Wednesday, November 18, 2009

Sekilas 30 – Kenapa Manhaj Wahabi Ditentang?

Aduhai, secara peribadi, kasihan saya melihat ratusan soalan yang diajukan pada saya mengenai, peningnya mereka melihat perbalahan mengenai wahabi ini.

Secara ringkas, saya ingin membahaskan mengenai wahabi dan manhajnya (caranya). Harap artikel ini dibaca hingga ke penghujung.

1. Manhaj Wahabi adalah satu manhaj yang menggunakan al-Quran dan Hadis semata-mata.

2. Doktrin ini nampaknya bagus tetapi ia akan mengetepikan pandangan ulama-ulama muktabar. Sebab itu akhirnya, doktrin ini akan menolak mazhab.

3. Menolak mazhab bagi orang betul-betul berilmu yang faham ayat hukum dan hadis hukum, tahu menggunakannya akan menyebabkan seseorang itu terselamat dari tafsiran yang salah.

4. Jika seseorang itu orang awam, yang baru berjinak-jinak dengan agama, akan mendedahkannya tersalah di dalam tafsiran sesuatu hukum. Kadang-kala, baca ayat hukum pun dari buku-buku terjemahan.

5. Jika dia menolak tafsiran hukum dari Imam-Imam besar seperti Imam al-Syafie, dan dia pula berminat dengan tafsiran hukum ustaz barunya ini, akhirnya, dia akan kurang berminat dengan pandangan ulama muktabar, dan akan menggunakan pandangan ustaz itu sendiri.

6. Ia akan mewujudkan mazhab baru apabila, ustaz baru itu sebagai pegangan mazhabnya. Doktrin ini akan menolak tafsiran dari ulama muktabar dan akan memakai tafsiran sendiri atau tafsiran ustaz itu sendiri di dalam sesuatu hukum.

7. Kenapa tok-tok guru kita sangat menentang doktrin ini.

8. Ini kerana, jika manhaj ini dibuat di dalam membahaskan ilmu fekah, hukum hakam, tidak mengapa. Tetapi, apabila manhaj ini dipakai untuk membahaskan soal akidah, ia sangat merbahaya.

9. Ia akan mendedahkan orang awam mentafsir mengenai ketuhanan dengan sendiri.

10. Kadang-kala, ia menjadikan pentafsir itu menjisimkan Allah.

11. Kita berbalik dengan perbahasan wahabi ini. Untuk mengetahui sejarah dan sebagainya, pembaca boleh menelusuri blog-blog yang ada. Saya hanya mahu membahaskan satu sudut yang jarang dibahaskan iaitu manhaj (cara) wahabi di dalam mengeluarkan hukum.

12. Manhaj semata-mata memakai al-Quran dan hadis ini yang didoktirnkan. Tetapi, tidak semua orang yang menggunakan kaedah ini adalah orang wahabi. Ada beberapa golongan orang di dalam hal ini.

1. Peminat manhaj (cara) wahabi. Dia bukan wahabi, tetapi peminat manhaj (cara).

Biasanya, ada tiga jenis golongan.

i. Golongan pertama ialah seseroang yang apabila dia belajar agama sampai satu tahap yang tinggi dan sudah faham perjalanan bagaimana sesuatu hukum itu dikeluarkan maka dia akan berminat dengan manhaj (cara) ini.  Kebiasaannya, orang yang menjadi peminat manhaj wahabi ialah orang yang bukan dari aliran syariah (hukum hakam). Biasanya dari aliran-aliran lain (Bahasa Arab/ Usuluddin). Tetapi saya tidak menafikan, ada juga sesetengah golongan syariah yang meminati manhaj ini, tetapi bilangannya tidak seramai dari bidang lainnya.

