Thursday, January 28, 2010

Sekilas 33 – Isu Kepala Babi di Masjid, memahami cara berfikir

Rabu 27 Januari 2010, jam 6.30 pagi, kepala babi hutan yang dibungkus dalam empat beg plastik beras ditemui di perkarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Haron dan di hadapan pintu masuk ke perkarangan Masjid Al Imam Al Tirmizi, Taman Sri Sentosa.

Seingat saya, ini kali kedua perkara seperti ini berlaku. Pertama kali ialah di surau Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 16 Januari 2009 menjelang pilihanraya kampus.

Saya tidak mahu mengupas siapakah yang melakukan perkara ini, tapi saya ingin mengupas dari sudut memahami cara berfikir orang yang terlibat melakukan perkara ini.

Orang yang melakukan perkara ini sudah tentu mempunyai doktrin yang kuat untuk dia melakukan perkara ini.

Ada dua kemungkinan kejadian meletakkan kepala babi hutan di masjid ini.

1. Dilakukan oleh orang kafir

2. Dilakukan oleh orang Islam sendiri.

Perbahasan pertama ialah jika ia dilakukan oleh orang kafir.

Jika peristiwa meletakkan kepada babi ini dilakukan oleh orang kafir, maka kita tidak hairan kerana memang orang kafir sikapnya tidak akan senang dengan Islam. Allah swt menyebutkan di dalam al-Quran:-

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka (surah al-Baqarah ayat 120)

Allah sendiri mengingatkan kepada kita bahawa orang kafir tidak akan redha dengan kita hinggalah kita mengalah dan mengikut mereka.

Oleh kerana Allah telah ingatkan, maka, jika kes kepala babi ini dilakukan oleh orang kafir, kita tidak begitu terkejut, memang sikap mereka selalu menunjukkan permusuhan.

Jadi, untuk apa marahkan mereka, marahkanlah diri yang tidak bersatu hingga boleh diperlakukan demikian, marahkan diri hingga orang kafir boleh memperkotak katikkan kita demikian.

Dari segi, siyasah syariyyah, jika mereka tertangkap dan terbukti melalui qarinah (sabitan bukti), maka menurut siyasah syariyyah (ilmu politik Islam) orang itu perlulah dihukum. Ia jatuh kepada pemerintah untuk menghukum menurut kebijaksanaannya. Ia perlu dihukum untuk menjaga keharmonian sesebuah masyarakat.

Dan bagi diri kita pula, tingkatkan kesatuan agar Allah letakkan rasa hormat orang kafir pada umat Islam.

Perbahasan kedua ialah jika ia dilakukan oleh orang Islam sendiri.

Kita mungkin terfikir, adakah orang Islam yang tergamak melakukan seperti ini? Sebenarnya ada, jika mereka melihat perbuatan itu melalui cara Siyasah Syariyyah.

Ada dua golongan orang yang cuba berfatwa menurut siyasah syariyyah (ilmu politik Islam).

1. Golongan pertama ialah golongan yang berfatwa secara keras, boleh buat apa sahaja asalkan umat Islam sedar, boleh buat apa sahaja asalkan kebaikan menyebelah kepada Islam.

Orang yang berfatwa seperti ini boleh melakukan apa sahaja asalkan ia boleh memberi kebaikan untuk umat Islam atau kebaikan itu untuk sesetengah golongan.

Mereka boleh buat apa sahaja hingga yang lebih teruk dari meletakkan kepala babi di masjid dan surau. Mereka boleh berfatwa hingga membunuh di atas nama agama jika perlu.

2. Golongan kedua ialah golongan yang berfatwa secara sederhana, iaitu seseorang itu boleh melakukan apa sahaja asalkan tidak melanggar syarak kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

Golongan kedua ini menolak fatwa golongan pertama. Mereka akan berpegang bahawa walaupun untuk kebaikan Islam, tetapi ia mestilah selaras dengan syarak dengan melihat kepada budaya setempat. Mereka akan mengutamakan menolak keburukan. Mereka akan lebih mengutamakan memelihara kebaikan dari menimbulkan kemudaratan.

Dalam kes meletakkan kepala babi ini di masjid, jika ia dilakukan oleh orang Islam, sudah tentu mereka adalah dari golongan yang pertama. Fatwa mereka lebih keras dan kurang memerhatikan keadaan sekeliling. Mereka akan bertentangan dengan golongan kedua.

Secara peribadi, saya memilih pendekatan kedua iaitu matlamat tidak menghalalkan cara. Jika ingin membuat sesuatu untuk kepentingan Islam dan Umatnya, ia mestilah tetap di dalam lingkungan syarak.

Kita tidak boleh mencemarkan rumah Allah walau apa pun alasannya.

Saya yakin, ramai ustaz di Malaysia juga mengambil pendekatan kedua di dalam pandangan mereka melalui fatwa Siyasah Syariyyah.

Jika kes kepala babi ini dilakukan oleh orang kafir, maka mereka perlu dihukum dengan beratnya kerana telah mula berani mencabar umat Islam hingga ke tahap ini,

Tetapi, jika ia dilakukan oleh orang Islam, ini bermakna, telah ada para ustaz di Malaysia yang mula berfatwa dengan membawa pendekatan pertama.

Ini memberi petanda, akan banyak lagi fatwa yang keras yang akan dikeluarkan dan akan ada yang mentaatinya.

Bagi kita orang awam, berhati-hati di dalam berguru, kerana di belakang orang yang hebat, ada guru yang hebat dan di belakang orang yang jahat juga ada guru yang jahat. Ibarat kata pepatah Melayu,

Berburu ke padang datar dapat rusa belang kaki, berguru kepala ajar ibarat bunga kembang tak jadi.

“Sekilas Itu Realiti, Realiti Itu Kehidupan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

28 Januari 2010 jam 1.50 pagi

2 comments:

Anonymous said...

salam ustaz,

Maaf ustaz saya ni tak ada ilmu untuk berbahas cuma ikut akal sikit saja la . Pada pendapat saya ada satu lagi kemungkinan jika ia dilakukan oleh orang Islam , meraka ini bukan dari kedua-dua golongan di atas, tetapi dari golongan mereka yang tidak berilmu dan nakal.

wallahuwaalam

Anonymous said...

Salam ustaz,
Semakin hari, semakin banyak persoalan dan kekeliruan yang timbul. Apa pun, ianya hasil dari dari kelemahan dan kegagalan kita dan ujian Allah( kalimat Ajam) untuk menyedarkan kita seterusnya memberi peluang kita membaiki kesalahan. Saya setuju dan mungkin ianya dari golongan yang tiada fikrah agama dan terdesak untuk digunakan oleh sesiapapun. Semoga kita dan keluarga kita diselamatkan dari terjebak dan terperangkap bersam-sama golongan tersebut.
Amin.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...