KISAH ini bermula dengan safar saya ke Maghribi. Sebelum saya bertolak ke Maghribi, saya telah menghubungi seorang pelajar Malaysia yang belajar di negara tersebut. Namanya Azizul dan saya tidak pernah mengenali Azizul sebelumnya. saya dikenalkan dengan Azizul melalui seorang anak murid saya di Malaysia ini. Azizul berjanji akan menunggu saya di lapangan terbang antarabangsa Casablanca Maghribi. Lagipun, keluarga Azizul yang tahu saya akan pergi ke sana telah mengirimkan sedikit barang untuk Azizul.
Ketika sampai di lapangan terbang Casablanca, Maghribi, saya merasakan sudah tentu Azizul telah menunggu saya. Tetapi saya berfikir, bagaimana cara dia akan mengenali saya kerana sebelum ini dia belum pernah melihat saya. Mungkin dengan memegang sepanduk nama, atau cuba-cuba meneka, atau entah apa-apa cara sekalipun. Saya pun tidak tahu.
Setelah keluar dari balai ketibaan, tidak ada seorang pun yang menyapa saya. Saya dengan tenang melangkah keluar, memandang kanan dan kiri. Lapangan Terbang Muhammad V, Casablanca, Maghribi tidaklah besar. Kalau hendak digambarkan, mungkin seperti Lapangan Terbang Bayan Lepas Pulau Pinang atau mungkin seperti Lapangan Terbang Pengkalan Chepa Kelantan. Tetapi sedia maklumlah lapangan terbang tersebut tidaklah secanggih lapangan terbang di tanah air kita.
Saya mencari café atau restoran berdekatan dan mengambil posisi duduk di kerusi. Dengan perlahan-lahan saya mengambil beg sandang saya dan mencari telefon bimbit. Saya melepaskan nafas panjang apabila mendapati bateri telefon saya habis. Saya pula tidak pula mencatatkan nombor telefon Azizul di mana-mana buku.
“Alamak, macam mana nak telefon Aziziul ni. Nombor tak ada!”. Saya segera terpandang kotak yang keluarga Azizul kirimkan padanya. Saya bingkas bangun dan membelek-belek kotak tersebut. Sudah tentu pada kotak itu ada nama, alamat dan nombor telefon Azizul. Itulah cara kebiasaan bagi orang membawa kotak di dalam perjalanan. Akan dituliskan nama, alamat dan nombor telefon.
Kotak tersebut dibalut dengan pelekat plastik. Jadi sebahagian nama dan nombor telefon ditulis pada kotak dan sebahagian nombor lagi pada pelekat plastik tersebut. Malangnya, ketika membelek kotak tersebut, saya mendapati dua nombor yang ditulis melalui pelekat plastik telah hilang. Mungkin ketika kerja-kerja pemunggahan barang-barang kargo menyebabkan nama yang ditulis di atas pelekat plastik tersebut hilang. Ini bermakna, jika saya ingin cuba menghubungi Azizul, saya terpaksa meneka kebarangkalian nombor yang hilang di antara 01 sehingga 99.
“Hah, 99 kali percubaan, biar betul!. Alamak, macam mana nak buat ni?,” Saya berfikir sejenak.
Di satu sudut, terdapat kedai yang menjual alatan komunikasi. Dengan berbekalkan bahasa arab yang telah dipelajari, saya membeli sekeping kad telefon dan meminta penjual tersebut mengagakkan nombor yang hilang.
Penjual tersebut memberitahu penulis, nombor yang depan adalah kod bagi negara, kemudian kod kawasan barulah nombor handphone dia.
“Dia tinggal di mana?.” Penjual tersebut bertanya pada saya.
“Tak tahulah, Rabat kot. Eh, bukan. Marakesh rasanya. Eh, bukan... entahlah.” saya teragak-agak
“Cuba cari. Sebab kalau tahu dia tinggal mana, kita akan tahu nombor yang depan.” Saran penjual itu.
Saya berlari kembali ke café dan mendapatkan kotak yang bertulis alamat Azizul; Kenitra. “Ha, Kenitra. Tapi, di mana tempat tu ya? Tak apalah, janji dah tahu apa kawasan.” bisik hati saya.
