Wednesday, December 2, 2009

Diari 131 - Titisan Air Mata Tawaf

Jemaah Malaysia mula bertolak ke Arafah sedari hari Rabu 25 November 09, sehari lebih awal dari tarikh wukuf.

Perancangan begini memang baik kerana tabung haji menguruskan lebih 20 ribu jemaah. Jika mahu bertolak pada hari wukuf, ditakuti ada yang tak sampai nanti.

Pada tengah hari Rabu ini pula, hujan turun dengan lebatnya di kota Mekah, jadi banyak jemaah kita yang basah kuyup di Arafah.

Saya dan rombongan bertolak ke padang Arafah pada pagi Khamis 26 November 09 jam 7.35 pagi. Kami sampai ke Arafah lebih kurang jam 11.30 pagi. Jalan jem teruk menyebabkan perjalanan yang lebih kurang 14 KM ini memakan masa hingga 4 jam.

Di padang Arafah, kami mendapat khemah. Ia telah ditinggalkan kerana banjir pada hari semalam. Kami memasuki khemah tersebut dan menjemur carpet yang telah basah kerana hujan kelmarin.

Jemaah perempuan ditempatkan di dalam khemah manakala jemaah lelaki lebih senang duduk di luar khemah berbumbungkan langit.

Matahari semakin meninggi tetapi hari ini, tidaklah panas. Walaupun sinarnya agak garang, tapi kami tidak merasa terlalu panas.

Di padang Arafah, tidak ada program yang tertentu melainkan membaca al-Quran, berdoa dan bermunajat pada Allah swt.

Kami berada di padang Arafah sehinggalah masuknya waktu Maghrib. Setelah solat berjemaah, kami terus ke bas yang disewa khas untuk membawa kami.

Saya melihat, setelah maghrib, khemah telah mula dibersihkan. Ada pekerja khas yang telah mula mengemas khemah yang ada.

Kami meniggalkan Arafah jam 6.10 petang. Di sini, waktu Maghribn jam 5.30 petang.

Saya terus ke bahagian belakang bas.

“Inilah pertama kali dalam hidup saya, naik bas tak pakai baju” kata En. Nizam dari UiTM sambil mengelap peluh dengan kain Ihramnya.

Kami singah di Muzdalifah untuk mengutip batu bagi membuat lontaran jamrah. Perjalanan dari tempat perkhemahan kami di Arafah ke Mina hanyalah 4 KM, tapi ia mengambil masa hampir lapan jam. Kami sampai di Muzdalifah jam 2.15 pagi. Bas yang banyak dan penuh sesak di jalan menjadikan jalan ke Muzdalifah jem teruk. Puluhan ribu bas semuanya mahu meninggalkan padang Arafah.

Bagi kebanyakkan jemaah haji di Malaysia, mereka semua akan terus ke Mina. Saya dan rombongan akan ke Mekah dahulu untuk membuat tawaf dan Saie haji.

Selesai di Muzdalifah, saya dan rombongan terus kembali ke Mekah. Kami hanya sampai di Mekah jam 4.15 pagi. Lebih kurang sejam sebelum masuk waktu subuh.

Di Mekah kala ini, penuh sesak dengan orang. Kalau lima tahun dahulu, semua orang akan ke Mina, tapi sekarang kebanyakkan mereka telah memilih untuk balik ke Mekah terus, barulah kemudian ke Mina.

Saya terus ke Masjid al-Haram dan di kawasan tawaf telah penuh dengan orang ramai. Saya memulakan tawaf, penuh sesak, berhimpit,di tolak, disiku dan sebagainya. Hingga kadang-kala kaki ini tidak dapat menjejaki lantai, hanya bergerak dengan bersandar pada badan-badan jemaah dari seluruh dunia ini.

Baru dua pusingan azan telah berkumandang. Tidak lama selepas itu terus Iqamat dan imam terus memulakan takbir al-Ihram.

