Thursday, November 19, 2009

Diari 127 – Catatan Perjalanan Kuala Lumpur - Amman

Hari ini 18 November 09, saya dan semua ahli rombongan yang bersama-sama saya telah berkumpul di lapangan terbang KLIA bermula jam 3.00 petang lagi. InsyaAllah, dengan izinnya, perjalanan ini ialah perjalanan bagi menunaikan ibadah haji.

Jam 3.30, kami telah mula membuat urusan “chek in” semua bagasi.

Rombongan haji kali ini melalui Barakah Travel dan insyaAllah, perjalanan ibadah Haji kali ini dalam dua minggu lebih sahaja.

Kami menaiki penerbangan MAS ke Bangkok. Penerbangan yang sepatutnya dijadualkan bertolak jam 6.00 petang telah tertangguh selama setengah jam.

Saya melihat skrin jadual penerbangan.

MH 780 Bangkok, Gate G8.

Ketika ini, hujan renyai-renyai membasahi KLIA dan sekitarnya. Di dalam pesawat, Saya duduk di kerusi bernombor 27C.

Kapal terbang MAS B-737-800 mula meninggalkan KLIA menuju Bangkok.

Sampai di Bangkok jam 8.35 waktu Malaysia. Tidak ada aktiviti yang menarik di sini. Hanya menunggu penerbangan seterusnya ke Amman Jordan jam 11.30 malam waktu tempatan.

Beberapa jemaah bercerita mengenai kejadian di Airport Bangkok yang menimpa kawan mereka.

“Ustaz, jaga-jaga nak beli barang dekat sini terutama yang penjaga kedai kata ada promosi beli satu free satu” kata salah seorang jemaah.

“Kenapa?” tanya saya.

“Kadang kala, pekerja tu memandai, sebenarnya tak ada pun macam tu. Waktu keluar, kawan saya tu kena tahan sebab dituduh mencuri. Reset pun tak ada, memang kenalah” tambahnya lagi.

“Isk, kalau betul cerita tu, memang kesian betullah, orang nak menipu ni, macam-macam cara ada” komen saya mengenai kisah ini.

Saya kemudian membuka computer, melihat talian internet jika ada. Komputer saya mengesan talian internet tetapi ia memerlukan kata laluan.

Saya pergi ke tempat pertanyaan dan bertanyakan dari mana saya boleh mendapatkan kata laluan.

Pegawai bertugas meminta passport saya dan menulis sesuatu. Kemudian dia memberikan saya sekeping kertas seperti sampul surat kecil. Saya mengoyakkan sampul itu dan di dalamnya ada kata laluan untuk menggunakan internet.

“Hanya 15 minit sahaja” kata pegawai bertugas.

“Kalau habis boleh saya minta lagi” tanya saya.

“Tak boleh, satu penumpang satu kata laluan sahaja” jawabnya ringkas.

“Kenapa sekejap sangat?” tanya saya ingin tahu.

“Kami nak jaga, takut ada orang hantar apa-apa maklumat secara salah di sisi undang-undang” jawabnya.

Saya hanya menganggukkan kepala tanda setuju atas alasan itu.

Jam 11.30 malam 18 November 09, semua penumpang telah berada di dalam kapal Royal Jordanian A310-300. Perjalanan dari Bangkok ke Amman Jordan akan mengambil masa 9 jam.

Kapal telah mula meninggalkan lapangan terbang Bangkok. Ini kali pertama dalam hidup saya menaiki Royal Jordanian.

Pakaian anak kapal seakan-akan pakaian pramugara/i pada penerbangan Air Asia. Semuanya berwarna merah.

Semua penumpang hanya berehat sahaja. Ini kerana perjalanan waktu ini memang waktu tidur di Malaysia.

Penumpang dikejutkan sejam setengah sebelum kapal mendarat di Queen Alia International Airport. Kami dihidangkan dengan sarapan. Di luar masih gelap walaupun jam di Malaysia sudah menunjukkan hampir 7 pagi.

Selepas sarapan, kapal kami digemparkan dengan seorang penumpang yang ditangkap kerana merokok di dalam tandas. Agaknya, ini kali pertama dia menaiki kapal dan tidak tahu undang-undang bahawa penerbangan awam adalah sebuah perbangan yang bebas rokok.

Mukanya merah-merah di marah oleh ketua pramugara. Semua mata tertumpu padanya. Malu sungguh gayanya.

Kapal mula mendarat jam 3.45 pagi waktu tempatan. Beza masa antara Malaysia dan Jordan ketika ini ialah 5 jam. Ketika ini di Jordan, waktu subuh masuk pada pukul 5 pagi.

Lapangan terbang Amman ketika ini tidak sibuk. Hanya penerbangan kami sahaja yang sampai.Jadi, taklah bersesak-sesak. Kami akan berada di Jordan ini selama 18 jam sebelum bertolak ke Jeddah.

Selama 18 jam di Amman, pihak penerbangan menyediakan kami tempat tinggal. Kami tinggal di Golden Tulip Hotel. Hotel bertaraf tiga bintang ini tidak menyediakan perkhidmatan internet secara percuma.

Yuran mengakses internet di sini ialah 5 USD bagi satu jam.

Bagi mengisi masa lapang selama 18 jam di Amman ini, pihak pengurusan Barakah Travel telah menyusunkan agar kami melawat sekitar Jordan.

Di hotel ini, sarapan bermula jam 6.30 pagi dan kami semua diminta untuk berkumpul di lobi hotel jam 7.30 pagi. Semoga semuanya dipermudahkan Allah.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Golden Tulip Hotel Amman Jordan

19 November 09 jam 3.00 petang

Sampai di Queen Alia International Airport Amman, Jordan

Semua kami beratur mengambil visa. Oleh kerana pihak pengurusan akan membawa kami melawat sekitar Jordan, jadi kami dikenakan visa. Seorang 10 dinar bersamaan lebih kurang 15 USD.

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...