ii. Orang awam yang baru ingin memahami Islam dan berguru dengan cara ini. Ia akan menjadi orang ikut-ikut juga. Orang macam ini, di mana pun, sama. Dia akan mengikut guru yang mengajarnya. Kebetulan, jika guru yang mengajarnya itu berhemah, maka dia akan menjadi orang berhemah. Jika guru itu jenis yang suka memperlecehkan orang lain, maka dia pasti akan terikut dengan cara ini.

iii. golongan ketiga adalah golonga yang kecewa dengan ustaz-ustaz lama ini, yang membawa pendekatan kudus, tidak boleh ditegur, suka marah-marah dan sebagainya. Kita tidak nafikan terdapat kelemahan ustaz-ustaz lama yang kadang-kala pandangannya itu ada kepentingan dan sebagainya. Apabila golongan ketiga ini bertemu dengan ustaz yang boleh membidas, dia tidak jumpa pula ustaz yang betul-betul membimbingnya, maka dia akan menjadi peminat manhaj ini. Biasanya golongan ini terdiri dari orang terpelajar yang bukan dari aliran agama. Ustaz lama pula tidak membuka ruang untuk bertanya, jadi, perasaan ingin tahu itu meluap-luap dan apabila bertemu dengan peminat manhaj wahabi ini, dia akan berminat.

Golongan pertama boleh terselamat dari kesesatan kerana ia faham dan telah tahu banyak hukum hakam ini. Tetapi golongan kedua dan ketiga, boleh terdedah dengan kesalahan di dalam mentafsir al-Quran dan Hadis. Ini kerana, kaedah yang dibawa ialah, rujuk pada al-Quran dan hadis semata-mata.

Golongan kedua dan ketiga, jika tidak belajar secara sistematik, akan menjadi orang yang tidak berpegang dengan mazhab muktabar, tetapi nanti akan menjadi orang yang berpegang dengan mazhab ustaz yang menjadi rujukannya itu. Ustaz itu yang akan menjadi rujukan hukum baginya.

2. Pemegang Wahabi.

Kenapa ulama-ulama kita ada sampai ada yang berfatwa   mengatakan wahabi bukan dari ahli sunnah wal Jemaah. Ia terjadi apabila doktrin tidak berminat dengan tafsiran ulama muktabar dibawa kepada bab akidah.

Bagi manhaj Wahabi yang hanya menggunakan al-Quran dah hadis, apabila membahaskan ayat-ayat mengenai zat Allah, ia akan menjadikan seseorang itu sampai tahap menjisimkan Allah. Mengatakan Allah itu ada tangan seperti tangan kita, Allah itu duduk seperti duduk kita.

Ia yang membezakannya dengan akidah Ahli Sunnah. Ahli Sunnah tidak menjisimkan Allah. Kerana di dalam Ahli Sunnah, ada pengajian yang menekankan bahawa Allah tidak sama dengan makhluk.

**(bagi kita yang kurang mahir dalam bahasa Arab, boleh rujuk buku I’tikad Ahlisunnah Wal-Jamaah oleh K.H Sirajuddin Abbas)

Di dalam bab akidah, ahli Sunnah telah menggariskan beberapa dasar. Antaranya ialah Allah itu tidak akan sama dengan makhluk

(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan- pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat (surah al-Syura ayat 11)

Jadi, peperangan yang sebenar antara wahabi dengan ahli sunnah bukan sebab qunut atau talkin. Itu hanya bab hukum hakam. Ia apabila sudah mula membahaskan bab akidah.

Kenapa Kategori Pertama (Peminat Wahabi) Juga Ditentang Di Malaysia?

Kerana, rakyat di Malaysia tidak ramai yang mengetahui apa itu wahabi. Jadi, jika manhaj wahabi disebarkan, ditakuti, bermula dengan hukum hakam, ia akan mula membahaskan bab akidah.

Ini kerana, peminat wahabi akan mendoktrinkan agar kita berpegang dengan al-Quran dan hadis semata-mata. Tidak perlu memakai pandangan ulama dalam mazhab dan sebagainya. Persoalannya, jika seorang itu tidak faham apa makna hadis itu, tafsiran siapa yang akan dipakai?

