1.25 tengah hari, kapal Etehad A320-200 mula merendah. Dari corong lubang tingkap saya melihat keindahan Bandar Istanbul dari udara. Barangkali beginilah pandangan burung hari-hari di sini. Sangat cantik. Ataupun agaknya, beginilah pemandangan para Malaikat yang menjaga bumi. Turun dan naik ke langit dengan tasbih dan menunaikan urusan yang diamanahkan kepada mereka.
Cuma bezanya, kita melihat kecantikan itu dengan pemandangan yang jarang dilihat, sedangkan para malaikat itu takjubnya melihat rumah-rumah yang disinari dengan bacaan al-Quran dan sembahyang-sembahyang malam.
Kami merentasi Selat Bosphorus, antara kawasan yang paling cantik di dunia. Kapal-kapal besar lalu disulami dengan kapal-kapal kecil. Selat Bosphorus menjadi kawasan kapal terbaik di dunia kerana ia tidak berombak kuat seperti pelabuhan lain di dunia. Ini kerana, angin dari laut lepas terhalang dengan kawasan tanah, sebelah kirinya ialah benua Asia dan sebelah kanannya ialah benua Eropah.
Penumpang lain juga memanjangkan tengkoknya melihat ke pemandangan yang cantik di bawah. Beza waktu Istanbul dan Malaysia ketika ini lalah 5 jam.
Skrin TV di waktu mendarat ini memaparkan cerita lama tahun 1930an, hitam putih tanpa suara. Cerita bertajuk “open house” ini mengisahkan cerita kekeluargaan. Dahulu orang melihat TV untuk hiburan semata-mata, sekarang banyak perkara kita boleh belajar melalui TV jika kita matang di dalam memilih siarannya.
1.40 tengah hari, kami hampir mendarat. Angin agak kencang hari ini hingga terasa gegaran dari dalam kapal. Sekali sekala macam rasa melambung pun ada.
1.46 tengah hari, kapal mula mendarat. Sebahagian penumpang bertepuk tangan tanda gembira. Ada juga yang merapatkan kedua belah tangan dan merautkan kemuka sambil mengucapkan Alhamdulillah.
Waktu tempatan menunjukkan jam 12.45, iaitu satu jam kebelakang dari Abu Dhabi. Tukaran wang pada waktu ini ialah 1 USD bersamaan dengan 1.55 Lira. Ini bermaka, mata wang Turki lebih sekali ganda dengan mata wang kita.
Rombongan kami disambut oleh Ustaz Sherif dan Kapten Ali Haidar. Kapten Ali hari ini tidak bekerja. Jadi, dia menyambut kami semua.
“Eh.. Muat ke kereta ni, kami 5 orang, awak dua orang, tak apalah, kita ambil teksi satu” Saya mencadangkan kepada Ustaz Sherif.
“Tak apa Ustaz Muhamad, di Turki tak apa, tak payah ambil teksi, kita naik satu kereta sahaja” Ustaz Sherif menolak cadangan saya sambil tertawa kecil.
Kapten Ali Haidar mula menyusun beg kami di dalam tempat meletak barang di belakang keretanya.
“Ok, Alhamdulillah, semua muat, mari kita jalan” kata Ustaz Sherif.
“Kami berjalan menuju “Fatih”, satu kawasan paling sedikit berlaku jenayah di Istanbul ini.
“Kenapa ye?” Tanya saya ingin tahu.
“Sebab di kawasan ini banyak sekolah agama dan banyak orang yang berpegang pada agama di sini. Jadi, di sini tak ada arak, tak ada zina tak ada rompak dan semua tak ada, Alhamdulillah” Ustaz Sherif menerangkan.
Ya, akhirnya, kena balik juga pada agama. Jika kita mahu menyelesaikan masalah sosial dengan cara lain, maka tidak akan berjaya" kata saya.
Fatih ialah kawasan di mana pembuka Konstantinople, Sultan Muhamad al-Fatih di makamkan. Beliau adalah orang yang disebut di dalam hadith bahawa nanti, pasti kota Konstantinople dapat dibuka oleh Islam, dan yang membukannya adalah sebaik-baik pemimpin dan yang tenteranya ialah sebaik-baik tentera. (HR Ahmad)
Hadith ini ada ditulis di dalam makam Sultan Muhamad al-Fateh, diletakkan di bahagian kepalanya. Barangkali, berkat doa beliau yang mengharapkan Islam terus terjaga di Istanbul ini, maka kawasan Fatih terus menjadi tumpuan orang-orang yang berpegang dengan agama. Kalau di Istanbul, orang bertudung labuh, banyak kelihatan di kawaasn Fatih ini.
Kami dibawa ke Institut Waqfi. Di sana, kami diberikan bilik untuk berehat. Pada waktu petang, kami akan melawat Madrasah Iqra, tempat penghafal-penghafal al-Quran dilahirkan. Kami di sambut dan dihidangkan dengan teh panas. Memang budaya orang Turki, menyambut tetamu dengan teh panas Tapi teh mereka lebih sedap dari teh Arab yang lebih pahit.
Alhamdulillah, persaudaraan Islam di mana-mana pun wujud jika setiap muslim mengamalkan apa yang diajarkan oleh Islam. Persaudaraan Islam adalah antara yang terpenting yang diajarkan oleh Rasulullah kepada kita. Semoga kita menjadikannya satu pegangan untuk kita terus bersaudara di dunia dan di satukan di akhirat di dalam syurga Allah nanti, amin…
“Diari, merakam sejarah mencatat kenangan”
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Abu Dhabi
28 Jun 09 jam 8.48 malam
Ustaz Sharif menyambut kami
Blog yang membicarakan mengenai perjalanan kembara dakwah, soal-jawab agama, masalah rumah tangga, keluarga dan rakaman rancangan Usrah TV9, Tanyalah Ustaz TV9, IKIM.fm Persona de Zahra, Al-Kuliyyah TV3, rumah kebajikan anak yatim dan hiv, juga undang-undang keluarga.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...
-
Perjalanan saya ke Saint Petersburg mempunyai satu misi. Saya ingin bertemu dengan Prof. Dr . Alexander K. Ogloblin, pengkaji Nusantara per...
-
7 April 2012, saya bersama dengan ahli rombongan ke Ben Yehuda St, penempatan orang Yahudi di Jerusalem ini. Nama jalan ini diambil sempena ...
-
“Mmm, ustaz, boleh tak ceritakan bagaimana Nabi Yahya dibunuh” Tanya seorang anak murid pada saya. Rupanya ada yang mengikuti kisah Nabi ...
No comments:
Post a Comment