Wednesday, June 10, 2009

Universiti Kehidupan 83 - Iktibar Runtuhan Istana

29 April 09, jam 9.15 pagi kami bertolak dari Nazareth ke Jerico.

"Hari ini kita akan menggunakan road no 20, jalan yang paling panjang di Israel iaitu sejauh 620 km dari Utara ke Selatan. Ia bermula dari sepadan Lubnan hinggalah sepadan Mesir", kata Nasir.

Di dalam bahasa Arab, Jerico disebut sebagai Arihah. Satu bandar yang tertua di dunia pernah di temui. Bandar ini berumur 10,000 tahun.

Bandar Jerico adalah bandar yang paling rendah di dunia iaitu 300 meter di bawah paras laut. Ia berhampiran dengan laut mati yang mempunyai kedalaman 411 meter di bawah paras laut.

Dari Nazareth ke Jerico, kami melalui jalan lurus membelah bukit-bukit kering sejauh 120 km.

Di tengah jalan, kami berhenti sebentar untuk minum di satu kedai kecil. Kedai ini milik orang arab tetapi kebanyakan Yahudi yang lalu lalang menggunakan jalan ini akan berhenti minum di kedai ini. Ia seakan-akan kedai tomyam di tengah jalan antara Kuala Lipis ke Gua Musang. Banyak kenderaan berhenti untuk berehat di sini.

Di hadapan kedai ini ada bangkai kereta dua kereta kebal yang digunakan pada peperangan tahun 1948 dan 1967. Ia lambang kemenangan bagi orang Yahudi tetapi lambang kekalahan bagi orang Arab.

Distinasi pertama kami ialah ke Istana Hisam bin Abdul Malik. Beliau dari kerajaan Bani Umayyah. Beliau pernah membina sebuah istana hinggap untuk musim sejuk di sini. Istana ini telah digazetkan sebagai kawasan sejarah dan dijaga oleh PBB. Untuk masuk ke kawasan istana ini, kami dikenakan tiket sebanyak 10 Shakel (lebih kurang RM 9)

Istana ini terletak 5 km di utara Jericho. Ia terletak di Tal al-Mafjar. Ia dibina dengan cantik menyerupai taman mandian orang Rom. Ia dihiasi dengan berbagai binaan indah dan jubin yang berwarna warni.

Istana ini merangkumi tempat tinggal, taman, kawasan mandian, air pancut dan sebagainya seluas 60 hektar.

Yang paling utama ialah sistem pengairan yang dibina pada waktu itu yang boleh membekalkan air panas pada kolam mandian.

Di satu sudut, terdapat ruangan yang mempunyai mozak bergambar, seekor rusa yang diterkam oleh seekor singa di sebuah pokok. Di balik pokok pula terdapat dua ekor rusa yang lain.

Gambar pada mozak ini menjadi lambang kepada bandar Jerico. Arti gambar ini telah cuba dibahaskan, tetapi sebenarnya hanya Khalifah Hisham sahaja yang tahu maknanya. Istana ini dimusnahkan oleh gempa bumi yang kuat pada tahun 747 masihi.

Kami serombongan berjalan di celah-celah runtuhan bangunan ini, melihat keunikan seni bina Islam yang cuba ditonjolkan.

Seorang pemimpin, sehebat mana pun kuasanya, akhirnya akan terperosok juga di bawah bumi. Sekalipun binaan yang dibina menjadi kebanggaannya, tetapi tidak ada yang lebih besar dari amalan, sebagai bekalan menghadap ilahi.

Saya merenung jubin yang indah, ia ibarat karpet dari Turki. Saya mengambil pen saya dan mencatatkan sesuatu:-

"Hari ini, aku melihat, bekas tinggalan seorang khalifah. Para pemimpin mati meninggalkan binaan yang dibina. Para ulama meninggalkan kitab-kitab kajiannya. Para ilmuan meninggalkan pusat-pusat pengajiannya. Apa yang terus kekal?. Yang terus kekal adalah jika ia terus memberi manfaat kepada generasi yang ditinggalkan. Berlumba-lumba membuat amalan bermakna berlumba-lumba berbakti. Sejauh mana bakti kita, sejauh itulah keredhan Allah bersama kita".

Setelah hampir dua jam di sini, kami mula melangkah keluar meninggalkan runtuhan istana ini. Apa yang menarik pada istana Hisham ini?

Ya.. Khalifah tidak sempat untuk menduduki istana ini. Beliau meninggal sebelum sempat mendudukinya, dan warisnya juga tidak sempat mendudukinya apabila istana ini diranapkan oleh gempa bumi yang melanda pada tahun 747 masihi.

Barangkali, harta yang diambil untuk membina istana ini ada sedikit masalah, barangkali, ia sepatutunya digunakan untuk perkara yang lebih bermanfaat dari membina istana ini.

Ia sama kes seperti masjid yang dibina oleh Bibi Khanim di Samarqand, Uzbekstan (saya akan ceritakan kemudian nanti). Apabila permulaan pembinaannya bermasalah, maka masjid ini, sejak dari pembinaannya, hingga sekarang, terus runtuh walaupun ratusan kali cuba diperbaiki.

Iktibar buat kita, agar jangan tersilau dengan keindahan dunia yang belum tentu kita sempat merasainya. Carilah dengan jalan yang diredhai Allah. InsyaAllah, walaupun sedikit, tetapi memberi ketenangan dan kebahagiaan.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
10 Jun 09, jam 8.00 malam
Jalan masuk ke istana Hisham
tugu penjagaan tempat ini
tinggalan sejarah
runtuhan istana
lambang kebesaran sang Khalifah
tempat mandi yang mengalirkan air panas pada musim sejuk
pemandangan bekas istana

bilik-bilik istana
hiasan dalaman istana

1 comment:

Unknown said...

Saya baru membaca kisah ini, kerana menyelami keperibadian Imam Malik, teringin sekali melewati Isatana Musim Sejuk Impian Khalifah Hisyam Abdul Malik, mudahan berpeluang suatu hari nanti. Hasfizani Haji Ariffin

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...