Sudah tentu dia akan merujuk kepada tafisiran sendiri atau ustaznya itu sahaja.

Maka, oleh kerana tafsiran ustaz itu sendiri yang dipakai, ia akan mendedahkan kepada bahaya. Jika ustaz itu memang ilmunya tinggi, tidak menjadi masalah, tetapi, jika ustaz yang mendoktrinkan manhaj (cara) wahabi ini, ilmunya tidak berapa tinggi, ia akan mendedahkan kepadanya kesilapan tafsiran hukum yang kemudian akan diikuti oleh muridnya.

Apa jalan keluarnya ?

Jalan keluarnya, belajar agama perlu berguru dengan manhaj (cara) yang betul. Kita belajar agama bukan untuk tunjuk kita alim. Kita belajar kerana nak menghampirkan diri pada Allah. Bergurulah. Jangan ketepikan tafsiran ulama muktabar di dalam sesuatu hukum.

Belajar dengan manhaj (cara) ahli Sunnah iaitu, hukum itu dikeluarkan dengan melihat kepada al-Quran, hadis, Ijmak ulama dan kias.

Selepas itu, kaedah lain seperti masalih al-Mursalah (melihat kebaikan), sad al-Zara’ik (menghalang keburukan) dan sebagainya.

Jika semata-mata al-Quran dan hadis, ditakuti terdedah dengan kesilapan di dalam mentafsir sesebuah hukum.

Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa :-

Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (surah an-Nisa ayat 59)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa:-

Dan tidak ada selain ulama’ yang tahu bagaimana untuk balik pada al-Kitab dan al-Sunnah, maka berdasarkan perkara ini, bertanya sesuatu persoalan pada ulama’ itu hukumnya wajib.

Harapan saya

Saya mengharapkan, semua orang di Malaysia ini akan semakin matang di dalam pengajian agama. Tahu al-Quran dan hadis dengan manhaj (cara) yang betul.

Bagi para ustaz, ajar orang ramai juga merujuk kepada kitab-kitab. Buka orang awam untuk perbahasan ilmu.

Bagi ustaz yang gemar pada perbincangan, jaga adab di dalam berbincang dan adab di dalam berselisah pendapat. Jangan pula kita mengatakan, kita sahaja betul dan orang lain salah. Selagi mana ada dalil dan hujjah kita perlu berlapang dada dengan perselisihan ini.

Jangan sampai perselisihan dengan emosi menyebabkan masyarakat lagi huru hara.

Bagi masyarakat, perbalahan antara ulama di Malaysia sekarang ini adalah ibarat perbalahan ibu bapa. Jika kita tidak boleh mengikuti dengan baik, bersabar dan tenang.

Ketika tengah panas, semua akan saling salah menyalahkan. Doakan yang terbaik untuk semua. Yang penting, akhirnya, biar semua kembali kepada Allah dengan mencari  keredhaannya.

Semoga Allah terus memelihara kita semua dari perkara yang mengundang kemurkaannya, amin…

‘Sekilas Itu Realiti, Realiti Itu Kehidupan”

Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

18 November 09 jam 10.00 pagi

** dedikasi kepada semua guruku terutama Allahyarham Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah Kelantan dan  Allahyarham Tuan Guru Haji Abdullah Mohd Said – al-Fatihah-

29 comments:

HN said...

Terima kasih d atas penjelasan yg cukup hebat dan terang ini. Kita doalah jgn sampai ada yg tersesat oleh pembawa hukum-hakam sesuka hati ini. Moga nurani dan jasmani kita sentiasa dipelihara ALLAH dari kemurkaanNYA.

Anonymous said...

tahniah ustaz di atas penjelasan panjang lebar ini...harap masyarakat luar sana faham tindakan yg telah diambil untuk mengetasi masalah ini.

Anonymous said...

Kalaulah ustaz2 yg tgh 'berperang' tu semua memiliki peribadi mcm Ustaz Amin (i.e. menjaga adab) maka aman umat Islam di M'sia ni..

