Tuesday, December 22, 2009

al-Ijabah 39 – Kompleks Yayasan al-Ijabah

Biasanya, tiada masa terhadap sesuatu itu sebenarnya tidak mengutamakan perkara itu. Dan ramai yang tidak mengutamakan akhirat, sebab itu, ramai yang tidak ada masa membuat amalan akhirat

-al-Fakir Ila Rabbihi Penulis-

Isnin, 21 Disember 09, jam 2.00 petang, saya menghadiri mesyuarat pembangunan kompleks Yayasan al-Ijabah.

Jam 8.00 malam pula, saya bersama warga HIV Darul Ukhwah bagi membincangkan mengenai perjalanan rumah ini.

Berbalik pada mesyuarat pembangunan komples Yayasan al-Ijabah ini.

Dua tahun lepas, saya dan sahabat-sahabat dari al-Ijabah telah mengusahakan sebuah tanah seluas 2 ekar terletak di Puchong. Dengan izin Allah, pada Ramadhan tahun ini, kita dapat membayar kesemua harga tanah bernilai RM 500 ribu ini.

“Dari mana sumber dapat bayar tu ustaz” ramai yang bertanya sedemikian.

“Dari Allah” jawab saya ringkas.

Walaupun jawapan itu nampaknya agak seakan kesufian, tetapi itulah hakikatnya. Saya yang memang mengelakkan dari mewar-warkan untuk mengutip derma, agak berat juga untuk menghabiskan baki hutang tanah yang diusahakan, tetapi, setiap kali di hadapan Kaabah di Mekah, itulah yang saya minta pada Allah:-

“Ya Allah, bagilah kemampuan untuk membayar tanah untuk Yayasan al-Ijabah ini”

Sejurus selepas balik dari Umrah, Ramadhan lepas, Alhamdulillah, semua baki tanah dapat diselesaikan dengan izin Allah. Terima kasih pada semua yang bersama-sama di dalam usaha ini.

Kita membawa pendekatan:-

“Jom bersama-sama” bukannya “bantulah kami”, ini kerana, kita telah memulakan, mari bersama-sama menyempurnakan.

Kalau pendekatan “bantulah kami”, ramai orang akan berkata:-

“Asal ustaz aje derma, asal derma aje ustaz”, sambil mencebekkan bibir pada sang Ustaz yang sedang mewar-warkan rayuan derma.

Kalau ustaz, tiba-tiba beli jubah baru, nanti akan ada yang berkata:-

“hah, tu beli jubah dengan duit dermalah tu”…

Kalau ustaz, tiba-tiba tukar kereta dari Nissan buruk kepada Proton dengan harga promosi, nanti akan ada yang berkata :-

“hah, tu tukar kereta pakai duit dermalah tu”…

Kalau ustaz ada sedikit kelebihan, mula fitnah menjalar kepadanya. Itulah yang banyak terjadi apabila sang Ustaz apabila membawa pendekatan “bantulah kami”.

Dan orang yang selalu mengata, biasanya orang yang tidak menyumbang apa-apa.

Bersama al-Ijabah, kita usahakan semaksima yang kita mampu, yang nak sama-sama, silakan, tetapi, kita tidak akan membawa pendekatan, “tolonglah, bantulah kami”…

Kita buat kek, buat air mineral, buat perniagaan itu dan ini, satu yang kita mahu,

“jom sama-sama beramal, kita telah memulakan tapaknya”

Alhamdulillah, pada hari ini, kita telah menubuhkan jawatankuasa pembangunan kompleks Yayasan al-Ijabah yang akan menelan belanja sebanyak 15 juta. Bangunan setinggi 4 tingkat ini akan memuatkan 500 orang anak yatim dan bakinya ialah anak orang susah.

Dan mudah-mudahan, cita-cita ingin membina Universiti Wakaf, universiti percuma bagi umat Islam di Malaysia ini, akan bermula dari sini, amin…

“Mahalnya ustaz, dari mana dana tu”…

Jawapan yang sama akan saya berikan ketika ditanya mengenai pembayaran tanah di Puchong,

“InsyaAllah, dari Allah”…

Allah akan datangkan dari sumber yang kita tidak tahu, tapi, kewajipan bagi kita mengusahakan dahulu tapaknya. Jika kita mengadu dengan Allah, Dia sentiasa prihatin terhadap segala hajat kita.

Jika kita mengadu dengan manusia, belum tentu manusia boleh menolong, malahan banyak terjadi, mereka pula menjadi ejen menyebarkan keaiban kita kepada orang lain.

Secara jujurnya, saya tidak pernah risau kompleks ini tidak terbangun. Yang saya risaukan ialah, ketika saya, sidang pembaca dan orang-orang yang bersama menyumbang di dalam pembangunan kompleks ini, sudah tidak ada di dunia ini, apakah ia terus berjalan sebagai amal jariah.

Kerana banyak terjadi, apabila generasi pertamanya sudah tiada, maka sekolah agama tersebut tutup, pondok itu dan ini tutup, institusi itu tutup, kerana ia menjadi rebutan orang yang inginkan nama.

Sebab itu dari awal, saya telah berpesan kepada anak-anak al-Ijabah ini, kompleks ini hanya akan diwariskan kepada anak-anak yang pernah belajar bersama kita di dalam ijabah ini. Ini kerana, biarlah mereka yang pernah bersama kita, yang pernah melihat senyum dan tangis kita, yang meneruskan jariah ini.

Kehebatan sebuah perjuangan bukanlah pada besarnya, kehebatan sebuah perjuangan ialah apabila ia tetap bersambung walaupun generasi pertama sudah tiada lagi.

Semoga Allah yang maha pemurah, memberi kita semua kemampuan untuk membuat amal jariah yang kekal pahalanya. Dan jika Allah memberi kita kemampuan untuk itu, kita bermohon pada Allah agar Dia juga memberikan kepada kita keikhlasan di dalam membuat amalan ini.

Semoga ia menjadi bekalan kita di akhirat.

“Mengharap Kepulangan Yang Diredai”

Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights 22 Disember 09

Jam 2.30 pagi,

Sepulang dari Mesyuarat Bahagian Pembangunan Ekonomi Yayasan al-Ijabah di Kuala Lumpur.

IMG_3059

Mesyuarat Pembangunan Kompleks Yayasan al-Ijabah di Puchong

IMG_3061

Semoga dibantu dan dimudahkan Allah, amin…

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...