Sunday, January 24, 2010

Diari 160 – Mari sama-sama membantu…

Semalaman di Kelantan, saya bertamu di rumah guru saya, Dr. Rosdi Ismail di Nilam Puri. Beliau merupakan mursyid saya di dalam pengajian Bahasa Arab.

Pagi ini 24 Januari 2010, jam 7.20 pagi, kami bertolak dari Nilam Puri ke Lapangan Terbang Antara Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa. Saya terpaksa bertolak pagi ini juga kerana pada pukul 10.30 pagi saya mempunyai program pelancaran Bahasa Arab di Subang Jaya, manakala malam ini, dengan izin Allah, kita akan bersama-sama di dalam TV9 di dalam program Halaqah.

Kapal terbang Firefly FY 2061 akan berlepas jam 8.50 pagi dan kami sampai di lapangan terbang jam 8.10 pagi. Selepas selesai urusan kaunter, Dr. Rosdi mengajak saya bersarapan di lapangan terbang ini.

Beliau begitu serius membahaskan penggunaan nama Allah seperti yang sibuk diperkatakan. Beliau yang mempunyai kepakaran di dalam bidang Bahasa Arab cukup tidak bersetuju dengan mana-mana ustaz yang menggunakan sebahagian ayat al-Quran untuk membenarkan penggunaan nama Allah.

Dr. Rosdi ialah bekas pensyarah Universiti Malaya di Fakulti Bahasa dan Linguistik.

“Ana dah perati dah Mad, dari sudut bahasa dan tafsirannya, kebanyakkan para ustaz salah dalam mentafsirkannya. Memanglah, kalau kita salah dalam ijtihad, maka kita akan dapat satu pahala, tapi dalam bab ini ana rasa, berdosa kalau salah tafsir” tegas beliau.

8.20 pagi, pengurusan Lapangan Terbang mula memanggil penumpang untuk bersiap di balai berlepas.

Selepas menghabiskan sarapan, saya mula melangkah masuk ke dalam balai berlepas. Kami bersalaman dan dengan ucapan salam, saya dan Dr. Rosdi mula berpisah.

Saya membelek telifon saya ketika ia berbunyi menandakan ada massage yang masuk.

“Dari Dr. Luqman” bisik hati saya.

Beliau mengirim akaun bank untuk Pondok Lubuk Tapah.

“3027010020584 Bank Islam cawangan Pasir Mas Kelantan.. akaun atas nama Pondok Lubuk Tapah”

“Ok Syukran” balas saya ringkas.

Sesiapa yang ingin membantu, bolehlah sama-sama menyumbang bagi keperluan Pondok ini, semoga rezki kita terus dimurahkan Allah. Dan jika Allah beri kita peluang untuk beramal, kita juga memohon agar Allah berikan keikhlasan pada kita.

Para penumpang mula memasuki pesawat. Tempat duduk saya kala ini ialah 19B.

Jam 8.50, kapal Firefly ATR 72-500 (212A) ini mula memecut laju dan sedikit demi sedikit meninggalkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa.

Dari atas, saya memerhatikan bumi Pantai Timur yang makmur ini. Semoga tradisi Pondok terus diperkasakan di dalam menjaga tradisi keilmuan dan jaluran Ahli Sunnah wal Jamaah di Nusantara.

Semoga kita terus dirahmati Allah, amin…

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Dalam perjalanan Kota Bharu – Subang

24 Januari 2010 jam 9.15 pagi

IMG_5826

Semoga tradisi Pondok terus diperkasakan di dalam menjaga tradisi keilmuan dan jaluran Ahli Sunnah wal Jamaah di Nusantara.

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...