Thursday, October 16, 2008

Universiti Kehidupan 5 - Kembara ke Maghribi


Gambar - saya diRabat. perjalanan dariRabat ke airport lebih dua jam.

Hari ini Jun 2007, Kapal terbang yang saya naiki mulai semakin rendah. Boeing 747 Emarites itu semakin menghampiri bumi Maghribi. Dari cermin tingkap saya melihat bumi yang kering dan sesekali terdapat pokok-pokok bukit yang menghijau.

Keadaannya tidak seperti bumi Malaysia yang dikenali dengan gelaran negara taman oleh sesetengah orang arab Mesir dan Saudi. Ini kerana tanahnya subur dan di mana-mana terdapat pokok sedangkan di negara mereka tempat yang penuh dengan pokok hanyalah di taman-taman sahaja.

Cuaca di luar 34 darjah celcius. Tidaklah terlalu panas pada waktu ini. Setelah mendarat, penumpang mulai bangun. Ada yang telah mulai menghubungi sanak saudara atau rakan mereka dengan telifon bimbit padahal pada waktu tersebut kapal terbang belum benar-benar berhenti. Pandangan ini biasa di negara-negara arab. Jika di Malaysia, sudah tentu mereka telah dimarahi oleh Pramugari. Setelah kapal mendarat, kami mulai turun ke balai ketibaan.

Saya bersyukur kerana selamat sampai. Perjalanan saya melalui hampir 18 jam. lapan jam dari Malaysia ke Dubai, transit dua jam di Dubai dan meneruskan perjalanan hampir lapan jam lagi dari Dubai ke Casablanca Maghribi, Saya sangat bersyurkur kerana semua perjalanan dipermudahkan oleh Allah. Alhamdulillah dan Selamat Datang Ke Maghribi.

Seorang demi seorang berbaris menghampiri imigresen. Inilah kali pertama penulis menjejakkan kaki di bumi Uqbah bin Nafi’ ini. Beliau adalah seorang sahabat yang membawa Islam ke bumi Afrika Utara pada tahun 680 masihi. Afrika Utara adalah terdiri dari negara Libya, Tunisia dan Maghribi. Pada mulanya orang Arab hanya mengenali Afrika Utara sebagai Libya dan Tunisia sahaja. Apabila Islam dapat disebarkan ke atas lagi oleh Musa bin Nusair pada tahun 703-711 masihi, maka mereka menamakan negara yang baru ini dengan nama Maghribi iaitu negeri matahari terbenam.

Bangsa asal bagi bumi ini adalah bangsa Barbar. Walaupun bangsa Barbar ini pernah di bawah pemerintahan berbagai bangsa seperti Kartago, Rom, Vandal, Gothik dan Inggeris namun ia tidak banyak membawa perubahan bagi tabiat dan perwatakan penduduk asalnya.

Bangsa Barbar mempunyai bahasa sendiri. Walaubagaimanapun bahasa Arablah yang paling mempengaruhi baik di bandar maupun di kawasan pendalaman.

Orang Barbar adalah bangsa yang rajin bekerja sama ada di dalam bidang pertanian maupun di dalam pertukangan. Mereka bercucuk tanam bertenun membuat peralatan dan senjata dan berbagai pertukangan sehinggalah kepada seni halus.

Perbezaan hidup orang Barbar jika ingin dibandingkan dengan orang Arab Badwi ialah mereka tidak hidup dengan cara nomad iaitu berpindah randah dari satu lembah ke satu lembah tetapi mereka hidup dengan cara berkampung.

Di dalam sistem masyarakat, mereka mempunyai keluarga. Gabungan beberapa keluarga wujudlah koryah (kampung) dan pada sesebuah kampung akan ada orang yang ditua-tuakan yang bertanggungjawab terhadap urusan sekitar keluarga tersebut. Gabungan beberapa koryah disebut kabilah. Di dalam tahap kabilah ini ia akan dipimpin oleh seorang ketua yang diberi gelaran al-Amin. Ia dipilih oleh orang yang paling dihormati di dalam kabilah tersebut.

Al-Amin ini akan dibantu oleh wakil-wakil setiap koryah dan kepimpinan ini disebut sebagai Jamiah al-Balighin. Jamiah al-Balighin ini akan memutuskan setiap permasalahan berkaitan dengan kepercayaan dan pemerintahan.

Hampir seluruh bangsa Barbar ini menganut agama Islam. Kebanyakan mereka adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bermazhab Maliki. Dari sudut tariqat kebayakkan masyarakat di sini mengamalkan tariqat as-Syazili. Mereka membaca al-Quran dengan menggunakan bacaan Warasy.

Kedudukan kaum wanita di sisi bangsa Barbar adalah tinggi. Pada saat terjadinya peperangan, kaum wanita juga akan turut berperang bahkan pernah juga perempuan diangkat menjadi pemimpin di kalangan mereka. Hal ini amat berbeza dengan orang Arab yang yang menganggap wanita sebagai makhluk yang amat rendah darjatnya.

Di dalam sejarah, ketika tentera Islam menghampiri Tunisia, mereka telah mendapat tentangan yang hebat dari kabilah-kabilah yang dipimpin oleh seorang wanita. Pada peringkat awal tentera Islam terpaksa berundur seketika sebelum datang kembali dengan tentera yang lebih ramai.

Kota-kota lama yang masyhur di negeri ini ialah kota Fes dan Marakesh. Keindahan kota Fes satu ketika dahulu menyanyingi keindahan kota Baghdad. Pada ketika zaman kegemilangannya, terdapat 800 buah masjid dan beberapa buah perpustakaan yang besar yang mempunyai buku-buku di dalam berbagai bahasa seperti bahasa Latin dan Yunani. Kota Fes dibangunakan dalam tahun 739 M manakala kota Marakesh pada tahun 1062 M.

Setelah selesai pemeriksaan imigresen penulis pun mula keluar dari kawasan imigresen. Jam menunjukkan pukul 4 waktu Maghribi. Ada seseorang pemuda berbadan kecil menghapiri penulis dan bertanya,

"Awwal marrah hina?" (pertama kali di sini) Penulis mengangguk. Kemudian pemuda ini berkata, "lau kunta fil Maghrib fa la tas taghrib" (jika engkau di Maghribi jangan engkau merasa pelik). Dahi saya berkerut cuba memahamkan apakah masej yang cuba disampaikan oleh pemuda tersebut. Ah biarkanlah, tak apa, lambat laun nanti fahamlah. bisik hati ini.

Bermulalah perjalanan Universiti Kehidupan saya di Maghribi. Sesungguhnya, di Universiti ini banyak perkara boleh dipelajar dan dihayati


Bermusafir adalah amalan orang-orang soleh terdahulu. Orang yang selalu bermusafir akan mendapat lima kelebihannya.

i. akan mendapat ilmu
ii. akan mendapat pengalaman
iii. akan mendapat kenalan
iv. akan mendapat harta
v. akan mendapat didikan

Para Anbiya kebanyakkan mereka adalah pengembara, para ulama besar juga begitu. Maka hendaklah kita berjalan di muka bumi Allah ini dan ambillah iktibar yang boleh kita cungkil.

oleh yang demikian, Allah memang menyuruh kita sentiasa bermusafir bagi melihat tanda-tanda kebesarannya

1 comment:

Anonymous said...

assalamualaikum ustaz...
saya nak bertanya kenapa orang sentisa mencari kesilapan orang lain sedangkan kesilapan sendiri tidak pernah di ambil peduli..malah mereke merasakan bahawa mereka baik dan orang lain itu jahat...

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...