Thursday, December 3, 2009

Diari 132 – “Berkembangnya Ilmu Jika Diberikan”

Selama berada di Mekah ini, saya beberapa kali dijemput untuk menyampaikan beberapa kuliah untuk para jemaah Haji.

Ini tidak bermakna tidak ada orang yang lebih berilmu. Tetapi, menemui orang-orang alim yang tawadhuk menyejukkan hati kerana mereka tidak janggal menghadiri majlis ilmu orang lain.

Kita boleh belajar bagaimana orang berilmu yang tawadhuk tidak akan menjadi rendah dengan tawadhuknya itu, bak kata pepatah melayu:-

“Tidak hilang bisa ular yang menyusur di bawah akar”.

Ada juga para ustaz yang hanya menyampaikan kuliah dan jika orang lain menyampaikan, dia tidak akan dengar malahan mengata sana dan sini:-

“ustaz itu tak betul, ustaz ini tak betul”

Akhirnya menimbulkan rasa menyampah antara jemaah Haji.

Saya mempelajari satu prinsip hidup,

“Jika mahu orang menyampah pada kita, maka hendaklah kita bercakap besar, merendahkan orang lain, dan mengatakan kita sahaja betul”

Itu satu cara yang paling mujarab untuk mengundang kebencian orang lain. Tetapi, jika kita mahu dipandang tinggi oleh orang lain, maka bersikaplah rendah hati, tawadhuk di atas kelebihan dan sentiasa meraikan orang lain.

Ia bertepatan dengan sabda Junjungan besar Nabi saw:-

“Barangsiapa yang tawadhuk kerana Allah satu darjat, maka Allah akan mengangkatnya satu darjat sehinggalah ia akan tergolong di dalam orang-orang yang tinggi darjatnya”

(Hadis Riwayat Ahmad di dalam kitab Baqi Musnad al-Mukathirin, musnad Abi Said al-Khudri r.a)

Hari-hari sebelum wukuf, saya sempat bersama krew untuk RTM, membuat pengambaran di Menara al-Manar, bangunan lama yang berada di hadapan Zam-Zam Tower. Tepatnya selepas solat Isyak 23 November 09 lebih kurang jam 10 malam.

Menara al-Manar adalah bagunan khas yang diperuntukkan untuk VIP bagi kerajaan Arab Saudi. Ia tidak disewakan kepada sesiapa.

Kami dijemput oleh pihak pentadbiran kawalan Jemaah Haji Saudi Arabia dan bahagian “Hadiah al-Haj wal Muktamar al-Khairiah” untuk bertemu di Hilton, kemudian, mereka membawa kami pergi ke tingkat 14 menara al-Manar. Dari sini, kelihatan masjid al-Haram. Pemandangan sangat cantik.

Kelihatan para jemaah sedang lalu lalang sekitar Masjid al-Haram.

Ketika ingin memulakan pengambaran, pegawai yang mengiringi kami menutup satu tingkap yang menghala ke istana Raja Saudi yang berada di sebelah masjid al-Haram.

“Kamu boleh ambil mana-mana sudut, tapi tidak dibenarkan mengambil ke arah istana ye” pesannya kepada kami.

Kesempatan yang ada, kami gunakan untuk mengupas falasah haji dan apa yang berkaitan dengannya.

Bilik tempat kami mengambil gambar sangat cantik, terdapat dua kerusi mengurut badan yang menghadap ke arah masjid al-haram.

Barangkali, para VIP yang dijemput duduk di sini boleh bersembahyang di bilik ini kemudian terus duduk untuk mengurut badan.

“Mmm, best ke?” bisik hati saya.

Selesai, kami dijamu dengan kurma dan air di bilik tetamu.

Barangkali, Allah telah memberi peluang kepada saya untuk berada di menara al-Manar ini. Lama saya melihat bagunan ini dan ingin untuk berada di situ. Walaupun ia tidak sehebat Zam-Zam Tower, tapi sudah tentu ia mempunyai keistimewaan tersendiri. Rupanya, yang membawa saya ke sana bukannya harta, tetapi sedikit ilmu yang Allah berikan.

Apapun, saya teringat kata-kata Saidina Ali mengenai ilmu dan harta :-

“Harta akan berkurangan jika kamu memberinya sedangkan ilmu akan semakin bertambah ketika kamu memberinya”

(Musaid Muhamad al-Dauyis. Ajmal al-Aqwal, Dar Tauyiq li al-Nasr wa al-Tauzik, Riyadh, hal 11)

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Syi’ab Ali Mekah al-Mukarramah

2 Disember 09 jam 11.55 malam

Kuliah bersama jemaah haji

Ia tidak bermakna, yang mengikuti kuliah kita orang yang tidak alim

IMG_1353

Dari Hilton

IMG_1362

Pertemuan di pejabat Hadiah al-Haj wal Muktamar al-Khairiah di Hilton.

IMG_1381

Jurugambar siap untuk memulakan tugas

IMG_1390

Prosedur biasa, memeriksa perakam suara

IMG_1399

Kenangan bersama krew dan ahli jemaah yang bersama saya malam ini.

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...