Thursday, November 12, 2009

Diari 125 – Maahad Sains al-Quran al-Amin (MASSA)

Beberapa hari ini, masa agak terhad dengan urusan sekolah tahfiz yang saya kendalikan, MASSA (Maahad Sains al-Quran al-Amin).

Ia sebuah sekolah yang tidak memisahkan antara akademik dan agama serta hafalan al-Quran. Ia menggabungkan sistem Kementerian Pendidikan Malaysia dan Tahfiz.

Anak-anak pelajar kita ini sedang menjalani Kursus Jati Diri yang dianjurkan sendiri oleh MASSA di P2 Ulu Yam selama empat hari.

Bersama para guru yang komited mendidik anak bangsa, Alhamdulillah, hari ini, Khamis 12 November adalah hari terakhir mereka berkhemah di sana.

Mereka didedahkan dengan berbagai kemahiran hidup, latihan jiwa pada waktu malam, latihan ibadah dan adab-adab.

Saya dan guru-guru lain hanya membiarkan mereka membuat persembahan mengikut kreativiti mereka, tetapi apa yang membanggakan ialah, dengan sendiri, setiap persembahan yang dibuat mempunyai masej Islam dan ukhwah.

Dari kecil, mereka telah mempunyai jati diri menjaga agama dan akhlak mereka.

Kuliah akhir malam tadi, saya sampaikan dengan menekankan kesungguhan kepada mereka di dalam menghafal al-Quran.

Saya tekankan pada mereka, pesanan guru saya dua puluh tahun yang lepas bahawa:-

“Tidak akan hina, orang yang di dalam dadanya ada al-Quran”

Sebagai memberikan contoh yang dekat, saya memberikan mereka contoh jalan hidup beberapa tokoh yang menghafal al-Quran.

“Kamu semua beruntung kerana sekarang, orang tidak memandang serong dan rendah pada sekolah agama, zaman saya dahulu, orang akan sindir-sindir, mana-mana pelajar sekolah agama, mereka memandang lekeh dan rendah” kata saya pada mereka.

Pernah disebutkan pada saya satu ketika dahulu:-

“Sekolah agama nak jadi apa? Nak jadi Tok Siak, kutip taik cicak?” saya menambah.

Tetapi saya tetap yakin dengan pesanan guru saya bahawa:-

“Tidak akan hina, orang yang di dalam dadanya ada al-Quran”

Apa pun, saya mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak didik ini. Hujung bulan ini, salah seorang guru kita akan ke Syria dan kita merancang untuk mengadakan beberapa MOU dari MASAA ke Syria di samping MOU pendidikan yang ada di beberapa tempat yang telah kita buat, sama ada di Turki, Indonesia dan Mesir.

“Kenapa ustaz tak ikut?” Tanya salah seorang dari mereka.

“Mmm, ada satu perkara yang kamu semua belum tahu, insyaAllah, 18 November 09 ini, saya akan ke Mekah dengan beberapa orang sahabat saya ke Haji, tapi tak lama, insyaAllah, Dalam dua minggu lebih sahaja. InsyaAllah, saya akan balik pada 7 Disember 09” kata saya.

“Doakan kami ye ustaz” kata mereka.

“InsyaAllah”, jawab saya ringkas.

Semoga pembinaan generasi Rabbani dapat diteruskan agar satu hari nanti mereka akan tetapi menjaga dan mempertahankan kedaulatan Agama dan Negara.

Dan semoga, cita-cita menubuhkan Universiti Wakaf di Malaysia satu hari nanti akan diizinkan Allah, amin….

‘Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

12 November 09, jam 10.15 pagi

IMG_0355

Perkhemahan Jati Diri MASSA di P2 Ulu Yam

IMG_0367 

Khemah pelajar perempuan

IMG_0371

Santai pelajar

IMG_0375

Dewan solat

IMG_0454

Suasana malam

IMG_0475

‘Tidak akan hina orang yang di dalam dadanya ada al-Quran” pesanan akhir saya pada anak-anak MASSA

1 comment:

Anonymous said...

salam ust
saya nak hanta anak saya kat sek ni macammana ust,saya tak nampak maaa depan anak saya disek men ke ni..

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...