Tuesday, December 29, 2009

Universiti Kehidupan 133 – “Walau Di Ceruk Dunia…”

Sabtu 26 Disember 09, jam 3.30 petang, saya menghadiri satu perbincangan di Pontian Johor. Kali ini bersama sahabat-sahabat di dalam bidang penulisan.

Selepas mesyuarat jam 5.00 petang, saya berkata :-

“Apa makan istimewa kat Pontian ni?”

“Hah, hari ini, kita ajak ustaz makan di sebuah restoran terkenal di Kukup. Ramai orang ke sana” jawab salah seorang memberikan respons pada soalan saya.

“Ok, tunggu kejap, saya sembahyang dahulu”. Kata yang lain.

Saya menunggu ahli mustautin menunaikan sembahyang Asar. Rombongan yang dari Kuala Lumpur telah bersolat jamak pada waktu zuhur tadi.

Kami mula bergerak dari Pontian ke Kukup.

Sampai di satu tempat, terdapat papan tanda,

“Mandella”

Ia nama restoran yang dimaksudkan.

Kami berjalan dan melalui satu lorong kecil yang memuatkan hanya sebuah kenderaan. Jika datang sebuah kenderaan lagi dari arah bertentangan, maka masing-masing akan masuk sedikit ke dalam semak di tepi jalan ini.

Hampir-hampir sahaja saya mengajak yang ada berpatah balik:-

“Takkan dalam kebun sawit ni ada restoran sedap” bisik hati saya.

Agak jauh ke dalam, melalui pohon-pohon sawit yang rendang, akhirnya kami sampai ke sebuah rumah yang ditukar menjadi sebuah restoran. Saya suka menamakannya sebagai rumah makan kerana ia seperti kita bertamu di rumah orang.

Saya melihat parit yang berwarna hitam di hadapan rumah makan ini. Ia bukan kerana parit itu kotor, tapi air hitam ini berasal dari tanah gambut yang mendominasi kawasan di sini. Kalau diceduk dengan tangan, air ini kelihatan jernih, tetapi bersatu di dalam kumpulannya, ia kelihatan berwarna hitam.

Kami mula menempah makanan.

“Emm, biasa sahaja, tapi istimewanya ialah ikan dan udang disini baru” salah seorang dari kami memberi ulasan mengenai masakan di rumah makan ini.

“Tapi pelek, ramai orang di sini, ada dari Singapura dan Kuala Lumpur” yang lain mengulas mengenai restoran ini.

Beginilah, jika sesuatu itu istimewa, walaupun diceruk dunia, pasti orang akan mencarinya.

Itu baru restoran, bagaimana dengan peribadi seseorang?

Orang kalau berilmu lagi berakhlak, di ceruk mana tinggal sekalipun, akan dikunjungi oleh orang lain.

Ketika saya di Hadramaut Yaman, ada seorang Syeikh yang meminta saya menziarahi seseorang di Malaysia ini.

“Anta kena ziarah orang ini sebelum dia meninggal” Kata Habib Abdullah bin Syihab kepada saya ketika saya menziarahinya di kediamannya di Tarim, Hadramaut.

Sepulangnya saya ke Malaysia, saya berusaha mencari lelaki yang disebutkan oleh Habib Abdullah bin Syibah ini.

Hinggalah saya bertemu dengannya dirumahnya. Rumah yang usang, buruk dan sangat daif. Tetapi, masyaAllah, rumahnya penuh dengan tetamu dari berbagai Negara. Ketika saya sampai, terdapat tetamu dari German dan Singapura.

Dengan muka yang tenang dan bercahaya, dia meraikan kedatangan saya.

Begitulah, orang yang berilmu dan berakhlak, diceruk mana pun akan dicari orang, untuk berkongsi manfaat ilmunya.

Kalau peminat makanan akan mencari restoran di mana sahaja ia berada, peminat ilmu, akan mencari siapa sahaja ilmuan untuk berkongsi.

Yang penting bukannya ziarah orang lain pada kita, yang penting, apabila kita berilmu, kita dapat berkongsi dan ilmu yang kita kongsikan pada orang lain inilah, salah satu amalan yang Nabi saw anjurkan kerana ia merupakan amalan yang kekal pahalanya walaupun kita sudah tiada lagi di dunia ini.

Seperti restoran terpencil ini, tetapi penuh dan meriah, begitulah juga orang berilmu, akan sentiasa meriah dengan amalan dan pengajian mereka.

Bercita-citalah untuk memiliki ilmu yang dapat dimanfaatkan bersama. Kerana perkongsian itu, semakin mencambahkan.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

29 Disember 09 jam 3.00 pagi

IMG_3275

Jalan masuk yang membelah kawasan sawit

IMG_3276

KLCC dari botol minyak masak

IMG_3277

Walaupun diceruk, tapi dicari

IMG_3281

Begitulah juga manusia, jika berilmu dan berakhlak, pasti akan dicari orang untuk berkongsi

2 comments:

Anonymous said...

Assalamu'alaikum Ust.

Boleh saya tahu siapa orang yg disebut Habib itu ?

Jazak Allahu

Anonymous said...

rasanya org itu ialah Habib Ali di batu Pahat ...tapi dah meninggal tahun ni .al fatihah

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...