Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi, hadis no 3253, Rasullullah bersabda:-
“Tidaklah sesat sesuatu kaum itu setelah mereka mendapat hidayah melainkan orang yang suka bertengkar”
Bagi kita yang bercita-cita menghampirkan diri pada Allah ini, apa yang paling kita risaukan di dalam sesuatu pertengkaran bukanlah menang atau kalah, tetapi hilangnya hidayah setelah Allah berikan pada kita
Di dalam sesuatu perbalahan, ini yang selalu terjadi.
Kalau dalam rumah tangga, perbalahan di antara suami dan isteri, jika dibawa ke Mahkamah Syariah, banyak perkara yang disebut oleh isteri adalah perkara yang diperbesarkan, begitu juga suami.
Nanti, bermula dengan membicarakan masalah rumah tangga menjadi saling salah menyalah, saling tuduh menuduh dan saling melontarkan pembohongan.
Jika antara kawan-kawan sepejabat, jika berlaku mana-mana pertengkaran, masing-masing nanti akan mempertahankan diri hingga kadang-kala ada perkataan yang kurang tepat yang dilafazkan.
Ataupun mungkin perkataan yang berhelah, iaitu mengatakan sesuatu yang mudah disalah ertikan oleh orang yang mendengar.
Di dalam AJK surau atau masjid pun sama, apabila berlaku perbalahan, maka nanti ada yang saling kata mengata dan melontarkan fakta yang tidak betul.
Di dalam perselisihan di antara Dr. Asri dan Persatuan Guaman Syariah Malaysia (PGSM), telah wujud unsur seperti ini.
Dr. Mohd. Asri mendakwa PGSM telah memohon maaf kepadanya menerusi satu musyawarah yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom baru-baru ini.
PGSM bagaimanapun menafikan membuat permohonan maaf itu kepada Mohd. Asri dan turut menafikan laporan kononnya persatuan itu menarik balik memorandum tersebut
Salah satu pihak mesti ada yang tak betul dan salah satu mesti ada yang berhelah.
Jika kita mendengar satu perselisihan fakta seperti ini, mana satu yang kita mahu percaya?
Di dalam ilmu Qawaid Fiqh, sesuatu itu akan kekal di dalam keadaan asalnya.
Jika seorang isteri mendakwa bahawa dia telah diceraikan oleh suami, si suami itu menafikan, maka perkataan yang akan dipakai adalah dari suami. Ini kerana, pada asalnya perkahwinan adalah wujud.
Jika seorang suami, mengaku telah memberi nafkah kepada isteri, tetapi isteri manafikan nafkah tersebut, maka yang akan dipakai adalah perkataan isteri. Ini kerana, pada asalnya nafkah itu belum diberikan.
Jika di dalam kes Dr. Asri dan PGSM ini, Dr. Asri mengatakan bahawa PGSM telah meminta maaf sedangkan PGSM menafikan, mana satu yang kita nak pakai?
Berbalik pada hadis yang dibacakan di awal artikel ini. Kita risau perbalahan ini sebenarnya tidak membuahkan kebaikan. Malahan semakin memecah belahkan dan semakin banyak fakta-fakta yang keliru dan helah yang diutarakan.
Hasilnya nanti, masing-masing menggunakan hujah agama untuk berhelah.
Cuma, saya yakin satu perkara. Agama ini milik Allah. Lambat laun, kita akan melihat kebenaranya. Yang salah akan di dedahkan sendiri oleh Allah.
Dan perkara yang berlaku ini juga, bukan kebetulan. Telah lama ada yang mendakwa mereka sahaja betul dan orang lain salah. Mungkin, dengan peristiwa ini, akhirnya Allah mahu tunjuk, apa yang betul dan apa yang salah sebenarnya.
Bagi kita, bermohonlah agar Allah tetap memberi petunjuk pada kita dan membimbing kita. Jangan sampai perbalahan ini menyebabkan kita terlepas pandang perkara yang lebih penting.