Shahabudeen Jalil said...

Salam,

Boleh tak ustaz bagi di mana2 yang dikatakan Wahabi menyatakan Tuhan itu berjisim. Saya sekadar nak tahu dari sumber asal.

Kalau mereka betul2 percaya macam itu, tentulah ada penulisan atau ucapan mereka tu.

Saya rasa dengan adanya itu baru kita ada asas untuk percaya.

terima kasih

Anonymous said...

salam ustaz,

terima kasih atas penjelasan ini.
tulisan ini tidaklah terlalu panjang berbanding dgn apa yg terkandung dalamnya.
moga ramai yg bermanfaat darinya.

Anonymous said...

Salam Ustaz

Penjelasan yang sgt baik. InsyaAllah Allah akan bantu para ulama' dan siapa sahaja yang berusaha mempertahankan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan khazanah para ulama dan ulama muktabar. Ahlus Sunnah di ajar dgn adab dalam disiplin ilmu sedangkan wahabi tidak mengamalkan disiplin ilmu. Kpd mrk yg berfahaman wahabi, sila beramal untuk diri sendiri shj atau anda tinggal dinegeri mcm perlis yg menerima faham wahabi. Jgn gangu gugat umat Islam dinegeri dgn ilmu pelik-pelik kome. Say No to Wahabi~!

amirs87 said...

Alhamdulillah... satu penjelasan yang komprehensif dan amat dinanti-nantikan. Selaras dengan khutbah jumaat Masjid Wilayah minggu lepas http://www.islam.gov.my/khutbahjakim/upload/pdf/Menjaga%20Adab%20Ketika%20Perselisihan%20Pendapat.pdf Beginilah yang terbaik dan saya amat bersetuju agar perbahasan antara ulama' tidak dibuat di platform atau media awam kerana belum tentu yang mengikuti dapat merumus apa yang betul atau salah. Semoga penjelasan yang dibuat oleh Ustaz dapat dimanfaatkan oleh semua pihak dan Allah swt jua yang akan membalas dengan ganjaran yang lebih baik buat Ustaz. BarakAllahu fikum. Semoga ibadah Haji dan ziarah Ustaz dipermudahkan dan dirahmati Allah swt.

Hunny said...

Salam ustaz,

Very good entry.Syabas! Harap2 ramai yang dapat memahami bahaya Wahabi ini.

Anonymous said...

reply utk Shahabudeen Jalil


Berkaitan Tajsim, kiranya sdr boleh baca kitab Arab, buka buku "Majmu'at al-Tauhid karangan Muhammad Abdul Wahhab (MAW). Di dalamnya juga ada isu MAW takfirkan sebahagian ulama. Jg ada isu MAW nafikan dan syirikkan Nabi Adam AS.

Lihat juga Tanbihat fi Rad 'ala Man TawwalaalSifat karangan Ibn Baz (Bekas Mufti Saudi).

Sekiranya sdr tak boleh baca kitab Arab, rujuk buku Kiyai Sirajuddin Abbas Rahimahullah, ulama terkenal indonesia dalam bukunya Aqidah Ahlussunnah wal Jamaah

Shahabudeen Jalil said...

saya tak faham arab. Boleh saudara terangkan isinya di sini ?

Anonymous said...

Antara bukti golongan wahhabi salafi ini menghukum sesat kepada ulamak Islam dan jemaah Islam yang boleh dibaca secara langsung dari laman web :

1. Menghukum sesat kepada Prof Dr Yusof al Qardhawi, Imam Hassan al Banna, dan Jemaah Ikhwan Muslimin :

http://salafy.or.id/salafy.php?menu=detil&id_artikel=630

2. Menghukum sesat kepada Imam Hasan al Banna :

http://www.salafy.or.id/salafy.php?menu=detil&id_artikel=375

3. Menghukum sesat kepada golongan Asya’iroh :

http://www.salafy.or.id/salafy.php?menu=detil&id_artikel=715

Anonymous said...

