Tuesday, November 17, 2009

Diari 126 – “Selamat Jalan Semua”

Ramai orang yang menyatakan bahawa, walaupun kita selalu pergi ke Mekah, sama ada umrah atau haji, tetapi, setiapa kali urusan ke Mekah kerana Haji, ia mempunyai perasaan yang berbeza.

Secara peribadi, saya mengakui kebenaran kata-kata ini.

Dengan izin Allah, hari Rabu 18 November 09, saya dan rombongan akan berangkat ke Mekah. Beberapa hari sebelum berangkat ini, tiba-tiba hati saya menjadi sayu. Padahal, saya pergi hanya dalam dua minggu lebih sahaja. Perjalanan ke Rusia awal tahun 2009 ini lebih lama.

Tetapi benarlah, kata-kata orang tua, untuk ke Mekah, perasaan memang agak lain.

15 November 09 jam 5 petang, saya mengumpulkan semua anak-anak yatim al-Ijabah dirumah saya. Tidak ketinggalan juga saudara-saudara dari rumah HIV Darul Ukhwah. Sahabat-sahabat dan jemaah penduduk Putra Heights.

Seperti biasa, saya memimpin semua yang hadir di dalam membaca selawat dari kitab Maulid ad-Dibaie dan di akhiri dengan doa munajat keselamatan kepada Allah.

Saya suka membaca selawat kerana Allah swt telah mengajak kita sama-sama berselawat bersamaNya dan bersama para Malaikat. Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa:-

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi, Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (surah al-Ahzab ayat 56)

Di dalam tafsir Jalalain, berselawat itu ialah ucapan “Allahumma Salli Ala Saidina Muhammad wa Sallim”

Di dalam tafsir al-Azim oleh Ibnu Kathir pula menyatakan “kalau dari Allah berarti memberi rahmat: dari malaikat berarti memintakan ampunan”

Di dalam tafsir al-Qurtubi pula menyatakan antara kelebihan berselawat ialah akan diberikan 10 kebaikan bagi orang yang berselawat sekali pada Nabi saw berdasarkan hadis “barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya 10 kali”

Abu Sulaiman al-Darani telah berkata, “Sesiapa yang ingin meminta kepada Allah sesuatu hajat, maka hendaklah dia memulakan dengan berselawat ke atas Nabi saw. Kemudian, mintalah hajatnya. Kemudian tutuplah dengan selawat ke atas Nabi saw”

Diriwayatkan dari Said bin Musayyab, dari Umar bin al-Khatab r.a bahawa dia telah berkata, “doa akan terhijab di antara langit sehingga seseorang itu berselawat kepada Nabi saw, maka apabila selawat itu telah dibuat, maka akan terangkatlah doa itu.

Selain itu, di dalam kitab tafsir al-Qurtubi juga menukilkan sebuah hadis:-

“Barangsiapa yang berselawat ke atas ku dan memberi keselamatan padaku pada sebuah kitab, maka Malaikat akan berterusan berselawat ke atasnya selagi namaku itu berada di dalam kitab itu”

Selepas majlis selawat menelusuri kitab ad-Dibaie, kami semua berjamuan. Seronok melihat anak-anak ini menjamu selera. Malam ini, saya ingin menghabiskan masa bersama mereka.

Kami semua solat Maghrib berjemaah. Sebelum berpisah malam ini, saya mengisytiharkan 10 nama anak-anak yatim yang terpilih, untuk bersama-sama saya ke Mekah pada bulan Januari nanti.

“Nanti, kamu semua kena buat Umrah dan sedekahkan untuk arwah ayah kamu semua”, kata saya pada mereka.

Mereka yang terpilih mengangguk-anggukkan kepala sambil tersenyum gembira. Entah, mengangguk dan tersenyum sebab dapat peluang menghadiahkan pahala pada arwah ayah masing-masing, atau tersenyum sebab dapat jalan bulan satu nanti.

Nabi saw telah bersabda, jika mati manusia, maka terputuslah amalannya keculi tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan mereka (hadis riwayat Muslim di dalam kitab al-Wasiyyah)

Semoga, di dalam Ijabah ini, mereka dapat di didik menjadi anak-anak yang soleh yang dapat mendoakan ibu dan ayah mereka ketika keduanya telah berada di dalam kubur.

Semoga seluruh anak-anak Ijabah, tak kira dari anak yatim, anak orang susah atau anak-anak murid tahfiz, terus dibimbing Allah untuk terus berjaya di dunia dan di akhirat, amin..

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

17 November 09 jam 1.45 pagi

IMG_0542

Diriwayatkan dari Said bin Musayyab, dari Umar bin al-Khatab r.a bahawa dia telah berkata, “doa akan terhijab di antara langit sehingga seseorang itu berselawat kepada Nabi saw, maka apabila selawat itu telah dibuat, maka akan terangkatlah doa itu.

IMG_0537 

Antara yang hadir

IMG_0556

Anak Ijabah bersama salah seorang guru mereka

IMG_0560

Hari ini, mereka makan kambing…

1 comment:

Abd Razak said...

Assalamualaikum ustaz...

Saya mendoakan agar ibadah Haji yang mabrur bakal ustaz perolehi

Selamat berangkat dan kembali ke tanah air

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...