Friday, October 10, 2008

Universiti Kehidupan 4- Soalan yang mencuit hati

Satu pertanyaan yang mencuit hati saya. Dalam perjalanan menaiki bot melawat sekitar Krabi, anak saya Abdullah Fateh bertanya kepada ibunya, Ibu, dekat laut ada sabun ke? Isteri saya bertanya kembali, kenapa? Sebab banyak buih kat laut ni. Ooo, tidak semua buih berasal dari sabuh.

Perbualan dari seorang anak kepada ibunya ini mencuit hati saya. “tidak semua buih berasal dari sabuh".

Jika demikian, banyak lagi yang boleh kita ungkapkan melalui sifir yang sama.

1. Tidak semua orang yang baik itu mempunyai ilmu yang tinggi. Baik tempatnya di hati. Ilmu tempatnya di akal. Hikmah apabila ilmu yang diakal dapat diturunkan di hati. Ramai orang yang akhlaknya baik, tetapi ilmunya kurang. Ramai juga orang yang ilmunya tinggi, tetapi akhlaknya juga rosak. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berusaha mencari ilmu dan berusaha juga menurunkan ilmu yang ada ke dalam hati.

2. Tidak semua ilmu yang tinggi itu melahirkan amalan yang hebat. Imam Malik mengatakan, amal ibarat makan. Jika kita hendak makan daging, kita perlu usaha untuk mendapatkannya. Jika kita hendak ikan, kita perlu berusaha mendapatkannya. Amalan juga begitu. Jika kita ingin menjadi orang yang bangun malam, kena berusaha ke arah itu. Jika kita hendak menjadi pembaca al-Quran kena berusaha ke arah itu. Ramai orang yang malas untuk berusaha ke arah amalan yang hebat sekalipun dia tahu kelebihan amalan tersebut. Oleh itu, tidak semua ilmu yang tinggi itu melahirkan amalan yang hebat.

3. Tidak semua amalan yang hebat mendatangkan pahala yang hebat. Ini kerana kadang-kala seorang telah membuat amalan tetapi tidak menyempurnakannya dengan baik. Dia sudah bersembahyang, tetapi lalai dalam sembahyang, dia telah sedekah tetapi untuk dilihat oleh orang. Oleh yang demikian, alang-alang telah membuat amalan, sempurnakan dengan baik supaya ia melahirkan ganjaran yang besar buat kita.


4. Tidak semua pahala yang hebat kekal nilainya. Ramai orang yang membuat amalan tetapi merosakkannya kembali dengan riya, sombong, ungkit dan sebagainya. Oleh yang demikian, jika kita telah membuat amalan, usaha juga untuk menjaga amalan kita. Ini kerana , tidak semua pahala yang hebat itu kekal nilainhya.

5. Tidak semua pahala yang kekal nilainya itu menyelamatkan kita di akhirat. Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, Nabi pernah mengingatkan sahabat mengenai seorang yang muflis di akhirat. Mereka ialah orang yang amalannya dituntut oleh orang lain lantaran di dunia dia selalu mengambil hak orang lain, mengambil maruah orang lain dengan celaan, umpat dan sebagainya. Jadi, sebanyak mana pahala pun belum tentu menyelamatkan kita di akhirat. Hendaklah kita menjaga palitan dosa di dalam hidup kita.

Akhir sekali, apa pun yang kita buat, ikhlaskan niat kerana Allah, tingkatkan mutu amalan, belajar memperbanyakkannya dan juga bergantung haraplah mudah-mudahan Allah terima amalan kita.
Gambar sebuah bot yang menyusur laju yang membentuk banyak buih di laut. Tidak semua buih berasal dari sabun.

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...