Perlu diketahui bahawa Wahhabiy bukan sekadar fahaman yang berkisar kepada isu-isu furuk. Sebenarnya ia berteraskan kepada isu-isu akidah. Pengasasnya, iaitu Muhammad Abdul Wahhab sendiri dikatakan begitu fanatic kepada doktrin akidah kontroversi sebahagian ulamak al-Hanabilah al-Mujassimah. (Ibn Humaid al-Hambali al-Najdi, al-Suhub al-Wabilah, hlm 275).

Manakala Imam Ibn al-Jauzi al-Hanbali (bukan Ibn Qayyim) sendiri menjelaskan bahawa terdapat tokoh ulamak Hanabilah al-Mujassimah yang mengotorkan mazhab Imam Ahmad bin Hanbal dengan akidah tajsim. Iaitu fahaman akidah yang mengkhayalkan Allah seperti makhluk. (Ibn Jauzi al-Hanbali, Daf’u Syubah al-Tasybih bi Akhaffi Tanzih, Cetakan Dar Imam al-Nawawi, 1991, hlm 98-101) Fahaman Muhammad Abdul Wahhab sebenarnya melalui beberapa peringkat :

1) Peringkat permulaan bersama ayahnya(dibendung)

2) Peringkat selepas kewafatan ayahnya (permulaan dakwah)

3) Peringkat dakwah fahaman Wahhabiy (dakwah secara aktif)

4) Peringkat politik Wahhabiy (bersama Uthman bin Muammar + Muhammad bin Suud)

5) Peringkat gerakan ketenteraan Wahhabiy (berperang dgn Kerajaan Uthmaniyyah bersama Muhammad bin Suud – eksport fahaman ke seluruh dunia dengan jenama pelbagai)

6) Peringkat pengikut Wahhabiy. (kontemporari)

Anonymous said...

Di sesetengah negara, fahaman Wahhabiy membentuk gerakan bersenjata. Lihatlah apa yang tersirat disebalik gerakan Lasykar E Janghavi, Sipah E Sahabat di Pakistan. Lihat pula gerakan dan sayap kumpulan al-Qaedah di Iraq dan Yaman. Lihat juga kumpulan al-Shabab di Somalia yang membid’ahkan golongan wanita yang memakai coli. Jangan lupa juga untuk menyiasat latarbelakang Jamaah Islamiah (JI) pimpinan Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Basyir dari Indonesia. Mengapa gerakan ini menerbitkan fahaman radikal : demokrasi sistem kafir, umat islam yang tunduk kepada demokrasi juga dikira kafir, pilihanraya bid’ah, menghalakan darah orang kafir, berjihad hanya dengan senjata dan lain-lain.

Anonymous said...

salam ustaz...
terima kasih atas info yg sangat berguna pada saya yg masih samar tentang ini...saya ada seorang rakan ustaz...dia kata dia ni belajar tarikat dan makrifat...dia kata kalau nak diceritakan allah ini didalam badan kita...sebab allah di dalam diri kita...lagi satu rakan yg lain berkata..sekiranya MAti kelak roh dan jasad dah terpisah..dia cakap mcm mana nak rasa seksa kubur kalo dah terpisah.... saya agak keliru disitu..adakah mereka ini golongan tarikat dan makrifat atau wahabi??

sebab ustaz pon telah menjelaskan mereka wahabi suka menjisim kan allah..semoga ustaz boleh terangkan pada saya...

Anonymous said...

Tq, ustaz.

ahmad said...

Salam, ustaz dalam buku Ahlisunnah Wal-Jamaah oleh K.H Sirajuddin Abbas, quote buku ibn batuta. Mcm tak,reliable ja sumber tu. http://rasuldahri.tripod.com/articles/kka1_satu.htm

Anonymous said...

Yang tak reliable adalah buku Rasul Dahri. Terang lagi bersuluh buku Rasul Dahri banyak diharamkan oleh JAKIM.

