakin berubah Islamnya, semakin kurang berakhlak, semakin menyepak tong sana dan sini, semakin membela yang kurang tepat dan semakin hanyut dengan keadaan baru.

Semoga, sebagai agamawan, anda menjadi perubah sekeliling. Jika niat itu ada, pasti akhirnya akan bersatu dengan agamawan yang lain. Jika tidak di dunia, insyaAllah di syurga.

"Sekilas Itu Realitu, Realiti Itu Kehidupan"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights 10 April jam 7.45 pagi
Mejar Jeneral Datuk Haji Jamil Khir Haji Baharom dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang baru dan bertanggungjawab atas hal ehwal agama Islam. Apakah Syiar Islam lebih melonjak ketika amanah ini ada ditangannya?

4 comments:

mendewa said...

Saya tidak berapa terkejut dengan pelantikan tersebut...betul jangkaan hati kecil saya selama ini bahawa beliau merupakan pendokong kepada kerajaan. Bertambah lagi agamawan dalam kerajaan PM baru ini.
Kupasan saudara amat saya setuju...mudah-mudahan turunnya dari pangkat dan jawatan penuh dengan kemuliaan menegakkan syiar Islam di negara kita...

Kamal said...

Macam mana kita boleh sama2 Dato' dan berjuang sama2 yang perlu kita fikirkan....Wallahu 'alam.

Jier said...

Menarik sangat pandangan ini. Terima kasih ustaz dengan bahan2 berilmiah.

Jier said...

Menarik sangat pandangan ini. Terima kasih ustaz dengan bahan2 berilmiah.