Kita biasa melihat seorang ustaz berceramah, berforum, menyampaikan kuliah-kuliah agama di tv, dipentas dan sebagainya. Kadang-kala terpukau dan terbuka mulut melihat sang ustaz menyampaikan patah-patah hikmah yang disulamkan dengan potongan ayat-ayat al-Quran dan hadis.
Kita biasa melihat seorang Dato’ dengan kereta mewahnya, dengan muka yang selalu di herotkan ke bawah, memaparkan muka serius sang pengarah sebuah syarikat gergasi.
Dan kita juga biasa melihat seorang pengusaha restoran, penuh ramah melayan pelanggan, kadang kala, jualannya habis sebelum waktu kebiasaan, memandang rendah pesaing yang mungkin kurang pelanggan.
Keegoan masing-masing terdapat dipentas mereka.
Sang Ustaz, ketika menyapaikan kuliah-kuliahnya, sering memperlekehkan pandangan dari ustaz-ustaz lain, memandang rendah pada si jahil dan agak kasar di dalam menegur.
Sang Dato’ dengan kereta mewahnya, memandang dingin orang susah dan sering menghina orang lain untuk kelihatan mulia.
Sang penjual, sering mengentengkan resipi orang lain dan selalu memperbesarkan mengenai pengalamannya yang puluhan tahun memasak makanan.
Hari ini, sang ustaz, sang dato’ dan sang penjual masing-masing dipakaikan dengan pakaian ihram. Tidak ada lagi kopiah dan serban, tidak ada lagi kot dan tali leher, tidak ada lagi pakaian seragam dengan nama di dada kiri, catering sekian dan sekian.
Sekarang mereka semua adalah tetamu Allah, dengan pakaian ihram. Tidak ada kelebihan antara satu sama lain.
Tidak ada kelonggaran:-
“Oleh kerana kamu ustaz, kamu tawaf hanya tiga pusingan”
Tidak ada keistimewaan:-
“Oleh kerana kamu dato’, kamu saie hanya tiga kali sahaja.
Tidak ada diskaun:-
“Oleh kerana kamu tauke katering, maka kamu tak perlu wudhuk ketika tawaf”
Siapa pun mereka, mereka tetapi dikenakan rukun yang sama, syarat sah yang sama, bilangan yang sama.
Kena sakit kaki ketika tawaf, kena berhempet di hadapan hajar aswad, kena rempuh ketika saie.
Tidak ada keistimewaan pada mereka.
Semuanya sama.
Yang paling mulia ketika ini ialah yang paling bertaqwa. Di dalam al-Quran, Allah menyatakan bahawa :-
Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.
Surah al-Hujurat ayat 13
Inilah falafah ihram ketika haji, semua manusia adalah sama. Hari ini mereka beribadah dengan pakaian tidak berjahit, satu hari nanti, ketika dijemput untuk pulang kepada Allah juga, dengan memakai kafan yang tidak berjahit.
Tinggallah semua sombong, bongkak, pujian manusia yang berbakul, bangga diri yang tinggi. Yang bersama adalah amalan yang diusahakan.
Semoga, semua kita terus memperbaiki diri, agar dirahmati oleh Allah.
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Sa’ab Ali, Mekah al-Mukarramah
22 November 09 jam 9.00 pagi
Ihram, mengajar kita erti merendah hati sesama manusia
No comments:
Post a Comment