Kami bertolak dari hotel Golden Tulip Amman Jordan jam 6.30 petang.
Penerbangan yang sepatutnya dijadualkan jam 9.00 malam telah tertangguh jam 9.30 malam. Tidak ada apa yang menarik di lapang terbang Queen Alia Amman Jordan ini melainkan hanya membaca dan menulis.
Penerbangan kami RJ 700, dan kami keluar ke kapal terbang melalui pintu G5
Bersama di dalam kapal terbang kala ini ialah penumpang dari Bosnia dan Austria. Kami saling menyapa antara satu sama lain. Ada di antara mereka juga sibuk menukar pakaian dari pakaian biasa ke pakaian ihram.
Sepanjang perjalanan, orang-orang Turki bertalbiah.
Perjalanan dari Amman ke Jeddah akan mengambil masa selama 1 jam 55 minit.
Kapal Royal Jordanian A310-300 meninggalkan lapangan terbang Queen Alia Airport jam 9.30 malam.
Kami sampai ke Jeddah jam 11.30 malam. Waktu Saudi ialah 12.30 malam.
Di Jeddah tidak sesejuk di Jordan. Cuaca di Jeddah ketika ini seperti di Malaysia. Bezanya, cuaca di sini kering dan kita jarang berpeluh. Di Malaysia, cuaca kita basah dan sebab itu kita sering berpeluh.
Kami dijemput oleh bas untuk dibawa ke terminal haji. Semua penumpang turun dari bas dan masuk ke dalam satu dewan.
Di sini, agak lama menunggu, ada penumpang yang melabuhkan badan, tidur di atas simen dewan ini.
Tandas yang ada di tempat ini pula hanya ada 4 buah. Bayangkan, dengan ratusan penumpang, sudah tentu agak sesak dan tersumbat dengan air kumbahan yang keluar membanjiri kawasan lantai.
Dalam sejam di kawasan ini, pintu dibuka. Semua penumpang beratur di satu kawasan pula. Dalam setengah jam di kawasan ini, kami semua di panggil turun dan barulah beratur di kaunter imigresen.
“Ok, penumpang dari Royal Jordan sahaja, sila turun ke bawah” kata pegawai yang bertugas di dalam bahasa Arab.
Setiap seorang diperiksa passport. Secara peribadi, orang Malaysia juga yang tertib. Ini kerana, orang luar masing-masing memotong barisan dan tergesa-gesa.
Selepas itu barulah dibenarkan keluar untuk mengambil beg. Sebelum masuk ke dalam ruangan mengambil beg, passport kami sekali lagi di periksa.
Saya bertanya di dalam hati:-
“Kenapa nak periksa lagi”
Rupanya, ada sesetengah ketika, pegawai yang memasukkan beberapa maklumat passport ke dalam computer terlupa untuk memberi cop kemasukan. Maklumklah, ribuan jemaah setiap hari yang perlu diuruskan. Kadang-kala, ia terdedah dengan kesilapan manusia.
Selepas itu kami mengambil beg.
Ada dua perkara yang penting ketika ingin mengambil beg ini.
Pertama, beg jemaah semuanya tidak ada lagi di atas mesin, tetapi telah diturunkan. Jadi, kadang kala beg kita sukar ditemui kerana berada di atas timbunan beg-beg lain.
Yang kedua, beg kita terdedah untuk diambil oleh orang lain secara tak sengaja. Kadang-kala kita fikir mungkin mustahil. Tapi, kita boleh bayangkan bagaimana orang-orang tua dari Negara-negara Arab yang mata pun, nampak tak nampak. Jadi, kadang kala, dia mengambil beg yang agak serupa dengan begnya.
Selepas mengambil beg, sekali lagi beratur untuk memasukkan beg ke dalam mesin pengimbas.
Selepas itu, sekali lagi passport di periksa dan kali ini diberikan pelekat pengesahan. Barulah kami dibenarkan keluar meninggalkan terminal dalam.
Di Terminal luar.
Sejurus selepas keluar, kami ke sebuah kaunter untuk tujuan pengurusan muassasah agar diiktiraf sebagai jemaah haji.
Di sini kami menyerahkan bank draf untuk urusan bas dan khemah di Arafah nanti.
Beg kami diangkut dengan sebuah troli yang dibawa dengan sebuah jentera penarik.
Perkara yang perlu diperhatikan lagi ialah, beg dibawa dengan ditimbunkan di atas troli besar yang ditarik oleh kereta kecil. Jadi, terdapat kemungkinan beg yang diletakkan di troli ini akan terjatuh tanpa disedari oleh orang yang membawa kereta kecil ini.
Jadi, seseorang mesti mengikuti dari belakang kereta pengangkut beg ini.
Selepas beg diletakkan di satu tempat, kami menunggu bas untuk membawa kami ke Mekah.
Di terminal luar ini, saya melihat petugas-petugas Tabung Haji sedang tidur di kerusi keletihan.
Azan subuh jam 5.15 pagi. Kami semua bersolat di surau yang berada ditengah-tengah ruangan terminal luar.
Sejam selepas subuh, bas kami sampai dan kami semua bertolak ke Mekah. Passport kami semuanya dikumpulkan dan diserahkan kepada seorang petugas berbangsa Arab.
10.30 pagi, kami telah sampai di tempat tinggal kami di Sya’ab Ali, tidak jauh dari Masjid al-Haram, cuma perlu menaiki bukit sikit.
Hari ini, Jumaat 20 November 09, kawasan Masjid al-Haram telah dipenuhi dengan manusia yang datang dari pelbagai Negara.
Kami semua dipersilakan untuk makan dahulu sebelum ke Masjid.
Alhamdulillah, segala perjalanan ke Mekah ini telah dipermudahkan Allah. Semoga ia terus dipermudahkan, amin…
“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Sya’ab Ali Mekah al-Mukarramah
20 November 09 jam 3.00 petang
Penerbangan dari Jordan ke Jeddah ini bersama dengan orang dari Austria dan Bosnia
Masing-masing teruja mengambil gambar sesama sendiri
Di bahagian luar Terminal Haji
Orang ini, walaupun tanpa kaki, tetap berusaha menunaikan rukun Islam ke lima ini
bersama dengan jemaah menunggu bas ke Mekah al-Mukarramah
Surau di Terminal Haji
Pemandangan dari tempat kediaman kami
Menjamu selera sebelum ke masjid
No comments:
Post a Comment