Wednesday, April 22, 2009

Diari 47 - Doha Qatar

Jam 3.30 pagi waktu Malaysia, kapal terbang Qatar Airways meninggalkan KLIA. Mata yang telah mulai mengantuk melihat pemandangan malam sekitar Sepang melalui lubang tingkap.

"Ya Allah, selamatkanlah perjalanan ini, amin.." saya berbisik perlahan.

Kami semua menuju ke Doha sebelum meneruskan perjalanan ke Amman Jordan. Perjalanan mengambil masa 7 jam setengah. Sekitar empat jam kemudian, kami melalui zon pertukaran di antara malam dan siang.

Seperti di dalam entri yang lalu, satu pemandangan yang paling saya suka lihat di dalam hidup saya ialah melihat bumi berada di zon seperti ini, sama ada pertukaran itu dari siang ke malam atau dari malam ke siang.

Kita dapat melihat di sebelah kanan telah siang dan di sebelah kiri masih malam. Saya mengejutkan Helmi untuk solat Subuh.

Kapal terbang berlambangkan kepala kambing bertanduk panjang ini menerobosi awan. Sekali-sekala terasa juga gegaran seakan-akan kereta yang melanggar lubang.

Dua jam sebelum sampai kami dihidangkan dengan makan.

"What do you want sir? Pramugari Qatar Airways memulakan perbualan ketika hidangan mula dibawa.

"Nasi lemak", kata saya tersenyum.

"Ok," jawabnya dan dia memberikan saya nasi lemak.

Rupanya sungguh, hidangan pagi ini ada nasi lemak. Saya hanya bergurau.

Saya tersenyum sendiri, nak minta teh tarik pulak, boleh tak agak-agak?..

Perjalanan selama tujuh jam setengah ini tidaklah terasa letih sangat. Ini kerana kami menaiki kapal terbang memang dah waktu tidur. Waktu saya ke Rusia baru-baru ini, penerbangan pada pukul 7 pagi, jenuh juga mencuba untuk tidur. Ini kerana perjalanan bukan waktu tidur. Perjalanan ke Rusia tempohari memang meletihkan.

Pada jam 11.00 pagi waktu Malaysia, kapal terbang mula menyentuh bumi Arab ini. Orang-orang Arab yang ada bersama di dalam kabin, bertepuk tangan. Semua bising. Agaknya tanda syukur bagi masyarakat moden.

Turun dari kapal terbang, kami semua menaiki bas untuk ke terminal. Jauh juga pusing, hampir sepuluh minit untuk sampai ke terminal.

Saya melihat barisan kapal terbang Qatar Airways yang tersusun. Baru saya perasan, rupanya setiap kapal ada namanya sendiri. Tertulis dihadapan kepala kapal terbang, "Ummu Taqah", "Bahiyyah" dan sebagainya.

"Wah, macam jet pejuang pulak gayanya, setiap satu ada namanya sendiri", bisik hati saya.

Kami mulai beratur. Saya dan rombongan ke lorong pertukaran. Orang ramai bersesak-sesak. Biasalah bagi pemandangan di sini, sedang bersesak-sesak, antara pegawai pun bergaduh, saling salah menyalah dan saling angkat tangan tidak puas hati.

Kami melalui pemeriksaan dan x-ray barang untuk ke terminal pertukaran penerbangan. Selesai dari pemeriksaan, kami mula masuk ke dalam terminal.

Terminal di sini tidaklah besar. Dalam tak sampai 10 minit kita boleh habiskan jalan di semua kedai-kedai.

Di sini, mereka menggunakan matawang QR (Qatar Riyal). Pertukarannya lebih kurang sama dengan duit kita. Seringgit kita lebih kurang satu riyal dia. USD juga diterima untuk jual beli.

Beza masa di sini dengan Malaysia ialah 5 jam. Cuaca pada waktu ini lebih kurang di Malaysia. Pekerja airport kebanyakkannya orang dari Pakistan atau Bangladesh. Sewaktu berjalan di sekitar airport, saya terlihat papa tanda,

"Internet Point"

"boleh singgah ni, bolehlah menulis sikit. Transit selama 6 jam ni pun apa yang boleh dibuat," bisik hati saya.

Alhamdulillah, penggunaannya percuma. Bolehlah berkongsi pengalaman awal untuk setakat ini. Apa pun, semoga perjalanan ini dibantu Allah.

Sehebat mana kita, jika tidak dibantu Allah, akan susah juga. Serendah mana kita, jika dibantu Allah, pasti akan mulia juga.

"Diari, Merakam Sejarah, Mencatat Kenangan"

al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Doha International Airport
22 April 09, jam 8 pagi

2 comments:

Hunny said...

Salam Ustaz,

Jangan lupa update blog yer.. :)

Anis Hartini Haron said...

wah... sempat blogging.... :)
Abg Amin, masukkan lah nufnang advertisement dlm blog abg amin nie.. nanti boleh generate income by visitor yg view... :)

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...