Thursday, December 3, 2009

Diari 133 – Kenangan di Mina

27 November 09, selepas wukuf kami terus ke Muzdalifah dan kembali ke Mekah untuk menunaikan tawaf dan saie haji.

Di Mekah ketika ini, telah ramai orang. Kebanyakkannya jemaah dari Pakistan. Pagi ini, solat hari raya Idul Adha dibuat tepat jam tujuh pagi.

Selepas solat, khatib membaca khutbah, agak panjang khutbahnya. Saya tidak dapat mendengar dengan baik khutbah pagi ini kerana suara yang agak bergaung di tempat Saie.

Ketika khatib membaca khutbah, saya meneruskan saie haji yang tinggal lagi empat perjalanan antara Safa dan Marwa.

Selesai semua, saya dan jemaah kembali ke apartment kami. Tengah hari, kami turun untuk solat Jumaat.

Selepas Asar, semua ahli jemaah berkumpul dan kami mencari bas untuk ke Mina. Ketika bas sampai, semua jemaah terkejut melihat keadaan bas.

“Ustaz, kenapa bas ni tak ada bumbung” tanya salah seorang ahli jemaah.

“Ooo, ini bas orang syiah, kita kan tak boleh menutup kepala ketika ihram, jadi bagi pandangan mereka, naik bas pun tak boleh ada yang berbumbung” jelas saya.

Semua ahli rombongan yang bersama saya begitu teruja menaiki bas tanpa bumbung itu.

Kami Kami sampai ke Mina hampir waktu maghrib. Di kanan kiri jalan ke Jamrah, penuh khemah-khemah yang di dirikan oleh para Jemaah haji dari seluruh dunia ini walaupun terdapat papan tanda tidak dibenarkan membina khemah.

Untuk masuk ke kawasan Jamrah, para jemaah tidak dibenarkan membawa beg besar. Yang membawa beg besar akan ditahan oleh polis yang menjaga kawasan jamrah ini. Beg kena ditinggalkan di satu kawasan.

Ketika ini, kawasan jamrah tidak seperti dulu. Tiang untuk melontar telah dibesarkan seperti sebuah dinding. Perjalanan juga hanya satu hala. Setakat tahun 1430/ 2009 ini, ia mempunyai lima tingkat.

Kami memilih untuk membuat lontaran dari tingkat lima. Di sini tidak ramai orang. Kebanyakkan mereka melontar dari tingkat satu.

Setelah melontar Jamrah Aqabah ini, kami semua mencari Maktab 100, khemah bagi jemaah yang bersama saya ditempatkan.

Satu perkara yang agak rumit ialah mencari khemah. Ini kerana, susunan khemah di Mina ini tidak konsisten nombornya. Kejap no. 101 tiba-tiba nombor 80 lebih.

Hampir empat jam berjalan mencari maktab 100 dan semua jemaah sudah keletihan.

Salah seorang ahli jemaah yang bersama saya mencuit tangan saya:-

“Ustaz, barangkali, ini kifarah dosa (pengampunan dosa) untuk kita ye ustaz” katanya.

Saya hanya tersenyum.

Setelah lama berjalan, sekali lagi dia mencuit tangan saya sambil berkata:-

“Ustaz, bila kifarah kita nak habis ni?”

Yang lain hanya tergelak melihat gelagat yang seorang ini.

Akhirnya, kami bertemu dengan maktab 100. Seorang petugas menunjukkan khemah kami.

Maktab ialah satu kawasan penempatan bagi jemaah Haji yang bermalam di Mina. Ia khemah-khemah yang setiap satunya boleh memuatkan 20 orang.

Terdapat ribuan khemah di sini.

Saya memerhatikan sekeliling. Memang hebat perhimpunan 3 juta jemaah haji setiap tahun ini. Ia seakan-akan satu penempatan tentera.

Kawasan Afrika ada tempatnya, kawasan Asia Tenggara ada kawasan khasnya. Di setiap maktab, terdapat satu unit untuk memasak. Dengan kuali dan periuk besar, mereka memasak untuk penghuni maktab.

Sekali sekala kelihatan rombongan-rombongan dengan panji-panji maktab dan panji kumpulan, berjalan menuju ke jamrah untuk membuat lontaran.

Semuanya berjalan dengan satu tujuan, melontar syaitan di tiga jamrah. Istilah baru sekarang ialah jamrah sughra, jamrah usto dan jamrah kubra. Setiap satu jamrah perlu dilontar dengan tujuh biji batu.

Setelah mereka melontar, mereka akan kembali semula ke khemah masing-masing dan akan kembali lagi untuk keesokkan harinya bagi melontar lagi.

Tidak ada apa-apa program rasmi di Mina ini melainkan membaca al-Quran, berzikir dan bertazkirah. Lebihnya hanya berbual-bual mengeratkan lagi ukhwah antara ahli jemaah.

Semakin mengenali antara satu sama lain, semakin ukhwah terbentuk dan terbina. Semoga ia terus menjadi kesatuan di antara muslim.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Syi’ab Ali Mekah al-Mukarramah

3 Disember 09 jam 1.15 pagi

Semua jemaah teruja menaiki bas tanpa bumbung ini

Jalan ke Mina

Ada yang hanya berjalan kaki sahaja ke Mina

Kawasan lapang yang tidak jauh dari kawasan melontar

Kami baru membuat panji-panji di sini.

Ahli jemaah

Di larang membina khemah

Khemah yang dibina

Gelagat ahli jemaah

Kawasan turun untuk ke khemah diri kawasan melontar

tangga yang membawa kami ke tingkat satu di bawah

Kedai cukur rambut di kawasan Mina

Kipas di dalam terowongan di Mina

Terowong ke kawasan perkhemahan Asia Tenggara

 

Maktab 100, 4 jam kami mencarinya

di dalam khemah di Maktab

Khemah di Mina

Kawasan khemah di Mina

2 comments:

Hunny said...

Salam Ustaz,

Dari jauh dah nampak berkilat2.. Hehehe.. Fotostat muka si fateh bila tak ada rambut..:D.
Anyway, tahniah la dapat ke menara al manar. Semoga terus dipermudahkan dan dipertingkatkan ilmu.

mohdhaslanr said...

Salam ya ustaz
dari arafah, bukan ke rasulullah akan ke mina utk membaling jamrah kemudian beliau menyembelih binatang korban selepas itu baru beliau kembali ke mekah utk menunaikan tawaf -- tetapi saya lihat ustaz terus ke mekah utk tawaf selepas itu baru ke mina

boleh ustaz komen tak?

wallahu a'lam

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...