Saturday, June 6, 2009

Universiti Kehidupan 81 - Manusia Menjadi Monyet Di Galilee

28 April, perjalanan kami pagi ini ialah ke Tasik Galilee, sebuah tasik yang banyak meninggalkan kenangan bagi kehidupan Nabi Isa a.s. Orang di sini memanggilnya Sea Of Galilee. Ini kerana tasik ini memang besar seakan-akan laut.

Tasik Galilee dipanggil di dalam bahasa Arab sebagai Buhairah al-Jalil. Orang Yahudi memanggilnya dengan nama Kinnereth. Nama Kinnereth ini diambil dari nama alat muzik Nabi Daud a.s. Ini kerana, bentuk tasik ini jika dilihat dari atas bukit Golan, adalah seperti sebuah alat muzik.

Tasil Galilee merupakan tasik air tawar terbesar di Israel dengan keluasan sekitar 53 kilometer dan mempunyai kedalaman 50 meter. Tasik ini terletak di tanah rendah sedalam 220 meter di bawah paras laut. Di belakang tasik ini ialah bukit Golan, tempat pertempuran antara tentera Islam Syria dengan tentera Yahudi di dalam peperangan tahun 1967.

Kami sampai di Yigal Allon Centre pukul 11.00 pagi, satu tempat perkhidmatan bot besar untuk berlayar di sekitar tasik Galilee. Kawasan ini seperti kompleks maritim. Ada pameran bot yang berumur hampir 2000 tahun yang dijumpai. Bot ini milik nelayan di sini satu ketika dahulu. Terdapat juga kedai-kedai menjual buku dan cenderamata. Ada kedai minuman dan juga ruangan muzium sejarah pembinaan negara Israel. Di satu sudut terdapat kawasan komputer beserta internet yang disediakan secara percuma pada pengunjung.

Setelah beberapa ketika menunggu, kami diajak untuk menaiki bot. Jam menunjukkan pukul 11.25 pagi. Bot besar ini dibina seakan-akan bot yang pernah digunakan oleh Nabi Isa a.s di dalam siri dakwah baginda pada masyarakat sekitar Galilee.

Saya dan rombongan melangkah masuk ke dalam bot besar ini. Perlahan-lahan bot mula bergerak. Ia menggunkan enjin yang tidak bising dan berjalan sangat perlahan. Saya memerhatikan sekeliling.

Tasik ini agak besar. Terdapat 27 jenis ikan yang hidup di dalam tasik ini. Yang paling terkenal ialah ikan Talapia.

"kejap lagi, waktu turun semua, kita akan pergi makan ikan Talapia. Ia fresh dan sedap" kata Nasir pada kami.

Dengan suara yang perlahan, saya bertanya pada Nasir:-

"Boleh makan ke? Siapa masak?"

"Oo.. jangan risau, kita akan pergi ke Restoran orang Arab, orang Islam yang masak," Jawab Nasir memahami hasrat soalan saya.

Walaupun sudah hampir pukul 12 tengah hari, kawasan tasik ini masih diselubungi kabus. Dari kejauhan, samar-samar, kami melihat bukit Golan, kawasan yang berjaya ditawan Israel pada peperangan tahun 1967 menentang tentera Syria. Burung-burung tasik terbang sambil sekali-sekala menjunam ke dalam air, kemudian timbul dengan ikan-ikan kecil di paruhnya.

"Mmm, damai betul tempat ini," bisik hati saya.

"Tapi sebenarnya, kedamaian bukan terletak pada tempat, ia terletak pada hati. Sekalipun seorang itu duduk di tempat yang indah, jika hati rungsing, tidak ada kedamaian juga," bisik hati saya lagi seolah-olah membetulkan pandangan pertama.

Ketika kami sampai betul-betul di tengah-tengah tasik, bangun salah seorang pemandu pelancong bot memegang Bible. Dia kemudiannya membacakan kisah-kisah Bible sambil diperhatikan oleh lebih kurang 20 pelancong dari Eropah yang sama-sama menaiki bot. Lagaknya seperti guru tafsir yang mengajar tafsir di masjid.

