Thursday, December 31, 2009

Diari 140 – “Sebenarnya, cabarannya sangat besar….”

Dua minggu akhir ini, selain penuh menguruskan kemasukkan anak-anak yatim dan pelajar MASSA, program saya dipadatkan lagi dengan mesyuarat-mesyuarat bagi penyusunan rumah HIV Darul Ukhwah.

Selain perkara dalaman yang macam-macam nak diuruskan, ia juga membabitkan agensi lain seperti Majlis AIDS, MAIS dan hospital.

Selasa 29 Disember 09 jam 9.00 malam, saya menghadiri pertemuan ukhwah bersama beberapa jemaah muslimah dari Subang Jaya dan Taman Dato’ Haron. Mereka yang ingin bersama-sama membantu di dalam perjalanan rumah HIV Darul Ukhwah bersama-sama memberikan buah fikiran mengenai program yang boleh dibuat bagi membantu saudara-saudara seIslam kita di dalam rumah HIV Darul Ukhwah ini.

Bagi saya, semua orang yang ingin bersama-sama, saya mengalu-alukan.

Rumah perlindungan HIV Darul Ukhwah milik semua orang Islam yang ingin bersama-sama menjaga saudara seIslam kita, asalkan sahaja benih cita-cita itu disemai bersama keikhlasan.

Saya tidak nafikan, ujian membuat rumah kebajikan HIV ini 10 kali ganda lebih hebat dari mengendalikan rumah anak-anak yatim.

Saya menghadapi ujian dari berbagai sudut dan kadang-kala, terasa amat berat untuk dipikul.

Mungkin kerana kita menyelamatkan pesakit ini dari gereja menyebabkan syaitan ingin sangat melihat program ini gagal dan terkubur.

Hanya satu sahaja yang ku pinta ya Allah,

Jika dengan menjalankan rumah HIV ini menyebabkan aku semakin jauh darimu, aku pohon, agar Engkau keluarkan aku dari usaha ini dalam waktu dekat ini.

Tetapi, jika ia semakin menjadikan aku rapat kepadaMu, kekalkanlah aku di dalam usaha ini dengan bantuanMu.

Sesungguhnya, bukan usaha ini yang penting, tetapi keredhaanMu lah aku buru ya Allah.

Hari ini, 30 Disember 09, hari penghabisan seorang penjaga di Darul Ukhwah, Ustaz Fatoni bekhidmat di sana. Dari luahan hatinya, beliau sudah habis tabah menghadapi karenah saudara HIV kita.

Saya sangat faham perasaannya dan cukup berterima kasih di atas khidmatnya. Kalaulah, gelaran wali milik manusia dan ia boleh dicadangkan, sudah tentu saya ingin mencadangkan namanya.

Saya mendoakan yang terbaik untuk semua. Dan semoga 2010 menjadi tahun yang lebih baik untuk seluruh penghuni HIV Darul Ukhwah, seluruh ahli jawatan kuasanya dan semua yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak.

Semoga Allah terus meredhai kita, amin…

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

31 Disember 09 jam

- Sepulang dari program Senai Johor-

IMG_3597

Bersama jemaah Muslimah dari Subang Jaya

IMG_3611 

Semoga yang terbaik untuk semua, amin…

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...