Friday, December 25, 2009

Universiti Kehidupan 132 – Rancanglah Amal Seperti Orang Merancang Untuk Berniaga

“Ustaz, untuk mewar-warkan kebaikan ni, kita kena susun secara sistematik” kata En. Abd Azizi Atan, Head, Public Sector Payment Solution Payment Systems Maybank pada saya.

Hari ini, Khamis 24 Disember 09, jam 10 pagi, saya telah bermesyuarat dengan pegawai Maybank di Menara Maybank Kuala Lumpur mengenai sistem pemberian sumbangan dan derma yang akan dibangunkan bersama di antara Yayasan al-Ijabah dan Maybank.

Untuk tahun hadapan, mana-mana orang yang ingin bersama-sama berbakti bersama al-Ijabah, akan lebih mudah berbuat demikian apabila sahabat dari Maybank ini, sama-sama mahu membantu membangunkan sistem sumbangan dan derma melalui Auto Debit, Maybank2U dan juga melalui ATM.

“Setakat ini, banyak pertubuhan orang bukan Islam yang buat, pertubuhan orang Islam tidak banyak membangunkan system derma secara online dan sistematik” kata En. Razali Jurjani dari Bahagian yang sama, Maybank.

“Kadang-kala saya sedih juga ustaz, tengok orang yang mengutip derma di tepi jalan, orang kita nak menderma, tapi kadang-kala kurang yakin dengan pendekatan demikian, jadi, kalau kita bangunkan betul-betul dengan cara sistematik, maka orang akan lebih yakin dan lebih mudah. Waktu malam pun dia boleh online dan menderma” kata Puan Sharifah Hanum dari bahagian Business Development Payment Syetems kumpulan Maybank.

Saya merenung mereka dan saya teringatkan teringatkan firman Allah swt di dalam surah al-saff ayat 10-11 yang bermaksud :-

10. Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?

11. (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Seorang sahabat r.a bertanyakan kepada Rasullullah mengenai amalan yang paling dicintai Allah, maka turunlah ayat ini (Tafsir al-Azim li Ibn Kathir)

Uthman bin Mathum bertanyakan pada Nabi mengenai perniagaan yang paling dicintai Allah, maka turunlah ayat ini, Allah juga menyatakan tentang perkara ini di dalam surah at-Taubah ayat 111 (tafsir at-Tabari).

Kenapa Allah mengibaratkan menyelamatkan diri dari azab yang pedih sebagai sebuah perniagaan?

Ini kerana, seorang yang ingin berniaga, sudah tentu kena ada minat, kena ada ilmu, kena ada perancangan, kena bersungguh-sungguh, kena sistematik, kena telus dan jujur, kena tabah dan jangan putus asa.

Di ibaratkan menyelamatkan diri dari api neraka seperti perniagaan kerana, untuk selamat dari api neraka, sudah tentu juga kena ada minat, kena ada ilmu, kena ada perancangan, kena bersungguh-sungguh, kena sistematik, kena telus dan jujur, kena tabah dan jangan putus asa.

Jadi, beriman pada Allah dan Rasulnya serta berjihad perlu ada kesungguhan, perancangan, kena ada ilmu, kena sistematik, jangan putus asa dan kena lebih hebat dari kita menjaga dan merancang perniagaan.

Bermula dengan ibadah solat, kena ada ilmu dan kesungguhan, kena ada perancangan waktu, perancangan membina masjid dan sebagainya.

Hinggalah dalam konteks membina rumah kebajikan, kena ada perancangan yang baik, pengurusan yang baik, sistem yang baik dan aturan yang baik.

Dalam konteks pembangunan dana juga memerlukan perancangan yang baik, sistematik dan meyakinkan.

Jadi, beramal tanpa perancangan seperti kita berniaga tanpa perancangan. Hujungnya, amalan itu kurang sempurna atau gagal mendapat keredhaan Allah.

Katakan orang sembahyang tanpa perancangan. Tak ambil wudhuk, tak ikhlas, tak tahu arah kiblat, baju bernajis tidak diganti, maka amalan itu boleh tertolak.

Orang bersedekah tanpa perancangan, jadilah sedekah yang diberi terasa banyak, akan terjadi ungkit mengungkit, tuduh menuduh dan menyakiti hati penerima.

Membuat rumah kebajikan tanpa perancangan. Maka akan terjadi nanti ungkit mengungkit, fitnah memfitnah, kata orang itu tak amanah, ini tidak amanah, tuduh menuduh dan sebagainya.

Akhirnya, berlakulah kegagalan di dalam usaha di dunia dan kegagalan di dalam mengekalkan pahala di dalam beramal.

Sesungguhnya, Islam mengajar kita untuk sentiasa berdisiplin di dalam hidup ini. Dan apabila disebut mengenai kehidupan, maka kita akan membicarakan mengenai kehidupan di dunia dan di akhirat. Jadi, apabila disebut mengenai perancangan hidup, maka sudah tentu ia termasuk di dalam perancangan hidup di dunia dan perancangan hidup di akhirat.

Semoga, kita terus merancang di dalam hidup ini, agar selamat kita di dunia, selamat kita di akhirat.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

25 Disember 09 jam 6.00 petang

IMG_3229

Bersama pegawai Maybank, – dari kiri gambar, saya En. Razali, En. Abd Aziz dan Puan Sharifah Hanum

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...