Mereka menceritakan kisah Nabi Isa berdakwah pada masyarakat Galilee.

Nasir yang duduk di sebelah saya membisikkan ke telinga saya:-

"Ustaz, nanti saya tunjukkan tempat di mana orang Yahudi disumpah menjadi monyet, ia berlaku ditempat ini, orang Kristian ini tak akan ceritakan kisah ini"

"Ye ke? Kata saya berminat. "Nanti tunjukkan ye.." saya menambah.

Bot terus berjalan. Pembaca Bible sudah mula berhenti, barang kali kisah yang dibacakan sudah tamat. Kemudian, salah seorang pemandu bot tampil ke hadapan.

"Baiklah, hari ini, saya nak tunjukkan bagaimana orang di sini menjaring ikan" katanya.

Dia membawa serawan jaring yang diletakkan di atas bahu.

"Kalau kita dapat ikan hari ini, kita akan makan sama-sama", katanya

"Yeeah…" jerit pelancong-pelancong dari Eropah ini.

Dia mula berdiri di atas bot besar ini. Kemudian dia memegang jaring dengan tangan kirinya. Baki jaring itu diletakkan di atas bahu.

Pelancong dari Eropah begitu takjub melihat cara ini. Bagi saya, ia perkara biasa. Ini kerana, waktu kecil dahulu, saya biasa mengikut orang-orang di kampung saya menjaring ikan di sungai Parit Botak Senggarang, Batu Pahat Johor.

"Yeeah, " dia membaling jaring.

Beberapa kali jaring ditebarkan, tetapi ikan tidak juga melekat.

"Nampaknya hari ini, kita tak dapat ikan. Tak apa, nanti balik kita makan ikan di restoren" kata pemandu bot itu dengan sengeh sumbingnya.

Semua pelancong yang ada ketawa.

Bot terus menelusuri Tasik Galilee. Sampai satu bahagaian di utara Tasik, Nasir mencuit saya.

"Ustaz, di tempat inilah orang Yahudi yang engkar disumpah menjadi monyet, tempat ini memang banyak ikan. Sampai sekarang ia masih lagi menjadi lubuk ikan bagi penduduk di sini" Nasir menudingkan jarinya ke satu arah di hujung tasik.

Saya memerhatikan tempat ini. Saya teringat di kisah yang disebutkan di dalam al-Quran surah al-A'raf ayat 163-166.

163: Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.

164: Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa".

165: Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).

166: Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".


Begitulah balasan orang yang ingkar pada perintah Allah. Mereka telah ditukar menjadi monyet.

Bagi memutar belitkan kisah al-Quran ini, Darwin mengajak manusia semua berfikir bahawa kita adalah dari monyet. Kenyataan ini bertentangan di dengan ajaran agama. Manusia adalah mulia dan diciptakan oleh Allah dari tanah terpilih pada kejadian Adam a.s. Orang Yahudi yang ingkar sahaja yang pernah ditukarkan menjadi monyet. Bukan semua manusia.

Sebagai iktibar, apa yang diajarkan oleh Allah hendaklah kita turuti. Jika tidak, kita akan sama seperti haiwan yang hidup tanpa panduan. Bezanya, Yahudi pernah ditukar bentuk tubuhnya menjadi monyet ketika ingkar, sekarang ramai orang yang lebih hina dari monyet perangainya. Cuma wajah sahaja masih lagi rupa manusia.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mempertingkatkan diri agar menjadi insan yang sebenar-benarnya disebut sebagai manusia. Agar, kita selamat di dunia dan di akhirat nanti.

Kunjungan ke tasik Galilee memberi kesedaran bahawa, tanpa iman, manusia akan menjadi seperti haiwan.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
6 Jun 09, Jam 6.30 petang.

