Kalau anak kecil masih bertatih, adakah kita boleh mengharapkan dia mampu berlari jika diancam bahaya? Sudah tentu kena ada orang yang boleh berlari mendukungnya, membawanya lari.
Jika seorang yang baru pandai berenang, tiba-tiba lemas di kolam renang, ia memerlukan seseorang untuk mengambilnya ke tepi.
Adakah kita boleh merotan anak kecil itu dan mengatakan, kamu kenapa tak lari sedangkan dia hanya baru pandai bertatih.
Adakah kita mahu membiarkan sahaja orang lemas itu tenggelam tanpa perlu di ambil dan di bawa ke tepi?
Itulah perasaan saya dan sahabat dari al-Ijabah ketika mengendalikan Darul Ukhwah ini. Tapi saya bersyukur kerana, sahabat dari Majlis Aids dan MAIS begitu memberi sokongan bagi rumah perlindungan HIV Muslim ini.
19 Januari 2010, jam 11.00 pagi, Darul Ukhwah dikunjungi oleh rombongan dari Majlis Aids. Sebelum ini, perhubungan dengan Majlis Aids hanya dibuat oleh pengarah lama. Kala ini, Majlis Aids benar-benar berhubungan dengan al-Ijabah.
Baru saya dapat berbual dari hati-ke hati mengenai perjalanan rumah HIV ini. Terima kasih saya ucapkan pada sahabat-sahabat dari Majlis Aids yang memberi tunjuk ajar dan ilmu kepada al-Ijabah.
Petang ini pula, jam 4.00 petang, saya bersama sahabat saya dari Ijabah, Ustaz Muhamad Zamhari mengadakan pertemuan dengan Bahagian Riqab MAIS. Satu matlamat bagi tahun baru 2010 ini ialah untuk terus memperkasakan lagi perjalanan rumah perlindungan HIV Muslim ini.
Alhamdulillah, terima kasih saya ucapkan kepada sahabat dari Bahagian Riqab MAIS. Apa yang penting adalah kerjasama untuk agama tercinta ini.
Tidak ada siapa yang boleh mendabik dada bahawa ini adalah usaha aku, yang perlu kita fikirkan ialah siapa lagi yang dapat kita ajak untuk bersama-sama kerana Allah.
Terima kasih juga kepada seluruh pembaca, rakan dari al-Ijabah, dan siapa sahaja yang membantu usaha ini, mendoakan, dan mewar-warkan. Tanpa sokongan semua, sudah tentu usaha ini tidak akan terlaksana.
Sempena hari kelahiran Nabi saw, 12 Rabiul Awal, bersamaan dengan 26 Febuari depan, seorang Nabi yang cukup mengasihani orang susah, insan yang sentiasa membela orang yang sakit, anak yatim dan perempuan janda, InsyaAllah, nama Darul Ukhwah akan dimantapkan lagi kepada nama Darul Ijabah.
Jika Darul Ukhwah bermakna rumah persaudaraan, Darul Ijabah memberi maksud rumah penerimaan. Membawa falsafah bahawa semua orang patut menerima kebaikan, tak kira sama ada dia sihat atau sakit, semua orang patut menerima pembelaan, tak kira siapa dia, agar kita semua menerima keredhaan dari Allah.
Saya ingin kempenkan membela HIV ini bersama hadis Nabi saw, oleh kerana di Selangor golongan ini dikatogerikan di dalam golongan Riqab (yang terhamba dirinya), maka kita berpeluang untuk mendapat kelebihan membela mereka.
Nabi saw bersabda:-
Barangsiapa yang membebaskan Riqab (golongan yang terhamba ini) Allah akan menyelamatkan setiap sendinya dari api neraka.
Saya menyeru semua yang terpanggil dengan kata-kata Nabi saw ini, untuk bersama-sama membahu usaha ini sama ada dari segi masa, tenaga, harta dan paling kurang dengan mendoakan.
Semoga Allah terus memberi kita peluang untuk berbuat amalan di dunia bagi mendapat keredhaanNya di akhirat, amin…
“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
Al-fakir ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
20 Januari 2010 jam 7.00 pagi
Kunjungan Majlis Aids ke Darul Ukhwah
Bersama sahabat dari Ijabah
Hari ini, barulah sahabat dari Majlis Aids dapat berhubung terus dengan al-Ijabah, terima kasih kerana tunjuk ajar yang diberikan
2 comments:
salam.
memang satu tugas yg mencabar utk mengendalikan sebuah rumah hiv tu..sepatutnya ust buat research betul2 sblm libatkan diri dlm bidang ini..berserta dgn keikhlasan insya allah bole...saya tengok penghuni d/ukhwah kurang gembira/ceria semasa di hospital..tak mcm sedikit masa dulu saya tengok penghuni d/ukhwah ada kualiti utk menjadi contoh kpd pesakit hiv lain...
kalau tukar nama sekalipun tanpa ada penambahbaikan tentang pengurusan blm tentu akan dapat mencapai sasaran utk menjaga pesakit2 hiv ini..dari pengalaman saya kalau dgn team yang ramai tanpa keikhlasan/ketelusan blm tentu boleh menjaga seorang pesakit hiv..apa pun selamat berjaya utk pihak ijabah..
Post a Comment