Friday, December 4, 2009

Diari 134 – Catatan Perjalanan Mekah - Madinah

3 Desember 09, jam 6.00 pagi, saya telah berada di hadapan Kaabah untuk menyempurnakan tawaf wida’. Pada hari ini, saya dan rombongan akan meninggalkan kota Mekah untuk ke kota Madinah.

Pagi ini di kawasan tawaf, terlalu ramai orang, lebih ramai dari ketika tawaf haji tempohari. Kebanyakkan mereka yang ada mula membuat tawaf wida’. Ada juga yang membuat tawaf umrah.

Pusingan tawaf sebanyak tujuh kali berjalan menurut alirannya. Yang menjadikan ia agak tegang apabila ada di antara jemaah yang berjalan dari arah bertentangan. Ada mereka yang telah tamat tawaf merentas orang ramai dari tengah dan ada yang sembahyang di hadapan Multazam.

Pagi ini, sampai pusingan keempat, tiba-tiba aliran perjalanan terhenti, rupanya ada seorang yang tiba-tiba rebah. Dia diangkat meninggalkan kawasan tawaf di hadapan Kaabah ini, mungkin pengsan atau meninggal, wallahualam, saya tak tahu. Walaupun ada di antara jemaah mengatakan dia telah meninggal, saya tak dapat pastikan.

Habis tawaf saya memerhatikan jam ditangan. Ia menunjukkan pukul 7.45 pagi. Ini bermakna, hampir dua jam untuk menyempurnakan keseluruhan tujuh pusingan ini.

Saya terus pulang ke apartment dan jam 10.00 pagi bas kami datang dan kami mula bergerak ke Madinah.

Kami singgah di Maktab 100 untuk menguruskan passport dan kemudian meneruskan perjalanan. Agak lama juga menunggu di sini.

Bas tidak berjalan dengan laju. Di kanan dan kiri penuh denga kenderaan. Kami singgah untuk makan tengah hari jam 2.30 petang di Wadi Sattarah.

Di Wadi Sattarah, Haji Idrus mengajak kami makan ikan. Ia ikan segar seperti ikan Talapia. Seekor berharga 20 SR dihidangkan bersama nasi, bawang mentah dan juga lada segar.

Kebanyakkan ahli rombongan saya memakannya.

“Maklumlah ustaz, lama tak jumpa ikan ni” kata salah seorang dari mereka.

Kami meneruskan perjalanan. Sampai ke sempadan Madinah, sekali lagi kami semua singgah di tempat pemeriksaan. Hampir dua jam di sini.

Masuk ke Madinah, kami membaca doa dan selawat pada junjuang besar Nabi saw. Betul-betul di hadapan kami ialah bulan mengambang 16 Zulhijjah. Sangat cantik disulamkan dengan awan-awan yang sekali sekala menutupinya.

Semua bersemangat melaungkan selawat. Pemandu bas yang berasal dari Mesir ini juga turut melaungkan selawat. Kami sampai di hotel Maher Palace hampir jam 1 pagi.

Perjalanan pada waktu haji memang begini, semuanya lama dan berbagai prosedur perlu diikuti.

Namun, walaupun ia menempuh berbagai kesukaran, itulah perjalanan haji. Kisah-kisah kesusahan inilah yang menjadi kenangan manis dan menjadi perbualan mulut antara jemaah.

Bila balik nanti, sebulan tak habis menceritakan pengalaman masing-masing pada saudara mara dan sahabat taulan.

Inilah jejak yang pernah dilalui oleh seluruh umat Islam, selagi mana dia dijemput oleh Allah untuk menjadi tetamunya, selagi itulah mereka akan menempuh pengalaman yang seakan sama. Yang membezakan ialah, bagaimana mereka melayani segala pengalaman pahit itu. Sama ada ingin marah-marah atau sabar penuh ketenangan.

Semoga semuanya dirahmati Allah, amin…

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Maher Palace Madinah al-Munawwarah

Jumaat 4 Disember 09 jam 2.45 petang

“One Muslim” tawaf ada musim haji ini memang dipenuhi dengan jemaah dari seluruh dunia

Timbunan kerusi roda yang disediakan untuk kegunaan jemaah bertawaf dan saie

IMG_1658

Bas kami untuk ke Madinah

IMG_1639

Perkuburan Ma’la di Mekah

IMG_1667 

Beberapa kali terpaksa berhenti untuk pengurusan pemeriksaan dokumen

IMG_1630

Memeriksa siapa yang tiada di bas

IMG_1678

Prosedur pemeriksaan hingga berjam-jam lamanya

IMG_1656

Haji Idrus dari Pahang

 IMG_1680

Bulan mengambang 16 menghiasi pemandangan di Madinah      

1 comment:

Anonymous said...

Salam Ustaz

Jangan lupa sampaikan salam saya buat Rasulullah s.a.w, ahli keluarga serta sahabat baginda sekalian. Shukran Ustaz

Mohamad Abdullah

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...