Thursday, October 2, 2008

Motivasi Iman 1 - (Mari berbahagia dengan Islam)

Sempena hari raya ini, saya melihat ramai di antara kita yang bergembira. Apakah kita dilarang untuk bergembira. Tidak.. bahkan, jika betul caranya, gembira kita akan menjadi ibadah.

Islam tidak pernah melarang umatnya berhibur, bersolek, mencari harta, bergaul, belajar, berbelanja dan sebagainya. Tetapi apa yang Islam ajar adalah supaya kita melaksanakan semua itu mengikut lunas-lunas agama Islam. Apa juga yang umat Islam buat ada panduan yang perlu diikut. Ini supaya kehidupan kita lebih selamat dan lebih teratur serta dapat membezakan di antara kehidupan orang Islam dan orang kafir. Dan yang paling penting ialah agar kita mendapat keredhaan Allah.

Islam meraikan perasaan gambira yang ada pada manusia. Manusia boleh gembira. Cuma cara kita gembira perlu kita selaraskan mengikut apa yang telah Islam ajarkan.

Islam bukannya "no, no, religion". Ia merupakan tunjuk ajar untuk kita lebih bahagia. Ini kerana tidak semua kebahagiaan dapat kita kecapi dengan cara yang difikirkan akal.

Berapa ramai orang yang mencari bahagia dengan akal akhirnya menjadi gila dan hilang kebahagiaan. Ada yang membunuh diri, ada yang hilang ketenangan. Kita boleh melihat, berapa ramai penghibur yang tidak terhibur jiwanya. Dia menghiburkan orang lain, diri sendiri pun tidak terhibur.

Oleh yang demikian, tidak rugi kita mengikut agama. Kadang kala ajarannya seolah-oleh berat untuk diamalkan tetapi setelah diamal terasa hikmahnya.

Sempen hari raya ini, "betulkanlah yang biasa dan biasakanlah yang betul"...

1 comment:

Anonymous said...

Salam Ustaz

Saya ingin bertanya pasal atikel di bawah ini

> Hampir kebanyakan umat Islam hari ini tidak terlepas daripada menggunakan istilah "Sembahyang" yang merujuk kepada "Solat." Tetapi pada hakikatnya, istilah "Sembahyang" mempunyai maksud atau pengertian yang terdapat unsur "Syirik."
>
> Professor Hasbi As Siddiqi di dalam salah satu bukunya, membahas perkataan "Sembahyang." Katanya; "Sembahyang di ambil daripada perkataan "Sembah" dan "Hyang" yang merujuk kepada nama dewa - dewa yang disembah oleh penganut Agama Hindu dahulu kala. "Sembahyang" juga diertikan sebagai "menyembah berhala yang bernama Hyang."
>
> Dua pakar Bahasa Indonesia, yang salah seorangnya pernah datang ke Malaysia, mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu Dr Daniel juga telah mengesahkan bahawa istilah "Sembahyang" merujuk kepada "menyembah dewa yang bernama Hyang."
>
> Orang Buddha pergi ke Tokong, Orang Hindu pergi ke Kuil dan Orang Kristian pergi ke Gereja menggunakan istilah "Sembahyang," terserahlah kepada mereka, kerana memang terdapat unsur "Syirik" dalam ibadah mereka. Tetapi Umat Islam, Tidak sesuai sekiranya, "Solat" juga diistilahkan sebagai "Sembahyang", yang mana pada asalnya kata sembahyang itu merujuk kepada "menyembah dewa bernama Hyang."
Kalau boleh ubahlah ayat seperti seorang ibu mengarahkan anaknya bangun untuk menunaikan Solat Subuh. "nak, bangun!. pergi "Sembahyang Subuh," kepada "nak, bangun!. Pergi "Solat Subuh." Solat lebih tepat istilahnya
Mungkin sebahagian daripada kita, akan menganggap bahawa hal ini hanyalah hal yang remeh dan tidak begitu penting. Tetapi bagi mereka yang mempunyai kesedaran Agama dan memetingkan kualiti ibadah, akan sentiasa berhati-hati dan mengambil perhatian akan hal seperti ini.

apa pendapat Ustaz

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...