Saya tidak faham,apa yang Ustaz Hussain maksudkan. Dia melanjutkan lagi, hari ini kita akan makan di pulau sekitar Phuket ini. Lauknya ialah ikan yang akan kita tangkap di perairan Phuket ini.
Kami mula menaiki bot seawal pukul 9 pagi waktu tempatan. Setelah setengah jam berlayar, kami tiba di pulau Loan. Kami mula melebarkan jala yang dibawa. Ada seorang pembantu Ustaz Hussain bernama Aziz membawa penembak ikan. Kami mula menjala dan Aziz mulai menembak ikan. Setelah dua jam menjala, kami membawa naik hampir sepuluh kilogram ikan yang berbagai jenis dan rupa. Ha.. rezki tetamu dari Malaysia hari ini banyak, sapa Ustaz Hussain pada saya.
Kami makan ikan yang segar, ada yang digoreng dan ada yang dibakar. Alhamdulillah,banyak rezki kita hari ini.
Merenung kehidupan nelayan, sebenarnya, jika mereka beriman, mereka lebih kuat pergantungan hati dengan Allah. Setiap pagi mereka keluar mencari rezki, mereka tidak tahu berapa banyak yang akan Allah kurniakan.
Setiap kali mereka menjala, hati mereka berdebar-debar akan perolehan yang mereka dapat.Jika banyak mereka akan bersyukur dan jika tidak dapat mereka redha. Hati mereka tenang kerana usaha yang telah dimaksimakan.
Berbeza dengan orang makan gaji. Kadang kala, hati kurang pergantungan pada Allah. Ini kerana, setiap bulan rasa selamat kerana gaji yang akan diperolehi. Rasa selamat kepada selain Allah akan menyebabkan kita hilang ketenangan. Kita akan rungsing jika dibuang kerja, jika tidak dibayar gaji, akan merungut jika tidak ada bonus. Kita memang boleh suarakan hak kita cuma kadang kala orang menyuarakannya dengan lupa pergantungan pada Allah.
Dari sudut usaha, nelayan terpaksa berhempas pulas dengan keringatnya. Orang makan gaji kadang kala boleh curi masa. Dia boleh ponteng, beli resit klinik untuk dapatkan cuti dan sebagainya. Lebih malang lagi barang pejabat yang bukan miliknya diangkut bawa balik. Pen pejabat, kertas pejabat, klip kertas dan lain-lain. Bayangkan, betapa susahnya ingin diselesaikan di akhirat nanti.
Kita tidak disuruh tukar kerja kepada nelayan jika kita bekerja di pejabat. Cuma pengajaran dari kehidupan nelayan yang perlu kita ambil iktibar. Jika kita semua tergolong di dalam golongan orang yang amanah di dalam usaha, insyallah kita akan berjaya di dunia beserta keberkatan dan berjaya di akhirat bersama kerahmatan.
Menyelami kehidupan nelayan, mempelajari erti kesungguhan dan tawakkal di dalam kerja. Gambar di atas, bot nelayan yang saya naiki untuk menziarahi pulau sekitar Phuket dan menangkap ikan.
Setiap hari, rezki tidak diketahui, hanya kesungguhan dan tawakkal bekal untuk berusaha.Gambar di atas adalah teluk di pulau Loan Phuket Thailand
Sesungguhnya, orang yang bersungguh di dalam kerjanya akan memaksimakan usahanya. Ini kerana, kesungguhan usaha mendapat pahala, memaksimakan kerja mendapat laba.
3 comments:
Salam ustaz...
1) Artikel ni best...tapi ustaz, time bace jer rase insaf, pastu lupe (especially diri ini laa), macam mana yer ustaz nak istiqamah...
2) Saya cadangkan ustaz buat satu laman khas utk soal jawab tentang fikah harian...
Insyallah, kita akan adakan ruangan khas untuk bertanya.
bab istiqamah insyallah saya akan tulis nanti di tulisan akan datang
Post a Comment