Saya bergegas kembali ke kedai komunikasi tadi dan akhirnya dapatlah nombor yang depan iaitu nombor bagi kod kawasan. Alhamdulillah, syukur, sebab sekarang kebarangkaliannya ialah nombor kosong hingga sembilan sahaja. Taklah macam tadi, kena cuba sampai 99 kali. Saya pun mulalah mencuba nombor yang pertama,
“Assalamulaikum, Azizul ada?” Nyet nyot,nyet nyot ada seorang perempuan arab bercakap. “Eh apa yang dia cakap ni?.Mmm, bahasa Arab pasar ni, tak faham saya.” detik hati saya sendirian.
Bahasa arab kolokial di Maghribi amat susah untuk saya memahaminya. Ia disebut sebagai bahasa Darijah. Ia tidak seperti bahasa arab di negeri-negeri arab yang lain. Kebanyakan di negeri Arab lain, bahasa pasarnya hanyalah berbeza pada loghatnya sahaja. Seperti dialek orang Johor dan orang Kelantan. Kalau kita tahu lengggok bahasanya, sudah boleh faham. Tapi bahasa pasar Maghribi adalah bahasa campuran di antara bahasa Arab, Barbar, Perancis dan Sepanyol. Memang sukar difahami.
Saya mencuba nombor yang kedua. “Assalamualaikum, mumkin kallim ma’a Azizul?” (boleh bercakap dengan Azizul?)Kali ini ada seorang perempuan menjawab, tetapi bahasanya dapat difahami. Saya cuba mendengar baik-baik. Rupa-rupanya operator. Nombor tiada di dalam perkhidmatan.
Saya mencuba nombor yang ketiga. “Assalamualaikum, mumkin kallim ma’a Azizul?” (boleh bercakap dengan Azizul?)
“Azizul mashi…” Kemudian lama berdiam. Rupa-rupanya panggilan sudah diputuskan, Ai, kenapa pula?, kalau 'mashi' mengikut bahasa lahjah Mesir bererti 'okey', tetapi kenapa dia letak pula telefon ni, tak pe lah. Paling kurang dah tahu itu bukan nombor Azizul. Setelah beberapa hari saya berada di Maghribi barulah saya tahu bahawa 'mashi' mengikut lahjah Maghribi bererti tidak ada, atau tidak boleh, atau tidak okey.
Saya mencuba nombor keempat. “Assalamualaikum, munmkin kallim ma’a Azizul” (boleh bercakap dengan Azizul?)
“Na’am. na’am ana.” Suara di hujung talian menjawab.
Haa, ini na’am orang Melayu ni. Gaya sebutan dan huruf ain orang Melayu “Azizul ke tu?”
“Siapa ni?” Azizul bertanya.
“Ana Muhammad, dari Malaysia.” Jawab saya, ringkas.
“Oh, ustaz. Maaf ustaz, ana lambat sikit. Masih dalam kereta api ni. Lagi setengah jam ana sampai.”
“Ok, ok, nanti kita jumpa ya... Assalamualaikum.” Hati saya lega. Terima berita yang pasti. Sekitar setengah jam berikutnya, Azizul sampai dan beliau terus menguruskan saya untuk perjalanan yang seterusnya.
Saya merasakan suatu keadaan yang teruk sebelum dapat menghubungi Azizul. Ini kerana saya tidak pasti sama ada beliau datang atau tidak. Kalau telah pasti tidak datang, ia lebih memudahkan saya kerana saya boleh membuat keputusan untuk tindakan selanjutnya. Tetapi keadaan berada dalam ketidakpastian, membuatkan saya tidak senang duduk.
Benarlah kata orang tua-tua kita bahawa “penantian adalah satu penyeksaan”. Saya teringat juga kata orang tua-tua yang menyatakan bahawa, “ketidakpastian terhadap sesuatu membuatkan kita tersiksa”.
Menyebut mengenai ketidakpastian ini, saya teringatkan soal kematian. Kematian adalah satu yang pasti tetapi nasib seorang di akhirat adalah sesuatu yang tidak pasti. Kita tidak tahu nasib kita di akhirat kelak.
