Sunday, January 24, 2010

Diari 159 – Pondok Lubuk Tapah

Pagi ini, Sabtu 23 Januari 2010, selepas menyempurnakan kuliah Subuh di Masjid Tengku Kelana Putra, Kelana Jaya, tiba-tiba hati ini terlalu terpanggil di atas kejadian kebakaran tempat belajar saya dahulu iaitu di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, pondok tertua yang masih hidup di Kelantan ini.

Selepas menyempurnakan beberapa urusan, saya terus membeli tiket Firefly dari Lapangan Terbang Subang ke Kota Bharu.

Kapal bertemakan warna putih dan oren ini akan bertolak jam 6.00 petang dan dijangka sampai Kota Bharu jam 7.00 petang.

Sejak jam 5.00 petang lagi, saya telah berada di Lapangan Terbang Subang. Penumpang dipanggil masuk ke pesawat jam 5.45 petang.

Ini adalah pertama kali saya menaiki pesawat Firefly, kapal jenis ATR 72-500 (212 A). Biasanya menaiki kapal jenis Boieng atau Airbus. Tempat duduk saya kala ini ialah 9A.

Kipas kapal mula bergerak jam 5.58 petang, dan pramugari berpakian putih dan oren sibuk memeriksa penumpang agar mengenakan tali pinggang keselamatan. Kapal ini mempunyai dua-dua kerusi satu baris dengan lorong di tengah.

Kapal mula meninggalkan landasan jam 6.05 petang. Saya melihat pemandangan dari atas Kampung Melayu Subang.

Jam 6.55 petang, kapal mula merendah dan terlihat dari atas petak-petak padi dan kotak-kotak rumah. Di sungai sekitar Kota Bharu ini kelihatan bot-bot kecil nelayan sedang pulang dari pencarian rezki mereka.

Jam 7.00 petang, kapal mula mendarat dan pramugari mengisytiharkan:-

“Selamat datang ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu”.

Saya terus mengambil teksi menuju ke rumah Dr. Rosdi Ismail di Nilam Puri.

Selepas makan malam, Dr. Rosdi menghantarkan saya ke Pondok Lubuk Tapah. Perjalanan dari Nilam Puri ke Pondok hanya sekitar setengah jam.

Kami terus ke rumah Allahyarham Tok Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah. Di sana, saya disambut oleh Dr. Luqman, anak Allahyarham.

“Bila sampai Mad?” tanya Dr. Luqman.

“Petang tadi” jawab saya ringkas.

Dr. Luqman sekarang merupakan pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Kami mula berbual-bual mengenai kejadian yang menimpa Pondok

“Dalam pukul dua pagi api mula marak, ada dalam 50 orang ketika itu, Alhamadulillah, semua selamat, hanya dua orang yang agak berumur sahaja sekarang dirawat di Hospital” terang Dr. Luqman.

“Semua 85 unit pondok hangus. Antara yang paling sayang ialah kitab-kitab pengajian yang telah lama dan ada dhobit (catatan) pengajian di tepi kitab” jelas beliau lagi.

“Pondok ini pernah tiga kali terbakar iaitu pada tahun 1990, 2000, dan sekarang 2010. Semua kawasan berlainan” jelas Dr. Luqman lagi.

“Allah nak beri bangunan baru tu” sampuk Dr. Rosdi.

“Emmm, ana baru bercadang nak buat bangunan baru untuk murid tahfiz di pondok ini, bulan depan nak mula, tapi terbakar ni, perit juga lah” terang Dr. Luqman lagi.

Tak lama berbual, Dr. Luqman, kami  dimaklumkan ada tetamu baru yang sedang menunggu. Kami yang memang sedia maklum mengenai kesibukan kala ini meminta diri untuk pulang.

Saya melihat kawasan yang pernah saya berteduh 10 tahun dahulu. Semuanya menjadi runtuhan dan masih berasap.

Di satu sudut, saya melihat beberapa orang murid pondok sedang berhimpun di satu meja, mencuba baju-baju yang didermakan oleh orang ramai.

Mereka tinggal sehelai sepinggang.

Dalam perjalanan pulang, saya menghantar SMS buat Dr. Luqman:-

“Salam Ust. Nnt minta no. akaun pondok dan bank mana ye..”

Dr. Luqman membalasnya 20 minit kemudian:-

“Ok”

InsyaAllah, setelah dapat nanti saya akan maklumkan di dalam blog ini sesiapa yang ingin menderma terus kepada Pondok Lubuk Tapah.

Semoga Allah memberikan kesabaran kepada mereka dan semoga Allah gantikan bangunan yang lebih baik  untuk mereka semua.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad Abdullah

Nilam Puri

24 Januari 2010 jam 1.30 pagi

IMG_5803

Allahyarham Haji Abdullah Lubuk Tapah

IMG_5804

Dari kiri, saya, Dr. Luqman dan Dr. Rosdi

IMG_5805

Penambahan bahagian masjid di pondok yang sedang disempurnakan kala ini.

IMG_5807

Keadaan runtuhan 85 pondol yang masih berasap

IMG_5809

Ketika kejadian, ada 50 pelajar di sini.

IMG_5812

Semua mereka selamat. Hanya dua orang sahaja yang agak berumur sedang dirawat di hospital

IMG_5814

Antara yang paling sayang ialah kitab-kitab lama

IMG_5815

Di satu sudut, penuntut pondok sedang mencuba pakaian yang didermakan oleh orang ramai

IMG_5823

Mereka semua tingggal sehelai sepinggang

IMG_5824

Keadaan lampu jalan yang turut hangus

IMG_5825

Semoga Allah memberikan kesabaran dan menggantikan dengan yang lebih baik buat mereka, amin…..

1 comment:

My Life said...

salam ustaz

boleh saya masukkan entry ustaz nie ke dalam blog saya.. subhanallah..saya baru jer tahu mengenai kebakaran ini..
sempat berjumpa arwah 1 kali sebelum beliau pergi mengadap ilahi....

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...