Dan banyak berdusta menggunakan kalam Imam Asy Syafie.

Dan pembawaannya bertentangan dengan Ahlus Sunnah Wal jama'ah Di Malaysia.

Salafi

Unknown said...

Saya orang yang awam, yang mau bertanya kepada Ustadz

1. apakah ada jaminan bahwa seorang yang mengaku ulama atau diakui sebagai ulama akan masuk surga?

2. siapa yang berhak menetukan seorang sesat atau tidak?

3. Bagaimanakah penafsiran Al Quran dan Hadist yang salah dan yang benar itu?

3. Apakah penafsiran ulama dijamin 100% Benar? dan menjamin seseorang akan masuk surga atau di Ridhoi oleh Allah?

4. Siapa yang maha tahu tentang urusan Makhluk, siapa yang maha bijaksana tentang urusan Makhluk?

Note:
Berhentilah wahai umat muslim saling membagun opini yang akan mengakibatkan fitnah yang bermuara ke saling mengkafirkan sesama umat muslim.

Ikhlaslah dalam berkeyakinan dan jadikanlah kitab Alquran dan Sunnah sebagai Hujah dalam menjalankan Syariat Agama dan minta Ampunlah kepada yang Maha Kuasa jika kita salah dalam memahami suatu Hukum karena itulah sisi kemanusiaan kita (Makhluk yang lemah) dan yang saya yakini Allah itu maha bijaksana yang mana kebijaksanaannya tidak bisa dibandingkan dengan kebijaksanaan Makhluk dan sangat Maha Tahu apa yang diniatkan Hambanya.

Wassalam

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

link terbaru utk rujukan tuduhan mereka terhadap Prof Dr Yusof Al Qardhawi

http://salafy.or.id/?s=al+qardhawi

Anonymous said...

Wahabi ni mudah, baca Quran dan Hadis sahih sahaja, tak semestinya berguru, tak faham Arab, boleh baca terjemahan, takder kitab pakai google pun boleh belajar agama, boleh jadi alim agama juga, tafsiran ikut sendiri sendiri. Bg yg baru nak kenal agama mmg menarik, bagus sgt, Quran Hadis sahih, Quran Hadis sahih. Hujah apa yg lbh baik dr Quran dan Hadis sahih ?
Bg saya dua salah besarnya ;
1. Bila mrk menafsir ayat ayat dan Hadis secara literal semata mata, hinggakan sampai ke tahap menyifati Allah swt dgn sifat sifat makhluk yg kemudian mrk nafikan pula kesamaannya ; sbg contoh, duduk tp tak sama dgn duduk makhluk, bertgn tp tgn yg tak sama dgn tgn makhluk, spt juga berwajah tp wajah yg tak sama dgn wajah makhluk. Bg golongan salaf sebenar ayat ayat dan hadis yg sptnya merujuk kpd Zat Allah swt ditutup terus pintu tafsiran dan takwilan, kerana ada larangan Rasullullah saw utk memikirkanNya apatah lg membahas atau memperkatakanNya. Bg golongan khalaf pula, utk menyelamatkan org awam dr membayangkan dan menggambar gambarkan Allah swt dgn sifat sifat berjisim dan berjirim makhluk, ayat ayat dan hadis berkenaan dianggap hanyalah ungkapan ungkapan kiasan dan tidak merujuk Zat Allah swt sebenarnya, kerana jika merujuk Zat, mengapa pula ada larangan Rasullullah saw utk memikirkanNya.
2. Bila mrk bermudah mudah menuduh sesat golongan tak sependapat, membid'ah dan menuduh sesat amalan amalan yg tiada larangan secara jelas melakukannya, bahkan sesetgh amalan yg bnyk kebaikannya pun dibid'ah sesatkan, hingga ke tahap menuduh syirik, kafir.

Anonymous said...

masih takut wahabi.... takut salafi.... uhuh cuba nta buat kajian sikit dan berlapang dada......