Oleh yang demikian, di dalam Islam kita tidak pernah diajar untuk takutkan perpindahan kita ke alam barzakh ini. Ini kerana setiap manusia itu pasti akan merasakannya.
Apa yang kita dianjurkan untuk berasa risau adalah, apakah persediaan kita ketika berada di alam barzakh nanti. Apakah amalan lalu akan menunggu kita di sana lantas membawa kita balik ke tempat asal yang abadi iaitu syurga.
Cuba kita bayangkan jika kita berpindah ke alam barzakh, sedangkan bekalan amalan kita tidak cukup dan tidak ada amalan yang menunggu kita di sana.
Saya cuba mengibaratkan perjalanan kita menuju akhirat seperti perjalanan kita pergi ke Mekah atau ke mana-mana tempat dengan menaiki kapal terbang.
Sebagai contoh, kita hendak pergi ke Mekah menunaikan umrah atau haji dan ini merupakan pengalaman pertama kita untuk pergi ke sana. Di lapangan terbang, kebanyakkan ahli keluarga terdekat dan sahabat handai menghantar kita. Kita mula meninggalkan mereka. Ada di antara mereka yang menangis. Mungkin anak kita menangis. Mungkin isteri kita menangis kerana perpisahan yang sementara ini. Mungkin juga cucu kita menangis meronta-ronta mahu ikut kita. Selepas pemeriksaan pasport, maka kita pun menunggu di balai berlepas. Tidak lama selepas itu pintu kapal terbang pun dibuka dan kita pun masuk menerusi pintu kapal terbang tersebut.
Oleh kerana terlalu letih kita pun tertidur di dalam kapal terbang tersebut. Selepas lapan jam berlalu kita pun terbangun. Pintu kapal terbang pun dibuka dan kita keluar dari pesawat.
Cuba kita bayangkan, setelah lapan jam berjalan, pintu kapal terbang yang sama terbuka, kita telah berada di alam yang lain. Kita telah berada jauh dari keluarga, sanak saudara dan sahabat handai kita.
Kita tidak perlu risau mengenai perjalanan kita ke Mekah ini, yang kita risaukan adalah, ketika kita sampai di sini, bekalan kita tidak cukup dibawa. Bekalan baju kita hilang, bekalan duit kita tidak mencukupi dan di sekeliling kita pula semuanya orang yang tidak kita kenali, malahan lebih teruk dari itu lagi tidak ada orang yang menunggu kita di lapangan terbang tersebut.. Cuba kita bayangkan betapa susahnya kita pada ketika itu. Begitulah kehidupan kita di alam akhirat nanti.
Pengalaman pertama saya menuggu hampir empat jam di lapangan terbang Casablanca, Maghribi memberi pengalaman yang mendidik bagaimana susahnya jika kita berada di tempat yang asing dan tidak ada berita bahawa kita ini ditunggu atau tidak.
Mudah-mudahan, saya dan pembaca sekelian dapat meningkatkan amal ibadah agar amalan yang kita lakukan menunggu kita di alam akhirat yang terlalu asing buat kita.
Blog yang membicarakan mengenai perjalanan kembara dakwah, soal-jawab agama, masalah rumah tangga, keluarga dan rakaman rancangan Usrah TV9, Tanyalah Ustaz TV9, IKIM.fm Persona de Zahra, Al-Kuliyyah TV3, rumah kebajikan anak yatim dan hiv, juga undang-undang keluarga.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...
-
Perjalanan saya ke Saint Petersburg mempunyai satu misi. Saya ingin bertemu dengan Prof. Dr . Alexander K. Ogloblin, pengkaji Nusantara per...
-
7 April 2012, saya bersama dengan ahli rombongan ke Ben Yehuda St, penempatan orang Yahudi di Jerusalem ini. Nama jalan ini diambil sempena ...
-
“Mmm, ustaz, boleh tak ceritakan bagaimana Nabi Yahya dibunuh” Tanya seorang anak murid pada saya. Rupanya ada yang mengikuti kisah Nabi ...
No comments:
Post a Comment