Di luar sana ada orang yang sedang dikristiankan, ada anak muda yang sedang rosak, ada bapa yang sedang merogol anak, ada orang yang sedang mendera dan menzalimi seseorang.
Apa yang kita buat? Adakah sibuk mempertikaikan mengenai orang memasak bubur pada hari Ayura? Sekali-sekala Allah datangkan orang menegur kita, untuk Allah rasakan juga, bagaimana perasaan kita, jika dipertikaikan oleh orang lain.
Bagi yang menegur pula, jangan jadikan ia sebagai cara membalas dendam di atas individu. Dikhuatiri tidak menimbulkan kebaikan untuk Islam.
Semoga terbaik untuk semua. Semoga perbalahan ini tidak menjadi menghentam individu atau mempertahankan diri atas nama agama.
“Sekilas Itu Realiti, Realiti Itu Kehidupan”
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdulllah
Putra Heights
9 November 09 jam 9.00 pagi
7 comments:
Salam,
Tulisan macam nie baru mantap. Bukan kebudak-budakan macam yang sebelum ini. Tahniah.
as-salam,,
setuju ustaz,
'Di luar sana ada orang yang sedang dikristiankan, ada anak muda yang sedang rosak, ada bapa yang sedang merogol anak, ada orang yang sedang mendera dan menzalimi seseorang'
luar sana, kita asyik tuduh menuduh, tapi luar sana lagi berat?? rasanya semua orang tau,perlu hati-hati jika berbalah melibatkan media massa. Hati hati..bukan bererti salah lapur.
Salam,
Nak jemput ustaz ceramah di Masjid Jamek Bandar Baru Uda Johor Bahru pada 18 atau 19 atau 20 Disember 2009 ini selepas solat Isyak sempena Maal Hijrah. Kalau ustaz boleh salah satu tarikh tu, harap dapat hubungi no tel 019-7777662 (Hj Fathil, Pengerusi Perhubungan Awam, MJBBU) utk perbincangan lanjut.
Maaf, kami nak hubungi ustaz tapi tiada nombor telefon ustaz. Persetujuan ustaz sgt2 kami hargai.
Assalam'mualaikum...
pada saya org melayu skrg lebih berani dari dulu dlm memberi pendapat, dan biasanya akan bertelagah selepas tu. masing2 cuba nak menang dan takmau mengalah. kdg2 bahasa yg digunakan kasar,maki hamun, dan sumpah seranah.
org melayu lebih suka bertelagah sesama sendiri drp memperbaiki apa yg udah jauh rosak. padahal org melayu beragama islam dan wajib mengikut ajaran al-quran dan hadis. itu yg patut diamati. tapi org melayu lebih sibuk dgn mazhab apa yg dipegang, parti politik apa yg di turut, dan lebih suka dengar gosip kt tv, akhbar, dan internet.
saya tgk sekeliling, saya pernah berjemaah kt surau dikawasan yg penuh dgn org melayu, tapi jemaah saya ialah org bangla, dan indon. imam, bilal dan saya saja org melayu. rupanya org melayu sibuk meniaga kuih kt tepi jalan, sibuk dgn bini shopping kt giant dan pasar malam, sibuk berborak kt kedai kopi,sibuk betulkan kereta, sibuk kt rumah layan internet, sibuk dgn dunia yg sentiasa sibuk. kalau satu hari nanti agama islam kt malaysia rosak. jgn salahkan org lain atau bangsa dan agama lain. agama islam kt malaysia akan jadi rosak kalau org melayu lupa nak amalkan dan lupa nak patuhi perintah-Nya. maaf ya ustaz kalo panjang bangat.
Ust,
Kalau jadi buat ceramah kat BBU, hrp war2kan ek...
Nak pegi coz sy pon duduk JB
Say no to shaitan. :-)
bapak komen tu ade sajee nak komen.
Post a Comment