Anonymous said...

Diriwayatkan oleh Abul Hasan Al Hikari dan Al Hafiz Abu Muhammad Al Maqdisi bahawa Imam as-Syafi’i berkata:
“Sunnah yang aku anut –seperti yang dianut oleh Sufyan, Malik dan selain keduanya- adalah pengakuan dengan syahadat bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan bahawasanya Muhammad adalah utusan Allah, dan sesungguhnya Allah di atas Arasy-Nya di langit-Nya. Dia dekat dengan makhluk-Nya sebagaimana Dia kehendaki, dan turun ke langit dunia sebagaimana Dia kehendaki..”

Anonymous said...

Imam Abu Yusuf memetik perkataan daripada Imam Abu Hanifah (wafat 150 H) seorang tabi’n yang menjelaskan tidak wajar kepada seseorang mengatakan tentang sesuatu yang berkaitan dengan zat Allah tetapi hendaklah menyifatkannya berdasarkan sifat yang disifatkan oleh Allah sendiri terhadap diri-Nya dan tidak sesekali menggunakan akal fikiran sendiri dalam menghadapinya. Kebanyakkan ulama salaf tidak suka membincangkan nas-nas sifat. Mereka beriman dan menyerahkan makna sifat itu kepada Allah tanpa mempersoalkan keadaan zahir ayat tersebut. Al-Khalal melaporkan dengan sanad yang sahih, Imam Ahmad (wafat 241 H) pernah ditanya perihal nas-nas sifat tuhan, beliau menjawab:
“Kita beriman dan mempercayainya tetapi tidak dalam cara dan makna tertentu.”

Anonymous said...

mam Malik menyatakan menyoal mengenai maknanya (istawa) adalah bid’ah. Beliau juga menyatakan:
“Jauhilah diri daripada terlibat dengan perkara bid’ah. Beliau ditanya: Wahai Abu Abdillah apa itu bid’ah?. Jawab beliau: Ahli bid’ah ialah orang-orang yang berbicara tentang nama-nama, sifat, kalam, ilmu dan qudrat Allah dan tidak mendiamkan diri daripada berbicara tentangnya sebagaimana didiamkan diri oleh para sahabat dan tabi’in.”

Anonymous said...

Haji Abdul Hadi Awang menyatakan sikap ulama generasi salaf dalam menghadapi nas-nas sifat ini. Ulama salaf beriman terhadap nas-nas sifat yang menyebut tentang mata, tangan, muka, bersemayam dan lain-lain lafaz. Mereka menyerahkan maksudnya kepada Allah (tafwidh)

Unknown said...

anymose adalah orang pemecah belah umat dilain pihak dia membelah dilain pihak dia menghujat......hati2 dengan orang bagaiman kita bisa mengambil omongan orang yg tidak berpendirian seperti ini

KL TRANSPORT said...

MasyaAllah...ustaz sudah beri sumber untuk dirujuk dan dibaca lagi mahu diterang panjang lebar disini...kenapa ada sikap seperti ini...maaf cakap nak cari kebenaran dan menuntut ilmu perlu usaha dan mujahadah...bukan tunggu suap jek saudara. Maaf ye sebab sikap seperti ni perlu dibuang jauh2. Carilah guru yang bertauliah dan hadirlah majlis2 ilmu. Semoga beroleh segala ilmu yg bermanfaat.

KL TRANSPORT said...

MasyaAllah...ustaz sudah beri sumber untuk dirujuk dan dibaca lagi mahu diterang panjang lebar disini...kenapa ada sikap seperti ini...maaf cakap nak cari kebenaran dan menuntut ilmu perlu usaha dan mujahadah...bukan tunggu suap jek saudara. Maaf ye sebab sikap seperti ni perlu dibuang jauh2. Carilah guru yang bertauliah dan hadirlah majlis2 ilmu. Semoga beroleh segala ilmu yg bermanfaat.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...