Tuesday, January 5, 2010

Diari 147 – Masjid Meilin, Shenzen China

3 Januari 09, jam 6.10 petang. Tiba-tiba masjid Meilin, Shenzen digegarkan dengan bunyi loceng panjang seakan loceng sekolah atau loceng kebakaran di pejabat-pejabat.

Rupanya di sini, sebelum, azan, mereka akan membunyikan dahulu loceng panjang. Muslim di China adalah Ahli Sunnah wal Jemaah bermazhab Hanafi.

Di masjid Meilin ini terdapat anak-anak pelajar yang mempelajari al-Quran. Terdapat asrama tempat mereka tinggal. Semuanya memakai jubah dan serban.

Ustaz Jazlan mencuit tangan saya,

“Macam budak-budak kita aje” kata Ustaz Jazlan membayangkan pelajar-pelajar MASSA yang berserban dan berjubah seperti di sini.

Itulah pakaian sunnah, ke mana-mana sahaja, ia menjadikan kita sama kerana kita berakidah yang satu, bersyariat yang satu, berkiblat yang satu dan seluruh bangsa adalah sama. Yang mulia di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa.

Selepas habis solat, mereka terus mendirikan solat sunat. Kemudian mereka duduk seakan tahyat awal. Guru mereka kemudian akan berpaling kepada mereka dan mula mengangkat tangan. Semua mereka berdoa bersama-sama dengan suara yang perlahan.

Mereka kemudian membaca al-Quran bersama-sama.

Kalau di Malaysia, kita bertadarus dengan cara seorang membaca dan yang lain akan mendengar. Di sini, mereka bertadarus dengan membacanya beramai-ramai.

Kami disapa dengan senyuman di sini. Itulah ukhwah Islamiyyah. Walau di mana kita tetap mempunyai saudara. Kesatuan global yang diikat dengan pengabdian kepada Allah swt.

Sesungguhnya, Muslim itu bersaudara. Ke mana kita pergi, kita akan saling lengkap melengkapi.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shenzen China

5 Januari 2010 jam 9.30 pagi

Cara memakai serban di sini, mereka akan mematikan ikatan terakhir di belakang

Setelah selesai solat sunat, mereka akan membaca doa bersama-sama dengan suara yang perlahan.



No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...