Ketika solat dimulakan, secara automatik semua yang ada berhenti tawaf dan ingin membentuk saf untuk bersolat. Ketika ini keadaan menjadi sangat gawat. Berhimpit-himpit, beberapa orang ada yang menjerit dan sesak nafas. Salah seorang jemaah saya mencuit saya:-

“Ustaz, saya nak keluarlah” tak ada tempat ni”

“Jangan, laluan keluar dah tak ada, semua dah jadi saf orang solat, nanti lagi ditolak dan terhimpir” jawab saya.

Subuh pagi ini, imam membaca penuh syahdu.

Selepas membaca fatihah seluruh masjid al-Haram bersama ratusan ribu jemaah melaungkan amin. Saya betul-betul berada di hadapan kaabah ketika ini.

Imam mula membaca surah. Ia melaungkan ayat dari surah al-Baqarah mengenai haji bermula dari ayat 197. Saya yang dapat memahami bacaan ini tak dapat menahan air mata terutamanya hingga ke sampai ayat 200-203, surah al-Baqarah ini:-

200. Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berdzikirlah dengan menyebut Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut nenek moyangmu, atau (bahkan) berdzikirlah lebih banyak dari itu. Maka di antara manusia ada orang yang bendo'a: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.

201. Dan di antara mereka ada orang yang bendo'a: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka"

202. Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.

203. Dan berdzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang berbilang. Barangsiapa yang ingin cepat berangkat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan barangsiapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari itu), maka tidak ada dosa pula baginya, bagi orang yang bertakwa. Dan bertakwalah kepada Allah, dan ketahuilah, bahwa kamu akan dikumpulkan kepada-Nya

Apa yang saya ingatkan ialah kerdilnya diri ini di hadapan Allah. Walaupun penuh kelemahan tetapi tetap dijemput untuk menjadi tetamunya.

Adakah dengan jemputan ini semakin menjadikan diri ini bertaqwa.

Air mata terus menitis hingga ke selesai solat. Ketika ini teringat anak-anak Yatim di Malaysia yang ada bersama saya, anak-anak murid yang ada, saudara dari HIV, dan seluruh sahabat yang berjuang bersama, yang sama-sama menerima sindiran dan hinaan dari sesetangah golongan.

Terasa banyak perkara yang sepatutnya dibuat untuk agama ini tetapi kemampuan yang ada agak terhad.

Tapi, satu sahaja yang mampu dibisikkan kala ini :-

“Ya Allah, aku telah cuba membela agamamu semampu yang dapat, tapi aku tahu, banyak kekurangan sebenarnya, bantulah aku ya Allah”.

Saya mengesat air mata di kelopak, dengan rasa hina di hadapan Allah, saya memohon agar segala apa yang diusahakan di Malaysia kala ini mendapat keredhaanNya dan terus mendapat bantuan dariNya.

Semoga ia menjadi amal jariah yang dapat ditinggalkan ketika dijemput menghadapNya nanti.

Sesungguhnya, saya memohon agar Allah terus membimbing diri ini dan siapa sahaja yang bersama, ke arah keredhaannya. Tanpa bimbinganmu Ya Allah, kami tidak akan mampu untuk mengharungi hidup ini dengan baik. Jangan tinggalakan kami keseorangan tanpa rahmat dan bimbinganMu, amin.., ya Rabbal Alamin…

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

(Catatan Kenangan Haji 1430/ 2009)

Syi’ab Ali Mekah al-Mukarramah

2 Disember 09 jam 9.15 pagi

Setelah tawaf dan saie haji, jemaah boleh bertahallul dan membuka ihram

Kedai mencukur rambut yang penuh sesak

ramai yang bercukur sendiri di halaman masjid al-Haram

3 comments:

محمد حذوان بن حميدان said...

(^_^)

Hunny said...

Salam Ustaz,

So touching.. Minta didoakan kami semua diberi kekuatan mempertahankan agama Islam dan umat Islam..

syazri afiq said...

sy ada bersama ustaz ketika tawaf itu . sedih labila teringat kan balik ustaz

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...