Wednesday, January 6, 2010

Diari 150 – Khutbah Jenazah

Selasa 5 Januari 2010 jam 1.15 tengah hari, kami semua berada di dalam masjid Meilin, masjid terbesar di Shenzhen ini.

Imam Tayyib Mansoor mula berjalan ke hadapan untuk mengimami solat zuhur.

“ Chen Sheek……” (luruskan saf), Imam Tayyib Mansoor meninggikan suaranya.

Beliau yang berkelulusan Madinah fasih berbahasa Arab.

Selepas zuhur kami semua keluar. Saya menyapa Imam Tayyib Mansoor. Beliau tertanya kepada saya di dalam bahasa Arab:-

“Adakah jenazah ini kaum kerabat kamu?” pertanyaan ini menjadi mukaddimah perbualan.

“Ya, dia pakcik saya”, jawab saya ringkas.

“Alhamdulillah, kami telah memandikannya, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya”, beliau mendoakan Allahyarham.

“Kamu fasih berbahasa Arab, dahulu belajar di mana?” tanyanya pada saya.

“Saya pernah di al-Azhar” jawab saya ringkas.

Sejurus kemudia, Ustaz Jazlan menghampiri kami,

“Ini abang saya dan dia juga dari al-Azhar” terang saya.

Kemudian, ustaz Jazlan berbual-bual dengan beliau.

2.05 petang, semua orang telah membuat saf, kala ini, hujan turun renyai dan agak halus. Suasana sangat damai dan nyaman. Kami membentuk saf sebanyak lima baris.

Sebelum memulakan solat jenazah, Imam Tayyib Mansoor memulakan khutbah. Ia seperti talkin di Negara kita.

Dia memulakan dengan mengucapkan Hamdallah dan berselawat ke atas junjungan besar Rasullullah saw.

Kemudian beliau membaca ayat kedua dari surah al-Mulk

Dia Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,

Kemudian, dia meneruskannya di dalam bahasa Cina. Saya tidak memahami kecuali beberapa perkataan Arab yang digunakan, tapi dari berberapa perkataan saya dapat mengagak isinya.

Dia kemudian membaca lagi ayat ke 10 dari surah al-Hujurat:-

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.

Kemudian ada perkatan:-

Muslim Maliziya…

Takdir….

Namaz (solat)…

Fardu Kifayah….

Ibrah (pengajaran)….

Kemudian beliau membacakan sebuah hadis:-

“Kafa bil Mauti Waa izhan” (Cukuplah, kematian itu menjadi pengajaran).

Imam Tayyib Mansoor menamatkan khutbahnya.

Dia kemudian memandang kepada Ustaz Jazlan yang berada di saf hadapan dan mempersilakan Ustaz Jazlan mengimami solat jenazah.

Ustaz Jazlan mempersilakan kembali agar Imam Tayyib meneruskan.

Saya yang berada di saf kedua memerhatikannya. Begitulah adab di antara orang agama, saling tawadhuk di dalam sesuatu.

Hari ini, solat jenazah dilakukan hampir 100 orang. Ia dari Persatuan Muslim Shenzhen dan pelajar Tahfiz dari Masjid Meilin ini.

Saya terharu di atas kesudian mereka hadir, padahal hari ini hari bekerja buat mereka. Mereka sudi melapangkan masa untuk perkara ini sedangkan saya tidak kenal pun mereka. Tapi itulah persaudaraan Islam. Ia disatukan dengan iman yang terdapat di hati.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-fakir ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shenzhen China

Rabu 6 Januari 2010 jam 8.30 pagi

Imam Tayyib Mansoor

semua membuka kasut untuk menunaikan solat



Kami membuat lima saf untuk solat jenazah ini.

Imam Mansoor memberikan khutbah kepada hadirin

Di sebelah saya ialah Pakcik saya Ashab

“Muslim itu bersaudara”, antara isi khutbah

Ia dihadiri hampir seratus orang

Semoga Allah memberi kerahmatan ke atas rohnya, amin…


3 comments:

Syurga fakir dunia said...

Alhamdulillah ustaz, turut merasa bersyukur, terharu dan lapang dada membaca kisah perjalanan terakhir pakcik ustaz! Semoga Allah permudahkan juga segala urusan dunia dan akhirat kita. Amin!

hakim said...

allahurabbi....btapa nikmatnya ISLAM dan saudara SEISLAM.. NIKMATNYa layanan ALLAH terhadap hambnya yg soleh...

MaRdHatILLah(Fatahiyyah) said...

moga Rohnya di cucuri Rahmat..amien..kadg2 hidup ini perlukan pengembaraan...br kt tahu betapa indhnya Perpaduan Islam.moga mnambahkan lg keimanan kt..

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...