Wednesday, November 18, 2009

Sekilas 31 – “Ya Allah.. Semoga Yang Terbaik…”

Alhamdulillah, hari ini 18 November 09, saya bersama ahli Rombongan seramai 33 orang bertolak ke Mekah. Kami transit di Bangkok, kemudian akan ke Jordan sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah.

Sejak beberapa hari, sebelum bertolak, saya agak sibuk mengendalikan urusan ibadah korban yang dirancang di tiga Negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Kemboja. Dengan pertolongan dari Allah, Alhamdulillah, semua urusan telah diamanahkan.

Korban di Kemboja diuruskan oleh Ustaz Jazlan, di Indonesia oleh Ustaz Fairuz dan di Malaysia telah diamanahkan oleh beberapa ustaz dengan bilangan keseluruhan hampir 100 ekor.

Semoga semuanya dapat disempurnakan dengan baik dan semoga Allah yang maha pemurah memberi kebaikan kepada sesiapa sahaja yang bersama-sama membuat ibadah korban bagi tahun ini.

Semua ahli rombongan dihantar oleh keluarga masing-masing. Bagi saya, keluarga besar dari berbagai unit semuanya berkumpul di KLIA untuk menyusun kerja-kerja bagi rumah anak yatim al-Ijabah dan Rumah HIV Darul Ukhwah disaat akhir.

Semoga yang ditinggalkan akan dapat menyempurnakan amanah dengan sebaik-baiknya dan terus dibantu Allah.

Bagi soalan pembaca blog, saya minta maaf, ada kesempatan pasti saya akan berkongsi jawapan. Untuk waktu ini, kita tangguhkan seketika insyaAllah.

Salah seorang yang menziarahi saya pada tengah hari ini, ialah salah seorang peguam pemerhati bagi kes Dr. Asri yang telah dibicarakan pagi ini di Mahkamah Rendah Syariah Gombak.

Dari cerita yang dikhabarkan pada saya, saya dapat rasakan secara impatinya bagaimana duduk di dalam mahkamah ini. Semoga Allah berikan kesabaran pada beliau.

Semoga Allah aturkan yang terbaik pada kita dan padanya, memelihara aib kita dan aibnya, serta mengampunkan segala dosa kita dan dosanya. Semoga semua diperbaiki oleh Allah.

Saya mengharapkan, kekeruhan yang terjadi, janganlah dikeruhkan lagi, takut ada yang sedang menunggu untuk menangguk di air yang keruh itu.

Esok, satu lagi program siaran langsung akan diadakan di TV3 yang membariskan Dr. Asri, Dr. Fauzi Deraman dan (Dr) Uthman El-Muhammady.

Secara peribadi, saya bimbang.

Bimbang ia akan lebih mengeruhkan keadaan. Pada saya, jika hendak membahaskan isu khilaf yang besar-besar, medannya ialah seminar-seminar yang dihadiri oleh orang yang setaraf atau yang mampu mengikuti perbahasan ini. Medan TV, radio dan akhbar kurang sesuai.

Janganlah, untuk sensasikan perkara ini di TV, Radio mahupun akhbar, hingga ramai orang lebih keliru dan keliru. Bagaimana nak jawab di hadapan Allah nanti kerana kita mensensasikan perkara yang mengelirukan orang banyak.

Walaupun saya yakin, ketiga-tiga ahli panel ini memang matang di dalam membahaskan sesuatu, dibimbangi, bahasa perbahasan mereka adalah bahasa orang di Istana Kaca, yang hanya dapat didengar, tetapi tidak dapat difahami oleh orang kebanyakkan.

Semoga program esok tidak ada lagi emosi saling memperlekehkan sana dan sini. Agar semua orang dapat mencontohi, “beginilah adab di dalam berselisih pendapat”.

Kalau orang besar agama pun bertelagah tanpa adab, jangan pelik orang awam lebih luar biasa perangainya ketika bertelagah.

Jangan marahkan ahli politik yang memaki sana dan sini.

Percayalah, jika tidak betul-betul dijaga, akhirnya, ia akan menjadi medan memaki peribadi, bukan

mencari kebenaran. Akhirnya nanti akan timbul perkataan:-

“bodoh,

“bahlul”

“sampah”

“bangang”

“syaitan”

“anjing”

Dan seribu perkataan maki hamun atas alasan, “hujah kamu sebenarnya tak betul”.

Ini bukan satu-satunya contoh tunggal di dunia. Telah banyak berlaku dan ia sering berulang.

Kalau ini disaksikan oleh Rasullullah, sudah tentu baginda bersedih dan akan sekali lagi baginda mengingatkan kepada kita bahawa:-

“Memaki orang mukmin itu fasik dan membunuhnya adalah kafir” (hadis riwayat al-Bukhari di dalam kitab al-Iman).

Semoga semua dapat memperbaiki diri. Semoga kita menjadi orang yang sentiasa beruntung seperti firman Allah.

Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan dirinya (surah al-A’la ayat 14)

“Sekilas itu realiti, Realiti itu kehidupan”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Suvarnabhumi Airport, Bangkok Thailand

18 November 09 jam 10.30 malam

IMG_0854

Sahabat dari al-Ijabah

IMG_0870

Selamat Jalan

IMG_0895

Semoga yang terbaik

3 comments:

Anis Hartini Haron said...

Salam.. babai abg amin.. selamat pergi dan balik :)
semoga mendapat haji mambur

Hunny said...

Salam Ustaz,

Selamat pergi dan selamat pulang. Moga dapat haji mabrur. Jangan lupa bacakan doa saya yer:)

twistal said...

salam ustaz,
doakan kesejahteraan kami di m'sia...
semoga selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air.. amin..

:)

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...