Wednesday, January 20, 2010

Diari 157 – Pertemuan Nostalgia

19 Januari 2010, jam 10.00 malam, baru sahaja saya ingin sampai ke rumah, saya dihubungi oleh Helmi.

“Ustaz, lapang tak malam ni, Nasir yang bawa kita ke jalan di Palestin dulu datang ke sini. Dia nak balik dah hari khamis ni, kalau ustaz lapang, jomlah jumpa dia, sekarang dia orang ada kat rumah Haji Othman di PJ”.

“Mmm, ok juga tu, jumpa kat rumah saya Mi.., ana balik mandi dulu” jawab saya ringkas.

10.30 malam, saya bertolak ke rumah Hj Othman. Di sana, semua ahli rombongan ke Palestin pada April 2009 telah ada kecuali Haji Jaafar dan Dato’ Yahya.

Nasir ialah pemandu pelancong kami yang membawa kami berjalan sekitar Palestin.

Kereta saya memasuki perkarangan rumah Hj. Othman.

Melihat saya, Nasir terus bagun dan mendapatkan saya, kami bersalaman mesra.

Kami semua berbual-bual mengenai kenangan peristiwa di Palestin dulu.

“Ustaz, satu perkara yang saya dan anak saya tak boleh lupa” kata Nasir.

“Apa dia?” Tanya saya ringkas.

“Ketika kita mandi di laut mati, saya melarang ustaz untuk mengambil gambar sekumpulan Yahudi Ortodoks yang sedang mandi dan mereka tidak bercampur dengan Yahudi lain. Saya katakan jangan ambil gambar mereka, kalau mereka tahu kita ambil gambar mereka, mereka akan datang dekat kita dan baling dengan batu” terang Nasir.

Memang, golongan Yahudi Ortodoks adalah Yahudi yang berpegang dengan agama mereka. Kalau untuk mudah faham ialah seperti golongan orang alim. Ketika dia laut mati, mereka mandi dengan kumpulan mereka sahaja, tetapi tetap bercampur lelaki dan perempuan.

“Ustaz ingat tak apa ustaz jawab pada saya” kata Nasir lagi.

“Lupalah…” kata saya.

“ustaz kata, tak apa, dia orang Ortodoks, mesti berpegang pada agama, kalau dia datang dekat kita, kita buka baju, mesti dia orang lari sebab malu” kata Nasir sambil ketawa besar mengimbas kembali kenangan kami di Palestin.

“Apa perkara paling kamu tak lupa di beberapa hari di Malaysia ni” tanya Helmi pada Nasir.

“Yang paling mengerikan ialah ketika saya diajak makan durian” kata Nasir sambil tergelak.

“Kalau depan saya ada durian dan ular, saya rela makan ular lagi” kata Nasir bergurau.

Memang, orang Arab atau mat Saleh tak akan tertelannya durian.

Kalau ada pak Arab atau mat Saleh nak pinang anak kita, salah satu cara nak tolak ialah beri syarat, mesti habiskan durian sebakul, mesti gagal punya.

Nasir juga bercerita mengenai perkembangan bumi Palestin yang sentiasa diinjak oleh Yahudi ini hinggalah kepada usaha mereka untuk membahagi dua masjid al-Aqsa. Separuh untuk Yahudi separuh untuk Islam.

Kami berbual-bual hingga jam 12.30 tengah malam.

Sesungguhnya, Islam itu bersaudara. Ke mana sahaja kita pergi, kita akan bertemu dengan satu bangsa Muslim yang mempunyai akidah yang satu, syariat yang satu, kiblat yang satu dan pegangan kitab al-Quran yang satu.

Yang paling baik antara kita ialah yang paling bertaqwa.

‘Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad Abdullah

Putra Heights

20 Januari 2010 jam 8.00 pagi

IMG_5596

Dari kanan gambar, Helmi, Nasir, saya, Haji Esa, Haji Othman dan Abang Aziz

IMG_5607

Kami berbual mengenai nostalgia di Palestin

IMG_5621 

IMG_5684

Inilah persaudaraan Muslim, disatukan dengan akidah yang satu.

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...