Hari ini 6 januari 10, saya, Ustaz Jazlan dan pakcik Ashab merasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada persatuan Muslin Shenzhen di atas pertolongan mereka untuk mengebumikan jenazah Allhyarham.
Hari ini, kami tidak mempunyai apa-apa program khas melainkan menunggu penerbangan pulang ke Kuala Lumpur jam 9.20 malam.
Jadi, pagi ini, kami berjalan sekitar bandar Shen Zhen melihat barang-barang elektronik. Rasa sungguh kagum dengan teknologi barang kegunaan harian, dari telifon hinggalah kepada alat-alat kegunaan rumah.
Satu ketika dahulu di dalam buku Clash of Civilization menyatakan, setelah kejatuahan Soviet Union, Amerika akan menghadapi cabaran dari dunia Islam sebagai pengimbang. Dunia Islam akan menjadi pengimbang utama kepada empayar USA.
Tetapi, secara realitinya, setakat ini tidak ada sebuah Negara Islam yang kuat. Maka para pemikir sudah menimbang kembali teori ini dan ada yang mengatakan bahawa dalam 30 tahun nanti, Chinalah yang akan menjadi pengimbang kepada Amerika.
Kami berjalan-jalan di elektronik Plaza di Wachang Bay Shen Zhen.
Perjalanan kami yang santai tiba-tiba dikejutkan dengan satu panggilan telifon dari masjid Meilin.
“Boleh tak kamu datang sekarang kerana ada dua orang pegawai kerajaan ingin bertemu kamu” kata Ma Hai Bin.
“Kenapa?” Kami bertanya.
“Mengenai urusan pengebumian semalam” jawabnya.
Kami mula terkejut dan tertanya-tanya sama sendiri apa keadaannya.
Kami terus mengambil teksi dan pergi ke masjid Meilin. Sampai di sana, dua orang pegawai tersebut baru balik.
“Muhammad, ada dengar berita tak?” kata Imam Tayyib Mansoor menyapa saya dari jauh.
“Ada juga, mengenai pengebumian semalam” jawab saya.
“Kenapa?” tanya saya pula.
“Kita tidak uruskan satu dokumen kematian yang sepatutnya dibuat untuk pihak berkuasa tempatan” jawabnya.
“Masalah besar ke?” tanya saya.
“Kalau ikutkan, memang, orang luar yang meninggal tidak boleh dikebumikan di China ini, tapi tak apa, persatuan Muslim telah uruskan.
“Nanti kalau kamu disoal, katakan sahaja, ia telah diuruskan oleh persatuan Muslim” jawab Imam Tayyib Mansoor.
“Abis kena gali balik ke?” tanya saya kerana terbayangkan kisah-kisah di Malaysia yang pernah terjadi pihak polis menggali kembali tanah perkuburan.
“Tidak, mereka memang tidak akan gali balik, mereka bukan Islam, jadi, bagi agama Budha, gali orang mati bawa sial” kata salah seorang yang lain pula.
Wajah Mah Hai Bin agak tenang. Kami pergi ke tempat mengambil wudhuk dan masuk ke ruang solat masjid untuk menunaikan solat zuhur.
Selepas solat zuhur, saya lihat Mah Hai Bin menunaikan beberapa solat sunat lagi.
Beginilah sikap seorang muslim, jika ada permasalahan, maka akan dirujuk kepada Allah di dalam solat-solat sunat.
Selepas beberapa ketika, kami dijemput untuk bertemu dengan salah seorang lagi pegawai masjid. Dia antara yang bertanggung jawab membuat keputusan untuk pengebumian Allahyarham pak cik saya.
Imam memberi tahu bahawa:-
“Memang pihak berkuasa tempatan menganggap kami salah, tapi kami menegaskan bahawa menurut undang-undang Islam seorang yang meninggal perlu dikebumikan segera dan dikebumikan di tempat ia meninggal”
“Kamu jangan risau, seluruh ahli persatuan akan saling mempertahankan tindakan kita”, katanya.
Setelah berbincang, kami pergi ke tepi masjid. Di sana terdapat restoran Halal. Kami bertiga ditemani dengan tiga orang tempatan. Mereka semua memberi jaminan ia bukan satu perkara yang besar.
Kami duduk berbual dan berbincang hingga ke selepas Asar. Di hujung pertemuan baru kami tahu bahawa orang yang membuat perkara ini besar ialah salah seorang yang tidak bersetuju untuk mengebumikan Allahyarham di sini.
Ada perakara yang dia tidak puas hati hingga membawa perkara ini besar, tetapi ahli persatuan tetapi sebulat suara dengan pendirian mereka.
Perkara ini selesai pada waktu petang. Setelah semuanya selesai, maka kami pulang ke hotel dan bersiap-siap untuk ke lapangan terbang.
Di dalam perjalanan saya merenung sendirian. Memang di mana-mana dunia pun, akan ada orang yang baik hati dan mahu menolong orang lain dan ada orang yang sepanjang hidupnya akan sentiasa tidak berpuas hati dengan orang lain.
Orang yang suka membantu ini akan merasa senang jika dapat membantu orang lain, tetapi orang yang ada penyakit hati akan sentiasa mengangagap sebaliknya.
semua orang tak betul dan akan melemparkan komen-komen meruntuh.
Dalam konteks kita di Malaysia pun sama, di dalam AJK masjid dan surau, ada kedua-dua golongan ini. Di dalam sesuatu pertubuhan, rumah kebajikan, dan apa-apa juga kesatuan, memang ada dua golongan sebegini.
Golongan pertama akan sentiasa mempermudahkan dan golongan kedua akan sentiasa menyusahkan.
Nabi saw pernah bersabda:-
Sesungguhnya agama itu mudah dan janganlah kamu memayahkannya, dan jangan seorang pun dari kamu menyusahkan agama, hendaklah kamu bersederhana, dan mesrakanlah dan berilah gembirakanlah dan mudahkanlah dan bantulah sesiapa pun pada waktu pagi dan petang dan sesuatu dari awal malam
(Hadis riwayat an-Nasai di dalam kitab al-Iman wa Syaraiihi)
Orang yang sentiasa memudahkan orang lain akan dipermudahkan hidupnya oleh Alllah dan orang yang sentaisa menyusahkan akan sentiasa kelam kabut di dalam hidupnya.
Jika kita tergolong di dalam golongan pertama, Alhamdulillah, teruskan dan didik diri untuk terus ikhlas.
Jika tergolong di dalam golongan kedua, minta Allah bantu kita mendidik diri kita, kerana tanpa bantuan Allah, payah kita ingin menjadi baik.
Semoga Allah ters membantu kita mediidk diri.
Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Di atas Air Asia dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur
6 Januari 2010 jam 11.20 malam
* di post dari Putra Heights 7 Januari 10, jam 4.13 pagi
No comments:
Post a Comment