Monday, October 27, 2008

Universiti Kehidupan 9 - Sebuah bot kayu

Pada bulan tujuh 2008 baru ini, saya telah pergi ke Singapura. Saya diajak melawat tepi pantai di Singapura. Saya tertarik dengan sebuah bot nelayan. Bot nelayan yang dibuat dari kayu ini membawa pelancung asing untuk melihat pemandangan Singapura dari laut.

Jika di Malaysia, bot nelayan seperti ini digunakan untuk menangkap ikan. Di Singapura, ia digunakan untuk membawa pelancung. Saya terus teringat kata pepatah melayu “untung sabut timbul, untung batu tenggelam”.

Sebenarnya, di dalam kehidupan kita ini, kita selalu membandingkan kekurangan kita dengan kelebihan orang lain.

Sikap suka membanding ini akhirnya membawa kita hilang rasa cukup dan lupa akan nikmat Allah yang lain.

Setiap kita mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Walau apa pun keadaan kita, ia adalah terbaik buat kita.

Seorang yang pandai memasak, akan menjadi hero apabila berada di dapur. Walaubagaimana pun, dia mungkin dianggap beban ketika berada di tapak pembinaan. Ketika semua orang bekerja, dia hanya duduk kerana tidak tahu berbuat apa-apa.

Seseorang yang bernasib baik di satu tempat belum tentu akan bernasib baik di tempat yang lain. Bot nelayan jika berada di perkampungan nelayan terpaksa bekerja keras untuk dianggap berjasa, tetapi di Singapura, ia hanya perlu nampak cantik untuk dianggap berjasa.

Oleh yang demikian, jadikanlah kelebihan yang ada pada kita medan untuk beramal dan jadikanlah kekurangan kita, medan untuk meningkatkan diri.

Orang yang bersifat demikian akan sentiasa bernasib baik di dalam kehidupannya. Kelebihannya disenangi orang dan kekurangannya disempurnakan oleh orang lain. Dia akan sentiasa beruntung di dalam apa yang diusahakannya.

Bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Bot nelayan yang membawa pelancung di Singapura

Tidak semua perkara sesuai di dalam sesuatu keadaan. Kepandaian menyesuaikan diri inilah di antara kebijaksanaan yang perlu kita ada



No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...