Yigal Allon Centre, tempat jeti Bot ke tasik Galilee
Jeti Tasik

Bot-bot di Galilee
Bersama Helmi, producer program program TV yang membuat penggambaran sepanjang perjalanan kami


Ketika melalui tasik ini, ada seorang yang membacakan kisah Nabi Isa menurut versi Kristian
Pelancong yang lain tunduk dan mendengar kisah-kisah yang dibacakan
Tempat di mana berlakunya sumpahan orang Yahudi yang ingkar di bahagian utara tasik Galilee
Salah seorang pemandu bot menunjukkan cara menjaring ikan.
Bot yang dibina mengikut ala-ala bot yang digunakan oleh Nabi Isa ketika berdakwah dahulu
Selesai berlayar
Jalan yang dihiasi dengan berbagai tulisan
Bot yang berumur 2000 tahun di dalam bilik pameran di Yigal Allon Centre.
Mereka menemui bot ini tertanam di bawah lumur di dalam tasik ini.
Abang Aziz bergambar kenangan di hadapan papan tanda Yigal Allon Centre.
Bukit Golan yang ditawan pada tahun 1967
Bukit Golan yang memagari Tasik Galilee
Hidangan ikan Talapia segar dari tasik Galilee.

5 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum Ustaz,
Saya tidak sempat bertanya dalam program Tanyalah Ustaz berhubung dengan Pengurusan Harta Orang Islam.
Suami saya berkahwin lain walaupun dia tidak mampu. Sejak dari mula saya berkahwin dia tidak sepenuhnya memberi nafkah zahir kepada saya anak beranak dengan alasannya saya bekerja dengan keizinannya. Pada masa itu saya redha.
Tetapi setelah dia berkahwin tanpa pengetahuan saya, saya nyatakan saya mahu dia memberikan nafkah sepenuhnya kami anak beranak.Tapi dia tidak berbuat demikian dengan alasan tidak mampu setelah dia kehilangan pekerjaannya.
Rumah yang saya duduki sekarang ini adalah atas nama saya dan dibina atas hasil perkongsian kami berdua.
Soalan saya, Jika apa-apa berlaku kepada suami saya adakah isteri keduanya berhak ke atas rumah ini atau apa saja harta yang kami beli bersama?
Saya ada memberitahunya bahawa bahagiannya dalam harta kami adalah hak saya disebabkan dia tidak memberi nafkah sepenuhnya sepanjang 25 tahun perkahwinan kami yang dikurniakan 5 orang anak.
Walaupun rumah ini menggunakan sebahagian wangnya tetapi wang ini dikumpulkannya sebelum dia berkahwin lain.
Saya harap dapat menjawab permasalahan saya ini.
Email saya: sriizan@yahoo.com

Sekian Wassalam

Anonymous said...

Assalamualaikum
Uztaz ada email address?

acik jon @ azul said...

salam ustaz
saya merujuk salah satu gambar diatas
"Jalan yang dihiasi dengan berbagai tulisan"
kalau x silap saya itu tulisan arab/tulisan jawi
adakah dibenarkan tulisan itu ditulis diatas jalan kaki
kalau orang lain memijak tulisan itu apakah hukumnya taceh

dhazwani said...

assalamualaikum ustaz,
saya berusia 24 tahun dan baru2 ni terbaca artikel mengenai hubungan antara tasik Galilee dengan turunnya semula Nabi Isa a.s. Bermula dri situ, saya cuba mencari bermacam2 artikel laen yang berhubung dengan perkarta ini.Kebanyakkan nya menyatakan apabila keringnya tasik ini, saat itulah Nabi Isa a.s akan turun semula ke bumi, satu petanda besar kiamat akan terjadi. Tapi ada artikel dri blog2 yang mengaitkan perkara seperti dajjal dan Imam Mahdi dengan keadaan politik di Malaysia. Ada juga mengaitkan tentang penggunaan simbol mata dan segi tiga. At last, saya da keliru. Saya nak mintak tolong sgt2 pada ustaz untuk ceritakan tentang tasik ini dan kaitannya dengan kiamat dan nabi Isa a.s..saya takut baca blog yang salah, dapat info yang salah, dan nanti percaya benda yang tak betul pulak.Please ustaz! terima kasih~

Anonymous said...

menarik pengalaman ustaz. seronok baca. terimakasih

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...