Wednesday, November 25, 2009

Universiti Kehidupan 125 – Air Mata Taubat

“Boleh tak, nak ceritakan kisah di dalam blog saya ni” tanya saya pada pakcik berumur hampir 60an ini.

“boleh” jawabnya ringkas.

“Ok, tapi saya tak akan ceritakan nama sebenar” kata saya.

“Mmm, saya namakan pakcik dengan nama En.CM ( Encik Cermin Mata)” saya menambah lagi.

En. CM hanya tersenyum.

En. CM memulakan kisah hidupnya apabila beliau disapa oleh seorang jemaah.

“En CM, wah betul-betul menangis di Kaabah airtu, mesti banyak dosa ni” kata salah seorang jemaah pada En. CM dengan niat bergurau.

Perbualan ini terjadi ketika kami sedang bersarapan.

“Ye, memang betul, sebenarnya, banyak dosa saya” tiba-tiba En. CM mengaku dengan jujur.

“Sebenarnya, saya pernah keluar dari Islam dan pernah ingin menukar nama saya kepada nama Jony James Yumata ” dia menyambung.

Semua yang ada terkejut.

Bagaimana ceritanya:-

“Dahulu hati saya selalu tertanya-tanya mengenai kebenaran agama ini. Saya pernah meninggalkan sembahyang ketika hati saya tertanya-tanya mengenai kenapa kamu bersembahyang? apa tujuannya?Akhirnya saya meninggalkan sembahyang itu” En CM memulakan ceritanya

“Selepas itu, saya selalu membaca bacaan kristian. Waktu tu tahun 70an, ada sebuah majalah Kristian bertajuk “The Plain Truth”. Di dalam majalah tu ada borang untuk memohon risalah kristian dan saya selalu mengisinya dan selalu mereka kirimkan saya risalah-risalah kristian ini” En. CM semakin rancak bercerita.

“Hingga pernah saya mengisi borang itu untuk menyambung belajar kristian di Australia. Australia adalah pusat bagi pergerakan dan penyebaran dakyah kristian bagi timur jauh (far east)” katanya lagi.

“Tapi, setiap malam, saya tak boleh tidur. Saya menjadi tak tenang dan takutkan mati. Saya terpaksa makan ubat tidur, ubat yang menghayalkan, termasuk ganja.”

“Hinggalah satu ketika, saya sakit sebab konflik jiwa dan pengsan di pejabat saya. Rakan-rakan saya menghatar saya ke hospital. Saya diarahkan masuk wad dan pada ketika itu saya mula bertaubat.”

“Lepas keluar, saya bertanya dengan kawan-kawan macam mana bertaubat?” Kawan saya tak tahu macam mana nak taubat.

Peristiwa ini terus berlalu hinggalah satu ketika ada pertandingan menulis sempena Maal Hijrah. Ia awal tahun 70 an. Itu kali pertama Maal Hijrah di sambut secara rasmi di Malaysia.

Pertandingan ini ialah pertandingan mengarang novel, cerpen, puisi dan rencana. Hadiahnya besar, keseluruhannya RM 5000.

Saya nak menulis pasal Islam ini, tujuannya ialah nak dapatkan hadiah RM 5000 ini dan saya memilih untuk menulis cerpin, rencana dan puisi.

Pada ketika itu, dakwah sedang rancak di tanah air dan adik saya antara orang yang mengikuti badan-badan dakwah yang ada pada ketika itu.

Saya meminjam buku-buku pasal Islam dari adik saya untuk menjadi bahan rujukan saya menulis. Saya mula membaca buku-buku ini, saya cuba mula menulis.

Tajuk rencana saya ketika itu ialah “Apa itu Islam?”

Tapi, semakin saya baca, semakin banyak yang saya tidak tahu. Kemudian, saya merasakan pula, banyak yang saya telah baca dan banyak yang tidak ada di dalam diri saya sendiri.

Akhirnya, saya menutup tulisan saya. Saya tutup, tak minat dengan duit dan pertandingan ini, dan saya ada matlamat baru, saya nak baca untuk faham agama.

En. CM mengakhiri kisah hidupnya ditanah Mukarramah ini.

Saya merenung sendirian. Benarlah kata Nabi saw:-

“sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, akan diberi kefahaman di dalam agama”

(Hadis riwayat Ahmad di dalam Kitab Min Musnad Bani Hashim)

Memang, semuanya bermula dengan hidayah dan taufiq. Kemudian, jika Allah mahukan seseorang itu berterusan menjadi baik, ketukan hati untuk menjadi baik ini akan diperkasakan dengan kefahaman kepada agama.

Sesungguhnya, beruntanglah orang yang memperuntukkan masanya untuk mendalami ilmu agama. Sesungguhnya, ilmu itu menghidupkan hati yang buta, menyuburkan iman yang lemah dan membaiki perilaku yang rosak.

Tanpa ilmu, seseorang akan terkapai-kapai di dalam kegelapan.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-fakir Ila Rabbihi’

Muhamad bin Abdullah

Sya’ab Ali Mekah al-Mukarramah

24 November 09 jam 4.00 petang.

7 comments:

Shahabudeen Jalil said...

typo: beruntung bukan beruntanglah

Hunny said...

Salam Ustaz,


Best citer ni.. Bersyukur kerana masih dalam iman dan Islam. Minta ustaz doakan umat Islam semuanya kekal dalam Iman dan Islam, termasuk pakcik CM. Typo: Cerpen bukan cerpin.

Falsafah2 ustaz mengenai ihram, sujud dan perhimpunan di Tanah Suci pun hebat, dan sebaiknya dikongsi dengan jemaah haji yang lain untuk menjelaskan hikmah di sebalik rukun haji. Semoga dapat dihayati oleh semua yang membaca. Good job Bro!

Shahabudeen Jalil said...

puji sakan nie.. tak baik puji lebih2 camnie..

Hunny said...

Salam En SJ,

Terima kasih atas nasihat tu:)

Syurga fakir dunia said...

SALAM ustaz! Semoga mendapat haji mabrur. doakan saya sampai ye ustaz ke sana tahun depan, insyaAllah!!

Ayah Zain said...

Salam Ustaz,

salam perkenalan

Citratus said...

Assalamu'alaikum wbt,

Salam dari tanahair buat ustaz dan para jemaah M'sia di sana.

Saya paling suka hadis yang ustaz 'quote' itu. Sebagai manusia yang dikurniakan islam melalui ibu-bapa, kefahaman islam itu terlalu dangkal kerana segala-galanya kelihatan seperti satu rutin kehidupan sahaja sahaja.

Berbahagialah kepada sesiapa yang dikurniakan kefahaman tentang islam. Meskipun kesibukan hidup masa kini mengambil sebahagian masa yang ada, moga-moga saya jua diberi kesempatan/ruang untuk belajar ilmu agama.

Wassalam..moga perolehi haji yang diterima!

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...