25 Jun 09, sesampainya di Istanbul saya dan rombongan diajak bertamu di Institut Waqvi. Setelah berehat beberapa ketika, saya dan rombongan di ajak untuk bertemu dengan sahabat-sahabat di Madrasah Iqra’. Madrasah ini tempat di mana penghafal al-Quran di lahirkan.
Kami disambut oleh Haji Ali, pengetua Madrasah ini. Sesampainya kami di sini, kami terus dihidangkan dengan makan. Rupanya, setelah mengetahui kedatangan kami, Haji Ali terus memasakkan untuk kami.
Hidangan telah dihidangkan. Kami memulakan makan dengan membaca doa. Di Turki, mereka memulakan makan hanya dengan bismillah, mereka hanya akan membaca doa panjang selepas makan.
Haji Ali menjemput kami makan, kami menjemput mereka kembali.
“Silakanlah, kami semua puasa di sini?” jawab Haji Ali.
“Ini pun dah nak berbuka, sayang pula nak batalkan” Sambungnya lagi.
“Oh ye, hari ini hari Khamis”, jawab saya.
“Ye ye.. lagi pun sekarang Rejab. Jadi ramai antara kami berpuasa” tambah Haji Ali lagi.
“Emm, rupanya di Turki, ramai juga yang mengamalkan puasa Rejab. Tentu ada juga perdebatan mengenainya” Kata saya.
“Ye betul, tapi, kan puasa itu baik, tak perlulah nak halang kalau orang nak puasa. Cuma memang kewajarannya dibahaskan” Haji Ali menambah.
“Mmm, orang di Malaysia tidak keseorangan di dalam hal ini. Tapi puasakan baik, yang nak buat, di luar bulan Rejab pun buatlah, yang tak nak buat, puasa Ramadhan pun ponteng”, bisik hati saya.
Kami makan sambil berbual hal-hal ringan.
“Haji Ali, mereka ni hafal Quran dari subuh sampai pukul berapa?” Tanya saya.
“Sampai tertidur”, jawab Haji Ali sambil ketawa
“Ada jadualnya, nanti saya akan tunjukkan” dia menyambung lagi sambil menghabiskan gelak yang masih tinggal.
Setelah makan. Kami naik ke tingkat atas. Kami melihat anak-anak pelajar menghafal al-Quran. Beberapa orang Ustaz sedang mendengar bacaan mereka.
“Di Malaysia, bagaimana mereka menghafal”, Tanya Haji Ai pada saya.
“Ooo, Di Malaysia tengok latar belakang seseorang Ustaz tu, jika mereka pernah belajar di Pakistan atau India, mereka akan mengajarkan untuk menghafal dari belakang bermula Juzuk 30, 29, 28, hingga satu. Kalau seorang Ustaz itu berlatarbelakangkan Negara Arab, mereka akan menghafal dari hadapan bermula Juzuk 1, 2, 3 hingga tiga puluh” saya menjelaskan.
“Oh, di sini kaedahanya lain,” kata Haji Ali.
“Seorang pelajar akan menghafal muka surat pertama dari juzuk satu, kemudian, muka surat pertama dari Juzuk dua, kemudian, muka surat pertama dari juzuk tiga dan seterusnya hingga muka surat pertama juzuk tiga puluh. Kemudian mereka akan menghafal muka surat dua pula dari semua juzuk. Kemudian muka surat tiga dari setiap juzuk pula hinggalah semua bersambung” jelas Haji Ali.
“Ye ke, baru saya tahu. Ada kelebihan dan kekurangan setiap kaedah. Kalau kaedah Turki, seorang pelajar akan merasa mereka telah menghafal semua juzuk tanpa rasa banyak lagi yang belum dihafal. Bagus juga cara macam ini, tapi yang penting ialah hafal al-Quran itu. Jika kaedah berbagai tapi malas nak hafal, tak boleh juga ” kata saya sambil sedikit tersenyum.
“Ye ye.. yang penting hafal Quran”, kata Haji Ali sedikit tertawa sambil memegang bahu saya.
Kami kemudiannya, mendengar bacaan dari beberapa orang pelajar. Alhamdulillah, kesungguhan yang ada menyebabkan mereka sentiasa dapat menguasai al-Quran ini dengan baik.
Seorang penghafal al-Quran ialah seorang yang akan menjaga amanah al-Quran itu di dalam dadanya. Kaedah inilah yang menyebabkan al-Quran tetapi kekal hingga akhir zaman. Inilah janji Allah. Allah akan menjaga al-Quran ini hingga ke hari kiamat. Amat beruntung jika seseorang yang diizikan Allah untuk diletakkan al-Quran ini di dalam dada mereka.
Kita bermohon agar kita dizinkan untuk menghafal al-Quran. Jika tidak sepenuhnya paling kurang semakin ada pertambahan di dalam hidup ini. Janganlah sampai, dari kecil menghafal surah ikhlas, hingga sudah bercucu pun masih surah ikhlas sahaja yang ada di dalam dada. Tingkatkanlah. Dan semoga, ada salah seorang zuriat kita akan menghafal al-Quran ini. InsyaAllah. Kita jadikan bagi masyarakat di Malaysia satu hari nanti, satu rumah, satu penghafal al-Quran.
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Abu Dhabi
28 Jun 09 jam 11 malam
kedatangan kami disambut dengan jamuan makan
Blog yang membicarakan mengenai perjalanan kembara dakwah, soal-jawab agama, masalah rumah tangga, keluarga dan rakaman rancangan Usrah TV9, Tanyalah Ustaz TV9, IKIM.fm Persona de Zahra, Al-Kuliyyah TV3, rumah kebajikan anak yatim dan hiv, juga undang-undang keluarga.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...
-
Perjalanan saya ke Saint Petersburg mempunyai satu misi. Saya ingin bertemu dengan Prof. Dr . Alexander K. Ogloblin, pengkaji Nusantara per...
-
7 April 2012, saya bersama dengan ahli rombongan ke Ben Yehuda St, penempatan orang Yahudi di Jerusalem ini. Nama jalan ini diambil sempena ...
-
“Mmm, ustaz, boleh tak ceritakan bagaimana Nabi Yahya dibunuh” Tanya seorang anak murid pada saya. Rupanya ada yang mengikuti kisah Nabi ...
No comments:
Post a Comment